Murobbi Disegani Pulang, Sedia Berbakti di Tanah Air

img_20170106_131938

 

Madinat Nasr, 6 Januari – Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada malam tadi menyaksikan berlepasnya tiga orang aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Mesir (Isma Mesir) ke tanah air. Dikalangan mereka adalah pasangan muda Isma Mesir, Ustaz Ahmad Naim Bin Mohd Rais dan isterinya, Ustazah Siti Khairanie Binti Amran. Turut bersama mereka berdua adalah Ustaz Mohd Hakimi Bin Lockman. Mereka pulang ke tanah air selepas lebih lima tahun menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini.

Mereka bertiga masing-masing merupakan lepasan universiti terkemuka dunia, Universiti Al-Azhar Kaherah. Ustaz Naim merupakan graduan Kuliah Usuluddin dalam pengkhususan Tafsir, manakala isterinya graduan Kuliah Syariah Islamiah. Ustaz Hakimi juga merupakan graduan dari Kuliah Syariah Islamiah.

Selain giat dalam menimba ilmu agama, tempoh lebih lima tahun keberadaan mereka di Mesir telah menyaksikan prestasi cemerlang mereka dalam membimbing mahasiswa serta beraktivisme dalam Isma Mesir.

Ustaz Naim telah berkhidmat sebagai Jawatan Kuasa Cawangan (JKC) Isma Mesir untuk tiga sesi. Beliau pernah menjadi Ketua Biro Aktivisme pada sesi 2014/2015, Ketua Biro Hal Ehwal Dalaman pada sesi 2015/2016 serta menjadi Ketua Biro Penerangan pada sesi 2016. Ustazah Khairanie pula merupakan mantan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS) Mesir bagi sesi 2015/2016. Ustaz Hakimi pula menggalas tugas sebagai Ketua Lajnah-lajnah dalam MUIS Mesir pada sesi 2014/2015.

Sebelum berlepas, Ustaz Hakimi sempat berpesan kepada rakan-rakannya agar jujur dalam mentarbiah diri dan mencari masa khusus bersama Allah. Ustaz Naim menambah agar menghayati hadis Rasulullah agar memanfaatkan kesihatan dan masa kosong sepanjang di Mesir.

Lebih 80 mahasiswa Mesir mengiringi mereka bertiga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah malam tadi, kebanyakannya terdiri dari aktivis Isma Mesir. Ketiga mereka telah selamat berlepas pada pukul 3.45 pagi tadi dengan pesawat Turkish Airlines.

Comments

comments

Leave a Comment