Wan Ahmad Izzat, merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang banyak memberi fokus kepada perihal dakwah dan pembentukan diri masyarakat. tulisan-tulisan beliau biasanya sarat dengan seruan agar masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sahih dan turut serta dalam medan dakwah. Beliau juga kerap menulis di blognya yang tersendiri.

Syumulkah Isma di atas jalan ini?

(gambar hiasan)

 

 

ISMA dan kesyumulan Islam tidak dapat dipisahkan. Lahirnya sebuah harakah dakwah ISMA berpandukan Islam yang syumul sepertimana yang difahami oleh Rasulullah dan para sahabat seterusnya ditatang penuh oleh legasi para duat terdahulu yang menjadi harakah qudwah terutama buat ahli-ahli ISMA. Fahaman syumuliah Islam ini merujuk kepada pemikiran seorang tokoh mujaddid kurun ke-20 yang menyegarkan kembali ruh Islam yang sebenar setelah kejatuhan khilafah Islamiah tahun 1924.

Beliau menjelaskan kefahaman syumuliah Islam dalam Usul Pertama iaitu,

“Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakupi semua bidang kehidupan; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentara dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadah yang sah tidak kurang tidak lebih.

Mungkin mudah untuk menerima kenyataan bahawa Islam adalah agama yang syumul tetapi ia menjadi cabaran besar apabila ia dilaksanakan dalam sesebuah harakah.

Syumulkah dakwah di Mekah?

Ada segelintir manusia menganggap bahawa kesyumulan itu adalah dengan meletakkan sepenuh tenaga di semua lapangan amal pada satu-satu masa tetapi bagaimana pula dengan marhaliyah (fasa-fasa) dakwah Ar-Rasul? Adakah fasa ta’sis (pengasasan) nabi di Mekah dikira syumul walaupun tiadanya amal kebajikan, politik, ekonomi dan lain-lain amal?

Hakikat kesyumulan mesti difahami dan diyakini oleh setiap ahli dalam jemaah sepertimana yang difahami dalam rukun Al-Fahmu sebagai rukun baiah pertama sebelum rukun-rukun lain. Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ini perlu diimani dahulu sebelum kita galak membincang amal, projek dan  kerja-kerja dalam harakah.

Tetapi dalam marhalah (fasa) dakwah sesebuah gerakan, ia mestilah bergerak sepertimana dakwah nabi bergerak. Meletakkan batu asas aqidah dan faham di marhalah awal di samping jelas dalam fikrahnya (pemikiran) Islam yang hendak diseru adalah Islam yang syumul walaupun ketika itu tiada amal politik, kebajikan dan ekonomi melainkan hanya seruan aqidah yang suci.

Walaupun dakwah di fasa Mekah belum lagi wujud dalam keadaan sempurna dan syumul namun sebenarnya perjuangan nabi s.a.w. sudah terbina atas dasar dan asas-asas yang syumul. Bagaimana sesebuah bangunan terbentuk dengan sendirinya melainkan adanya seorang arkitek yang sudah jelas dalam mindanya gambaran penuh sebuah bangunan yang hendak dibinanya?

Sebagaimana janin semasa fasa embrio lagi sebenarnya sudah memiliki asas kesempurnaan seorang insan; kesempurnaan kesyumulan keperibadiannya terbentuk dan berkembang di atas asas yang sempurna yang telah tersedia. Inilah dia Al-Fahmu iaitu jelas dari awal hakikat kesyumulan yang hendak dibawa.

Seorang ulama’ mujaddid dari Mesir ketika menggariskan 10 ciri individu muslim, telah menggambarkan kesyumulan Islam yang ingin diwujudkan dalam pembentukkan keperibadian ahli-ahlinya. Ikhwan menekankan pembentukan individu muslim yang syumul dan seimbang sejak langkah pertama di jalan dakwah.

Dinukilkan juga dalam kitab Syarah Usul Dua Puluh yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Abdullah Al-Khatib ketika mensyarahkan Usul Pertama dengan menggambarkan sosok seorang muslim yang memahami syumuliah Islam;


“Kadang-kadang orang dapat melihat seorang muslim berada di mihrab dalam keadaan penuh khusyu’, tekun, menangis dan merendah diri. Tidak lama kemudian saudara melihat beliau adalah seorang penceramah yang menyampaikan pengajaran dan peringatan yang mengetuk gegendang telinga. Selepas itu saudara melihat beliau adalah seorang ahli sukan yang tangkas, membaling bola, berlatih berlari atau berenang. Selang beberapa ketika beliau berada di kedai atau di tempat kerjanya melaksanakan pekerjaan dengan penuh amanah dan ikhlas.”

 

Syumul yang disalah erti

Adakah dengan semata-mata bergerak di lapangan politik, ekonomi dan sebagainya dikira faham akan konsep syumuliah Islam?
Adakah tidak bergerak di lapangan masyarakat ini menjadikan dakwah sesebuah harakah itu tidak syumul?

Ada orang beramal di lapangan politik tetapi bila diteliti rupanya apa yang diserunya tidak syumul. Dan ada juga orang yang tidak beramal di medan politik tetapi kita lihat dakwah yang diserunya syumul. Bezanya bukan pada tempat dimana beramal tetapi adalah pada apa yang diseru.

