Pakaian Taqwa Orang Berilmu

keutamaan-ilmu

Orang yang berilmu sentiasa menjadi tumpuan utama masyarakat.

Lihatlah di media massa, berita, status di laman sosial ataupun pengucapan awam, setiap pendirian yang datang dari mereka ini akan membawa kesan yang besar kepada orang ramai.

Lebih-lebih lagi kita yang belajar dalam bidang agama. Kita bukan sahaja menjadi harapan kepada masyarakat setempat dan negara bahkan kitalah sosok tubuh yang membawa imej agama islam di mata dunia ini.

Dari Abu Darda’ ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

العلماء ورثة الأنبياء

Bermaksud: “Ulama’ adalah pewaris nabi” (Riwayat At-Tarmizi)

Lihat sahaja dari kalam baginda yang padat ini kita mendapati bahawa sangatlah berat amanah yang dipikul oleh seorang yang berilmu. Mereka menyambung tugas Rasulullah membawa risalah islam. Mereka menjadi contoh teladan kepada seluruh manusia dan mereka jugalah golongan yang paling penting untuk membentuk sebuah masyarakat yang memahami agama islam dengan benar.

Setelah mengetahui akan tanggungjawab orang yang berilmu ini, haruslah pula kita tahu apakah pakaian(nilai) yang paling penting bagi orang berilmu? Pakaian itu tidak lain dan tidak bukan adalah pakaian taqwa.

Taqwa adalah nilai keimanan yang tertinggi dalam diri seseorang muslim. Antara ciri utama yang ada pada orang yang bertaqwa adalah takut, berharap dan beramal soleh.

Adapun yang membimbangkan sekarang banyak penuntut ilmu agama meninggalkan elemen penting ini sehingga kita banyak mendengar segelintir daripada mereka yang belajar kerana ujian, menipu dalam peperiksaan dan ‘membeli sijil’.

Tidakkah mereka merasakan sesuatu bila membaca firman Allah swt:

إِنَّمَا يَخْشَى اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

“Sesungguhnya mereka yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya adalah orang yang berilmu..”

Dalam kitab Majmu’ul Fatawa karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ada menjelaskan tentang ayat ini. Sungguh! orang yang takutkan Allah itu semestinya orang yang berilmu namun tidak semua orang yang ada ilmu itu takutkan Allah.

Oleh itu, dalam pada kita menuntut ilmu, ia perlulah seiringan dengan mendidik diri mencapai taqwa.

Antara usaha yang mesti dilakukan untuk mencapai taqwa adalah;

  1. Memelihara hubungan dgn Allah kerana Dialah Yang Maha Mengetahui yang memberi ilmu kepada kita. Menanam perasaan takut dan berharap iaitu takut kepada azab Allah jika tidak memikul amanah ini dengan betul dan berharap agar Allah redha dengan amalan yang dilakukan.
  2. Memelihara kesucian ilmu. Mendampingi guru dan beradab dalam menuntut ilmu. Tidak mencari ‘jalan pintas’ demi segulung ijazah dan mengamalkan apa yang dipelajari.
  3. Menjadikan Al-quran sebagai rujukan utama dalam kehidupan dan pendirian kerana ilmu yang banyak tidak menjadikan kita sentiasa betul dalam membuat pertimbangan.

Akhir kalam, marilah kita koreksi diri kita dengan persoalan-persoalan ini. Adakah matlamat kita benar dalam membawa amanah ilmu? Adakah jalan yang kita guna benar dalam mencapai dan menyampaikan ilmu? Apakah asas dan tujuan kita mendalami ilmu?

Adakah benar pakaian yang kita sarungkan sebagai seorang yang berilmu?

Firman Allah swt:

وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا ۗ وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ

“Dan Kami telah mengangkat darjat sebahagian mereka tinggi dari darjat sebahagian yang lain supaya sebahagian dari mereka mendapat manfaat dari sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari segala apa yang mereka kumpulkan.”

Wallahua’lam.

 

Hafizuddin Husaini,
Markas Bahasa Arab Al-Azhar,
Aktivis ISMA Hayyu Sabi’.

Comments

comments

Leave a Comment