Sehingga kita benar-benar berpuasa

Kelihatan ibadah puasa di Bulan Ramadhan ini amat dekat dengan makna-makna yang terangkum dalam istilah ketaatan dan kehambaan. Dekat juga dengan makna pengikisan hati dari kotoran nafsu, sehingga suci berkilat. Berpuasa adalah tentang memenangkan kemahuan iman ke atas kehendak syahwat. Ia adalah tentang menajamkan sensitiviti jiwa, membesarkan perasaan mai’yatullah (kebersamaan Allah), menghidupkan hati seorang hamba untuk berinteraksi dan bermonolog dengan Allah SWT melalui kesabaran puasanya atau tadabbur Al-Qurannya ketika tilawah dan solat.

Dalam pengfardhuan ibadah puasa, Allah SWT telah memulakannya dengan seruan yang mengiktiraf iman pada diri orang yang bersedia melaksanakan ibadah tersebut. Pengiktirafan yang mahal dan benar daripada Allah SWT ini disebut untuk menggambarkan kedudukan ibadah puasa dalam hati orang beriman.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

(Surah Al-Baqarah : ayat 183)

Seorang mufasir yang telah syahid di Mesir pernah menyebut :

 

“Allah SWT mengetahui bahawa perlaksanaan taklif itu merupakan suatu perkara yang mana jiwa manusia memerlukan kepada pertolongan, dorongan dan ransangan biar bagaimana besar sekalipun hikmat dan faedah yang terkandung di dalam taklif itu hingga jiwa manusia yakin dan merelakannya.Oleh sebab itulah Al-Quran memulakan taklif itu dengan menggunakan seruan yang mesra kepada para Mukminin, iaitu seruan yang mengintakan kepada hakikat mereka yang semulajadi, dan selepas seruan itu barulah ia menjelaskan bahawa ibadat puasa itu merupakan satu kefardhuan yang diwajibkan ke atas para mukminin dalam semua agama”

 

Al-Hasan juga menyebut :

 

“Apabila kamu mendengar Allah SWT menyebut; Wahai orang-orang beriman, maka dengarkanlah ia dengan sepenuh hati, sesungguhnya Dia sedang mengarah sesuatu arahan dan melarang sesebuah larangan”

 

Maka, kita mulakan ibadah puasa Ramadhan ini dengan merasai panggilan yang mulia dan agung ini. Seruan yang menjadikan hati kita tenang dan lapang dalam menerima taklifan puasa tersebut. Ibadah puasa inilah yang menjadi paksi atau ibadah utama di dalam Bulan Ramadhan selama 30 hari.

Maksud yang difahami dari ibadah puasa adalah :

Menahan dari segala yang boleh membatalkan puasa (muftharat), pada waktu yang ditetapkan secara maklum, kepada yang ditujukan padanya hukum, bersama dengan niat

Puasa atau As-Shiam juga merupakan suatu perkataan yang biasa disebut di kalangan bangsa Arab, merujuk kepada perbuatan untuk menahan sesuatu. Ibn Hayyan telah mengulas :

 

Kaum arab menamakan setiap yang ditahan disebut juga sebagai as-shaum (puasa), kerana itu istilah as-shaum digunakan dalam ayat taklifan tersebut. Ia membawa makna senyap atau menahan diri dari berkata-kata.

 

Ini bermakna puasa dalam ertikata istilah syarak dan bahasanya, menunjukkan kepada keluasan makna dalam ibadah berpuasa. Puasa tidak terhad hanya kepada menahan diri dari makan dan minum, tetapi ia menggambarkan kepada suatu perbuatan untuk menahan diri dari berbagai perkara  yang boleh dimurkai Allah SWT.

Hal ini telah diutarakan oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya yang masyhur, Ihya’ Ulumuddin. Beliau menerangkan tiga peringkat dalam ibadah puasa; Shaumul Umum (Puasa Am), Shaumul Khusus (Puasa Khusus), dan Shaumul Khususil Khusus (Puasa Lebih Khusus). Ketiga-tiganya disusun mengikut tingkatan penahanan, yang semakin khusus, semakin tinggi penahanannya.

 

  1. Puasa Umum

Puasa umum ini dilaksanakan oleh kebanyakan orang awam dan merupakan tingkatan yang paling rendah. Ini kerana ia adalah puasa dengan hanya menahan diri dari makan, minum, menjaga kemaluan syahwat, dan perkara- perkara lain yang boleh membatalkan puasa.

 

  1. Puasa Khusus

Tingkatan kedua ini adalah dengan menahan diri bukan semata-mata makan dan minum, bahkan pada 6 tempat; iaitu pendengaran, percakapan, pandangan, gerak tangan, kaki dan segala anggota tubuh badan dari melakukan sebarang dosa. Sudut ini lebih teliti dan lebih membawa kepada tujuan taqwa di dalam ibadah puasa. Inilah puasa orang-orang yang soleh.

 

  1. Puasa Khususil Khusus

Adapun di tingkatan terakhir ini, ia adalah berpuasa hatinya dari segala kepentingan jangka pendek, fikiran duniawi, dan menahan dari segala yang dapat memalingkan hatinya daripada Allah SWT Hatinya menjadi sangat sensitif dan berwaspada dalam setiap perkara. Inilah tingkatan para Anbiya’, Siddiqin, dan Muqarabbin, seperti kata Imam Ghazali.

 

Beerti, ibadah puasa yang membentuk ketaqwaan diri adalah puasa yang begitu mendalam usaha dan capaiannya. Apabila kita dituntut untuk berpuasa, ia diikat dengan tujuannya untuk bertaqwa. Samada kita benar-benar berpuasa mencapai tujuannya, atau kita hanya mengikat perut dengan lapar dan dahaga.

 

Abdur Rahman Bin Ahmad Raji, Setiausaha Agung Isma Mesir 2016
Abdur Rahman Bin Ahmad Raji, Setiausaha Agung Isma Mesir 2016

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *