Doktor Muslim berkredibiliti tinggi

Profesional  sebagai  seorang doktor  bukanlah suatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan daripada pelbagai  aspek. Tambahan pula kredibiliti sebagai seorang doktor Muslim lebih lagi dititik beratkan, bukan sahaja dari aspek dan etika sebagai seorang doktor, tetapi juga sebagai seorang Muslim yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan. Doktor Muslim berkongsi dua perkara penting dengan pesakit mereka; kepercayaan teguh kepada Allah dan takdir, dan keyakinan bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya dengan syarat usaha yang dilakukan tersebut adalah setimpal.

Doktor yang penuh dengan etika nampaknya menjadi semakin sukar ditemui pada zaman moden kini. Pengamalan nilai-nilai yang selari dengan etika kedoktoran tidak dianggap penting, kerana kepuasan dalam berkhidmat nyata hanya dirasai dengan melalui gaji, pangkat dan kedudukan. Saya sangat bersetuju, bahawa apabila doktor Muslim berpegang teguh kepada sumber perundangan Islam yang pertama iaitu Al-Quran dan Sunnah, mereka akan dapat mengamalkan  nilai dan etika yang sejajar dengan prinsip etika kedoktoran dan juga Islam itu sendiri. Mereka akan lebih dipercayai oleh pesakit dan juga komuniti kerana khidmat yang diberikan.

Kembali kepada contoh teladan komuniti Muslim iaitu Nabi Muhammad SAW, masyarakat tertanya-tanya adakah masih wujud karakter yang sedemikian pada zaman ini, zaman moden yang penuh dengan keegoan, dan materialistik . Baginda menjadi panduan kehidupan kepada manusia contohnya dari sudut hubungan masyarakat, nilai tanggungjawab, mengambil berat dan lain-lain lagi. Nilai-nilai kemanusian yang sebenar juga telah diajarkan dan termaktub di dalam Al-Quran. Daripada kedua-dua sumber ini, maka akan lahirlah hubungan sihat antara pesakit dan doktor tanpa mengabaikan konsep profesionalisme.

“Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mu’min yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar.”

[Surah Isra :  ayat 9]

Ini adalah petunjuk awal di dalam etika kedoktoran Muslim dan membawa makna doktor berkualiti yang sebenar. Setiap pekerjaan yang  dilaksanakan semuanya disalurkan  kepada satu tujuan iaitu, ganjaran daripada Allah. Dengan hal yang demikian, tidak akan timbul isu pengabaian tanggungjawab, malas bekerja, tidak kompeten dengan tugas yang diberikan dan sebagainya.

Pelbagai teori yang dikeluarkan oleh Barat bekaitan pembinaan karakter doktor yang berkualiti, kebanyakannya bersumberkan  pengalaman,  kesesuaian  dan kehendak pesakit, serta nilai-nilai kemanusiannya itu sendiri. Namun apabila kita fokus kepada  melatih doktor Muslim, ianya bermula sejak kecil lagi. Penerapan nilai-nilai Islam yang diajar melalui Al-Quran dan Sunnah jelas memberi impak yang lebih baik. tanpa skema etika kedoktoran  yang sudah sedia ada, doktor Muslim, dengan karakter islami yang ditanam sejak kecil lagi tidak lain tidak bukan akan membuat keputusan yang tepat dan mengelakkan segala perkara-perkara yang buruk yang bakal dihadapi pesakit dan juga dirinya sendiri.

Etika vs Akhlak

Secara umumnya, istilah moral merujuk kepada kebolehan manusia membezakan perkara betul dan juga yang salah. Islam telah meletakkan satu sistem yang membolehkan manusia membezakan dua  perkara tersebut . Sistem ini telah pun diajarkan kepada kita melalui Al-Quran dan juga sirah Nabi. Doktor Muslim dianggap mampu menunjukkan sifat yag baik semampu yang boleh dan dinasihatkan supaya menjaga kemuliaan fizikal; kebersihan, kesihatan, serta sifat dalaman seperti kejujuran, bertanggungjawab dan lain-lain. Jadi nilai-nilai ini mampu diimplimentasikan semasa berkhidmat.

Manusia disuruh untuk mengawal tindakan mereka, dan memberi kebebasan untuk memilih samada perkara yang baik ataupun yang buruk

Teori moden mengenai pembinaan karakter doktor yang berkualiti selalunya menekankan topik ini. Yang mana contoh yang diambil adalah berdasakan buku dan juga sejarah. Berlainan pula dengan tradisi komuniti Muslim yang mengambil Nabi Muhammad SAW sebagai contoh. Baginda memilih sesuatu keputusan yang  tepat untuk mendapat keputusan yang positif dan sedaya upaya mengelakkan semua perkara buruk daripada berlaku (side effect ).

Doktor seharusnya mampu membuat keputusan yang tepat dalam merawat pesakit. Keputusan yang dibuat semuanya berlandaskan apa yang telah dibincangkan tanpa meninggalkan segala aspek etika kedoktoran yang telah termaktub.  Mereka disuruh bersungguh mempelajari ilmu kedoktoran supaya kelak menjadi pakar yang memberi manfaat kepada komuniti.

Inilah sebenarnya kehidupan sebenar doktor muslim yang sepatutnya ada, meletakkan prinsip-prinsip Islam di tempat yang utama tanpa meninggalkan etika kedoktoran moden sehingga akhirnya lahirlah ilmu baru perubatan seperti yang telah dicipta oleh ahli cendekiawan Islam dahulu.

 

Mohd Hanif Bin Jemeli merupakan Pengerusi I-Medik Mesir. Beliau kini sedang menuntut di tahun kelima, Kuliah Perubatan, Universiti Al-Azhar, Kaherah, dan juga merupakan aktivis Isma Hayyu Sabie

Mohd Hanif Bin Jemeli merupakan Pengerusi I-Medik Mesir. Beliau kini sedang menuntut di tahun kelima, Kuliah Perubatan, Universiti Al-Azhar, Kaherah, dan juga merupakan aktivis Isma Hayyu Sabie

Comments

comments

Leave a Comment