Musa dan bukit Sinai: Risalah ini telah memilih kita!

14650269_10155472990477846_8522779171819135271_n

Kisah nabi Musa adalah sebuah kisah yang menarik. Di dalam al-quran berkali-kali juga diceritakan perihalnya. IHAB juga tidak ketinggalan memetik kisah nabi ini yang dahulunya memijak tanah yang sama dengannya. Sehinggalah kini, saya kira tidak patut bosan mengambil pengajaran yang terbentang luas di Sinai kerana di sana adanya isyarat-isyarat yang Allah selitkan untuk mengajar cara kita berfikir.

Di bawah jejak kalimullah Musa, saya mengutip isyarat itu.

Di tengah kegelapan malam, musa mencari jalan untuk kembali ke Mesir selepas 10 tahun di dalam pelarian ke Madyan daripada buruan kaum firaun. Di tengah malam itu, baginda ternampak api di dalam lembah muqaddas, dengan harapan berjumpa dengan orang yang boleh menujukkan kepadanya jalan untuk pulang ke mesir.

Tetapi apa yang dijumpainya adalah lebih dari itu. Baginda telah menjumpai cahaya petunjuk hidupnya dan kaumnya di lembah itu. Sebuah lembah yang tandus, tidak ada padanya apa-apa kelebihan.

Musa tidak pernah meminta untuk mendapat wahyu, tetapi baginda faham, bahawa dirinya tidaklah berkuasa penuh di dalam hidupnya. Kerana baginda hanyalah salah sebuah susunan tuhannya di bumi ini. Tugasnya hanyalah menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya mengikut kemampuannya.

Sedikit sekali dia perasan bahawa kehidupannya dari kecil umurnya sehinggalah beliau sudah berkeuarga semuanya telah disusun oleh tuhannya untuk melaksanakan misi yang besar. Mengeluarkan manusia dari kegelapan penyembahan manusia kepada penyembahan tuhan sekalian alam.

واصطنعتك لنفسي

(Dan Aku telah memilihmu) telah menjadikanmu sebagai orang yang terpilih (untuk diri-Ku) untuk mengemban risalah. (Toha : 41)

Pemilihan ini adalah sebuah nikmat kepadanya yang wajib disyukuri kerana dengan nikmat ini Allah telah memilihnya dari jutaan manusia di zamannya dan melebihkannya atas semua manusia yang lain. Tambahan pula, baginda menyedari bahawa kehidupan ini bukanlah panjang sangat jika nak dibandingkan dengan akhirat yang sangat panjang tidak diketahui penghujungnya. Kehidupan dunia ini hanyalah beberapa hari. Apalah sangat jika nak dibandingkan keperotan di dunia dengan kelazatan akhirat.

قَالَ يَا مُوسَىٰ إِنِّي اصْطَفَيْتُكَ عَلَى النَّاسِ بِرِسَالَاتِي وَبِكَلَامِي فَخُذْ مَا آتَيْتُكَ وَكُنْ مِنَ الشَّاكِرِينَ

Allah berfirman : Hai Musa, sesungguhnya Aku memilih melebihkan kamu yakni Aku memilihmu dari manusia (yang hidup di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur” (al-A’raf : 141)

Kita juga sebenarnya tidak jauh berbeza dari Nabi Musa. Tanpa kita minta, diberi nikmat hidayah dan kefahaman islam, kadang kita menyalahkan diri sendiri malah mungkin orang lain selepas kita merasakan beratnya tuntutan yang datang dengan hidayah ini.

Seolah kita sendiri yang mengawal kehidupan kita sepenuhnya. Sedangkan kita hanyalah sebuah aturan kecil tuhan, menjalankan perintahNya. Jika kita berpaling Allah tidak rugi, bahkan kita sendiri sahaja yang rugi.

Bersyukurlah atas nikmat ini, dan berpeganglah dengan kebenaran ini sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa untuk memegang Taurat dengan kuat.

فخذها بقوة وأمر قومك يأخذ بأحسنها

Maka berpeganglah kepadanya (Taurat) dengan teguh dan serulah kaummu untung berpegang kepadanya dengan sebaiknya. (Al-A’raf : 146)

Kita akan sedar sepanjang perjalanan ini bahawa sebenarnya bukanlah kita yang memilih risalah ini, tetapi risalah inilah yang telah memilih kita.

Hikmat Bin Mohd Esa
Syariah Islamiah Tahun 3
Aktivis Isma Mansurah

Comments

comments

Leave a Comment