Boleh jadi seseorang itu pantas berucap di pentas politik mahupun kebajikan, tetapi apa yang diserunya sempit pada perbahasan politik dan kebajikan semata-mata. Dan boleh jadi seseorang itu berceramah di sesebuah masjid kecil, tetapi apa yang dibincangnya seolah-olah berbincang tentang dunia melepasi batas-batas masjid itu bahkan merentas hal-hal politik, kebajikan, ekonomi dan sebagainya.

Penglibatan dalam sistem pilihanraya hanyalah wasilah untuk menyampaikan Islam bahkan kefahaman syumuliah Islam bukan hanya semata-mata terlibat dalam pilihanraya tetapi ia bermula dengan manhaj pentarbiyahan yang meliputi membentuk kesedaran politik, membina setiap individu agar mampu memikul peranan seorang khalifah, mengenal musuh-musuh Islam untuk persedian menanggung beban dakwah di lapangan yang lebih meluas termasuklah politik, ekonomi, kebajikan dan sebagainya.

Pergerakan politik hanyalah seperti salah satu biro dalam jemaah. Kerana politik bukanlah tujuan tetapi adalah wasilah dan alat dalam menyampaikan Islam.

Pengarang buku Al-Masar menegaskan bahawa gerakan Islam perlu memiliki manhaj yang syumul sejak permulaan dakwahnya lagi termasuklah mengenai penglibatan dalam arena politik.

Hari ini kita melihat sebahagian para du’at bersungguh-sungguh dalam amal lapangan masyarakat dan apabila ditanya ke mana hendak dibawa masyarakat ini, jawapan yang sering meniti di bibirnya ialah membawa kepada Islam. Tetapi apabila diteliti pada seruannya juga slogan-slogan dan manifestonya kosong dari agenda dan projek Islam. Dimana disoroknya kefahaman syumuliah Islam yang dihadamnya dalam program wasilah tarbiyahnya? Adakah setelah memegang tampuk kepimpinan barulah istilah yang terkadang menjadi fobia dalam kalangan masyarakat iaitu ‘ISLAM’ kembali diangkat semula?

Menjadi kebingungan bilamana ada sebahagian para du’at di dalam program tarbiyahnya, ketika bersama para pendakwah lain berdegar melaung manhaj taghyir (methode perubahan), maratib amal (susunan amal), istilah-istilah yang sentiasa basah dengan unsur tarbawi, Islam yang syumul, tetapi apabila berkempen untuk pilihanraya istilah yang disebut hanya keadilan dan kezaliman yang terbatas di atas pagar politik.

Bukankah seorang tokoh dakwah agung pernah menyebut bahawa dakwah kita secerah dan seterang cahaya matahari? Maknanya tiada satu sudut pun yang terlindung dari terkena cahaya dan panahan dakwah ini tanpa berselindung di balik seruan-seruan yang samar.

ISMA dan syumul

Alhamdulillah sepanjang perjalanan ISMA sebagai harakah dakwah, ahlinya terbina fikrah Islam yang syumul di samping usaha menjadikan Islam yang syumul sebagai satu sistem yang menyeluruh diimani dan dipatuhi oleh segenap masyarakat.

Dahulunya slogan ‘Membina Generasi Harapan’ kemudian berkembang kepada penggarapan umum dengan slogan ‘Membangun Umat Beragenda’ sehingga kini ahlinya masih berusaha melengkapkan kebolehan diri menggarap masyarakat sekeliling ke arah memahami dan melaksanakan syumuliah Islam.

ISMA dalam pergerakannya menyentuh seluruh aspek kehidupan seseorang individu dari sudut rohani, akal, jasadi juga menggarap masyarakat dalam semua lapangan amal masyarakat seperti kebajikan, ekonomi, dakwah non-muslim, politik, riadhah dan sebagainya. Walaupun ada lapangan yang tidak sepenuhnya diletakkan tenaga padanya tetapi bagi kami cukuplah di permulaannya ada suara-suara dakwah kami di lapangan tersebut.

Inilah intilaq (titik tolak) kami iaitu dari kefahamam Islam yang syumul menggerakkan kami untuk beramal di segenap lapangan amal masyarakat. ISMA dan kesyumulan Islam tidak dapat dipisahkan. Wallahua’lam.

 

Sumber:

Syarah Usul Dua Puluh, Muhammad Abdullah Al-Khatib, 1990

https://ustabdullahzaik.wordpress.com/2007/05/09/tribulasi-syumul/

https://renungan2u.wordpress.com/2010/03/11/bilakah-kesyumulan-islam-akan-tertegak/

 

Wan Ahmad Izzat, merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang banyak memberi fokus kepada perihal dakwah dan pembentukan diri masyarakat. tulisan-tulisan beliau biasanya sarat dengan seruan agar masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sahih dan turut serta dalam medan dakwah. Beliau juga kerap menulis di blognya yang tersendiri.  Disamping giat dalam menghasilkan karya, Wan Ahmad Izzat juga merupakan ketua Isma Mesir syukbah Tanta.
Wan Ahmad Izzat, merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang banyak memberi fokus kepada perihal dakwah dan pembentukan diri masyarakat. tulisan-tulisan beliau biasanya sarat dengan seruan agar masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sahih dan turut serta dalam medan dakwah. Beliau juga kerap menulis di blognya yang tersendiri.
Disamping giat dalam menghasilkan karya, Wan Ahmad Izzat juga merupakan ketua Isma Mesir syukbah Tanta.

 

Comments

comments

admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *