Mahasiswa Mesir mahu ke mana? Nak faham apa?

579255_10151486944752846_1297338559_n

Menjadi tanda tanya besar buat mahasiswa mahasiswi di Mesir, apakah yang mereka mahu faham dan ke arah mana mereka mahu pergi?

Kita tidak membahas apa yang mahasiswa ataupun mahasiswi perbuat dalam seharian sepertimana yang semua maklum bahawa mereka ini rajin dan komited dalam pengajian ilmu sama ada secara formal di dewan kuliah mahupun di halaqah-halaqah ilmu.

Tetapi yang kita mahu bahas di sini ialah mereka mahu ke mana dengan semua perancangan harian mereka ini dan apa yang mereka mahu faham di sebalik komitmen-komitmen harian mereka pada majlis ilmu, kerja persatuan, amal kebajikan, dan sebagainya.

Kejelasan dan kematangan dalam pemikiran seorang muslim adalah apabila dia mempunyai titik hujung dalam setiap apa yang mereka lakukan dan rancang dalam hidup. Sebab itu Allah mentaujih atau menghalakan agenda seorang Muslim dalam Al-Quran ke arah syurga dan memahamkan manusia kefahaman sebenar terhadap tujuan hidup adalah untuk menjadikan seluruh manusia tunduk pada Islam.

Kenapa Al-Quran berbincang tentang syurga neraka yang kita tiada ilmu padanya? Kenapa Allah menyebut tentang yahudi dan nasrani walaupun sebab nuzulnya bukan di zaman kita? Sebab Al-Quran melontar pandangan seorang muslim pada perkara yang lebih besar, lebih hujung. Syurga neraka adalah perkara yang paling hujung, yahudi dan nasrani adalah isu yang lebih besar dalam erti kata ancaman terhadap umat Islam.

Kematangan tidaklah semata pada wasilah ataupun cukup asyik dengan proses. Contohnya seseorang mahasiswa itu mahu menjadi ulama dan penilaian kematangan bukanlah pada keseronokan menuntut ilmu tersebut atau merasa puas hati dengan ulang alik ke majlis ilmu. Tetapi kematangan seseorang itu adalah pada sebab apa dia perlu ilmu dan apa yang dia perlu faham daripada keperluan ilmu ni. Ke arah mana ilmu ini mampu membawanya dan menghalatuju hidupnya?

Saya tertarik akan ulasan seorang ustaz di Mesir ini tentang ilmu itu adalah cahaya ataupun dalam bahasa arabnya العلم نور. Katanya ilmu itu cahaya bermakna ibarat ketikamana kita buka suis lampu, adakah kita hanya mahu memandang pada lampu ataupun cahaya tersebut? Tentulah tidak. Sudah pasti kita akan buat sesuatu yang lain ataupun menghala ke arah lain berbekalkan cahaya lampu tersebut. Itulah makna cahaya tersebut iaitu ia menunjuk ke arah jalan yang sebenarnya dan ia bukanlah tujuan semata-mata dzatnya.

Kita bincang tentang ENDING (titik akhir), tentang KERANGKA, tentang KEUTAMAAN.

Para sahabat antara generasi yang memahami hakikat seseorang muslim bilamana mereka tidak menyibukkan diri dengan perkara yang tidak keutamaan. Mus’ab Umair contohnya adalah sahabat yang dihantar nabi ke Yathrib untuk berdakwah di sana namun ketika itu Al-Quran yang merupakan sumber ilmu tika itu tidak turun seluruhnya bahkan hanya beberapa surah yang menjadi bekalan buat Mus’ab. Beliau tidak perlu pun untuk menadah segala ilmu dan tidak perlu menunggu hingga turun keseluruhan wahyu untuk berdakwah kerana di sisi beliau dakwah itu menjadi KEUTAMAAN dalam hidup beliau.

ENDING yang para sahabat faham adalah mahu seluruh manusia tunduk pada Islam. KERANGKA pemikiran mereka adalah cara fikir Islam dalam setiap penyelesaian dalam masyarakat. KEUTAMAAN mereka pada segala usaha yang membuahkan amal dan bukan menyibukkan diri dengan perkara yang tidak menyelesaikan masalah umat.

Maka apabila mahasiswa mahasiswi Mesir ‘mengabdikan’ diri pada ilmu, adakah mereka jelas ENDING, KERANGKA dan KEUTAMAAN ini?

Bagi saya, perkara yang lebih mahal di Mesir ini ialah KERANGKA itu sendiri ataupun dalam bahasa arabnya ialah TASAWWUR. Daripada TASAWWUR ini, akan jelas pula ENDING dan penilaian pada KEUTAMAAN.

TASAWWUR ini umpama cawan. Ilmu, skill, kemahiran, dan sebagainya ibarat air. Bila kita tiada cawan, dimanakah kita mahu alirkan air yang melimpah ini? Dan ketiadaan TASAWWUR menjadikan air yang melimpah ini tidak digunakan sebaiknya dan tidak digunakan pada tempat yang sepatutnya.

Yang pelik, bilamana ada pelajar Mesir yang mengambil jalan barat untuk menyelesaikan masalah umat Islam sedangkan mereka menuntut ilmu di bumi khazanah ilmu. Ke mana perginya nukilan-nukilan ulama dalam pengajian turath ketikamana dia menjawab persoalan dan masalah masyarakat? Itulah bukti tiadanya TASAWWUR yang menakung ilmu-ilmu agama ini.

Maka di samping masyarakat pelajar di Mesir menyibukkan diri dengan pengajian ilmu, persoalan yang lebih besar daripada itu ialah kita perlu tahu mahasiswa Mesir ini mahu ke mana dan mahu faham apa?

Nak jadi ulama untuk apa? Ulama yang menyelesaikan isu umat Islam ataupun ulama yang menyibukkan diri dengan isu furu’ agama yang tidak berkesudahan?

Bumi Mesir kaya dengan khazanah ilmu dan menjadi mercu tanda ilmu Islam di seluruh pelusuk dunia. Beruntunglah mereka yang memahami rahsia ilmu di sebalik tiang-tiang Al-Azhar mahupun di balik debu-debu pasir Mesir.

Wan Ahmad Izzat, merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang banyak memberi fokus kepada perihal dakwah dan pembentukan diri masyarakat. tulisan-tulisan beliau biasanya sarat dengan seruan agar masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sahih dan turut serta dalam medan dakwah. Beliau juga kerap menulis di blognya yang tersendiri.

Wan Ahmad Izzat, merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang banyak memberi fokus kepada perihal dakwah dan pembentukan diri masyarakat dalam tulisan-tulisan beliau. Beliau juga kerap menulis di blognya yang tersendiri.

 

Comments

comments

Leave a Comment