Tudung Pasar Malam

 

Amira segera menerkup mulutnya yang terlopong. Mahu sahaja dia menjerit apabila melihat sebuah tubuh di hadapanya, seorang kawan yang sudah sekian lama tidak dijumpainya. Cuma teringat dia di khalayak, tidak sampai hasratnya mahu menjerit.

 

“Kenapa Amira? kau macam jumpa dengan hantu je”

“Gila kau!” Amira seperti mahu menjerit lagi. “Ini lebih dari jumpa hantu kau tau”

 

Pecah ketawa mereka namun Farah masih mengawal malu dirinya, tidak berdekah-dekah seperti dahulu. Kecoh mereka bertanya khabar, bertukar soalan sepanjang tempoh mereka tidak bertemu. Amira perasan perubahan diri kawan karibnya bukan setakat perubahan fizikal atau luaran. Namun secara dalaman seperti ada aura entah apa dari Farah.

 

“Sejak bila kau begini?” Amira laju bertanya. Banyak soalan yang mahu diaju kepada Farah.

“Begini?”

“Sejak dari rambut kau yang panjang mengurai hingga kau ada benda yang sedang tutup kepala kau sekarang. Bila?”

“oh” Farah pura-pura. “Alhamdulillah, dua bulan”

 

Amira mendengar jawapan sambil merasa-rasa kain tudung yang dipakai Farah. Farah hanya tersenyum melihat tindakan Amira. Sengaja dia tidak mahu memberitahu kawannya yang dia sudah bertudung. Sengaja mahu melihat reaksi Amira yang terkejut beruk.

 

“Aku beli ini murah, Amira. Bukan berjenama di kedai-kedai mahal”

“Bukan Ariano ke Fareedah ke apa yang banyak-banyak di Instagram dan Facebook?”

Farah cepat memotong, “pasar malam je amira, tak sanggup nak beli yang mahal-mahal”

“Pasar malam?”

Farah angguk.

“Tak semua tudung di Ariano sahaja, Amira. Pasar malam pun ada tudung juga”

 

Kedua-dua mereka tersenyum. Amira teringat bagaimana Farah yang dahulu, Farah yang gemar membeli belah di pasaraya mahal. Kini Farah berubah kepada seorang gadis yang berhijab, nampak semakin ayu dan malu. Amira terkenang-kenang Farah yang dahulu dan farah yang sekarang sepanjang perbualan. Sayup-sayup Farah yang lama hilang diganti dengan Farah yang baharu di hadapannya.

 

Seperti berbual dengan manusia yang lain pula. Janggal.

 

Jauh mereka berbual hingga menyentuh ‘sejarah hijrah’ Farah, bagaimana dia boleh berubah hingga jadi begini. Panjang Farah menceritakan detik perubahan, dan sekali sekala terdengar gelak ketawa mereka. Mungkin ada detik-detik lucu sepanjang proses penghijaban.

 

“Sebab aku lihat di medan sosial, banyak sangat perempuan yang bertudung dengan tudung yang mahal-mahal, yang penuh gambar selfie. Aku jadi skeptik melihat wanita bertudung”, kata Amira.

 

“Aku tak salahkan kau dan ya.. Aku juga tak salahkan mereka”, balas Farah.

 

“Mungkin ramai yang bertudung kerana Ariano atau manik-manik Swarovski, atau ingin tidak terlambat mengikut trend Naelofar. Tapi itu tidak cukup kerana mungkin mereka tersilap dalam urutan sebenar dalam berhijab”.

 

“Urutan berhijab? Seperti dalam video tutorial di Youtube?” soal Amira.

Farah menggeleng.

 

“Yang aku maksudkan adalah urutan apa yang perlu dihijab dahulu”, jawab Farah. “Yang pertama sekali yang perlu dihijab adalah hati dan diri kau. Barulah kemudian dipakainya tudung. Bukan mengambil tudung dahulu, tetapi hati tidak terhijab”.

 

“Dan hati tidak perlukan Ariani atau Aidijuman, Amira”.

Amira mengangguk-angguk. Melihat Amira yang sudi mendengar lagi, Farah menyambung.

 

“Merisaukan lagi, ianya menjadi fitnah kepada mereka yang mahu bertudung, kerana seolah menjadi keperluan pula untuk memakai tudung yang berjenama. Kadang-kadang sudah manis bertudung, tetapi sakan pula selfie”.

 

Terlopong lagi Amira. Panjang pula khutbah kawannya.

“Sudah, Aku bukan hantu, masih lagi manusia, masih lagi kawan kau”.

“Kalau betul kawan, nanti teman aku pergi pasar malam ya. Tak sabar nak beli belah!”

Comments

comments

Comments are closed.