Si sufi sejati ; jiwa alahkan kebatilan, penegak kebenaran

Al-Haq dan Batil adalah dua unsur yang sentiasa wujud dalam kehidupan dunia ini. Kewujudan kedua-duanya muncul dalam segala aspek, daripada sekecil-kecil perkara iaitu hati manusia sehinggalah kepada pertempuran kedua-duanya di peringkat global ataupun dunia. Oleh itu, Islam tidak pernah sekalipun berhenti mengingatkan kepada umatnya tentang bahaya kebatilan dan menyingkapnya, dalam masa yang sama menerangkan kewajipan menegakkan kebenaran.

Kerana itu, Allah telah memberi amaran kepada kekasihnya yang tercinta, Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat Al-Qur’an;

 

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak akan sesekali redha kepada kepada kamu selagi kamu tidak mengikuti agama mereka.
(Al-Baqarah : 120)

 

Imam At-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini telah menerangkan bahawa permusuhan dalam ayat ini bersifat kekal abadi sehingga bila-bila, bermaksud tiada pengakhiran walau bagaimana pun kita mencari titik persefahaman. Selain itu, ayat ini membawa maksud;

 

“Wahai Muhammad, tinggalkanlah usaha mencari sesuatu yang boleh menyebabkan mereka redha dan bersetuju kepada kamu, tetapi carilah redha Allah dalam dakwah kamu kepada agama Allah yang merupakan satu hak (kebenaran)”.

 

Dalam ayat sama, Allah kemudian menekankan bahawa tiada kebanaran kecuali yang datang daripada Islam;

 

[ قل إن هدى الله هو الهدى ]

Sesungguhnya hidayah Allah itulah petujuk.

 

Ayat ini membawa maksud bahawa hanya Islam-lah satu-satunya kebenaran sedangkan apa yang datang daripada selain Islam daripada ajaran, ideologi mahupun fahaman adalah hawa nafsu. Syeikh As-Sobuni menyifatkan semua itu sebagai satu kesesatan.

 

Kebatilan dalam Pelbagai Bentuk

Kebatilan telah datang kepada manusia sejak dari dulu sehingga zaman sekarang dan akan berkekalan wujud sehingga hari kiamat. Jadi, adalah menjadi satu kemestian dalam perkara yang kekal lama untuk berevolusi, dinamik untuk berubah bentuk serta rupa supaya mudah diterima oleh masyarakat mengikut zaman. Begitulah yang terjadi kepada satu anasir yang kita panggil sebagai kebatilan atau kesesatan.

Bentuk mereka pada zaman dulu tidaklah sama seperti bentuk mereka zaman sekarang. Adakah kita membayangkan akan wujud seorang manusia yang mengaku Tuhan kemudian memaksa manusia sujud kepadanya dan menyeksa sesiapa yang ingkar sepertimana yang dilakukan oleh Firaun yang mewakili kebatilan pada zaman Nabi Musa? Mungkin wujud juga situasi begitu pada zaman ini, tapi sudah tentu akan mendapat tentangan ramai.

Oleh itu kebatilan akan mengubah rupa bentuk mereka dalam selagi mana objektif mereka adalah untuk menyesatkan anak Adam jauh daripada agama ini. Tidak semestinya dalam bentuk Firaun, tetapi dalam bentuk yang lebih mudah diterima manusia zaman ini.

Sebagai contoh mungkin mereka akan mencipta satu fahaman yang mengajar manusia mengetepikan wahyu, meletakkan kemuliaan akal lebih tinggi daripada wahyu, lalu mereka beramai-ramai menyebarluas fahaman ini untuk dianuti oleh manusia. Lebih mudah dan mesra manusia zaman moden kan?

Ini lah yang telah disebutkan oleh Imam Al-Alusi ketika menafsirkan ayat 257 daripada Surah Al-Baqarah;

 

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ

Allah adalah penolong orang beriman, Dialah yang mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya. Dan orang Kafir penolong mereka taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.

(Al-Baqarah : 257)

 

Dalam Tafsir At-tahrir Wat-Tanwir ada disebutkan tentang rahsia Allah menyebutkan perkataan ‘batil’ dalam bentuk jamak ataupun lebih mudah difahami dalam kaedah Bahasa Inggeris sebagai plural form sedangkan perkataan cahaya Allah didatangkan dalam bentuk mufrad (singular form). Hal ini kerana kebatilan itu mempunyai pelbagai bentuk dan seni kesesatannya sedangkan hak (kebenaran) itu hanya ada satu iaitu Islam.

Seorang sasterawan juga pemikir daripada negara Mesir telah mensyarahkan perkara ini dalam tafsir ayat dalam Surah Nuh bahawa kebatilan ini boleh datang dalam rupa individu, pemikiran dan juga sepertimana berhala pada zaman jahiliyah purba dahulu.

Oleh itu, tidak boleh tidak untuk kita melawan kebatilan itu perlulah sesuai dengan bentuknya. Bukanlah dengan menyerang mereka secara membuta tuli, membakar, mengangkat senjata, menembak sesuka hati, tetapi sepertimana mereka memujuk masyarakat dunia dalam menerima kebatilan, begitulah juga kita perlu mendatangkan hak dalam bentuk yang mudah diterima masyarakat.

Jika mereka menggunakan jalan hujah, maka kita perlu berlawan dengan hujah. Jika mereka menggunakan jalan undang-undang, maka dengan undang-undang jugalah kita perlu gunakan tanpa mengenepikan sepenuhnya bahawa suatu masa nanti mereka juga akan gunakan jalan kekerasan kepada kita. Oleh itu kita perlu seribu satu persediaan dalam berhadapan dengan mereka (kebatilan).

 

Penekanan daripada Tasawuf

Jika kita melihat secara rapi, tedapat banyak penekanan daripada golongan tasawuf secara tegas dalam menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan dari pelbagai sudut terutamanya dari segi hujah. Begitulah cara salafussoleh terdahulu memahami erti tasawuf dan cara membersihkan hati. Mana mungkin hati seorang itu bersih jika dia hanya membiarkan sahaja kebatilan di hadapan mata dan telinga mereka, kebatilan menguasai dan semakin bertambah kekuatan sedangkan mereka hanya duduk diam dalam masjid beru’zlah tanpa menyumbang apa-apa.

Ilmu tasawuf menitikberatkan permasalahan hati dan apa yang berkaitan dengannya. Kesucian hati membawa kepada elok seluruh anggota tubuh badan. Oleh itu tasawuf sentiasa mengambil jalan hati-hati dalam segala aspek yang boleh membawa kepada kekotoran jiwa. Dalam aspek menegakkan hak dan memerangi kebatilan, Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya yang masyhur iaitu Madarijul Salikin telah berkata:

Diharamkan kepada telinga untuk mendengar perkataan kufur dan bid’ah kecuali jika terdapat tujuan dalam dia mendengarnya iaitu;

  1. Untuk melawan mereka.
    2. Menjadi saksi kepada kesesatan mereka.
    3. Menambah kekuatan iman dengan mengetahui kontra baginya seperi kufur, bid’ah dan sebagainya.

Daripada kata-kata Ibnu Qayyim ini, maka boleh disimpulkan menjadi tanggungjawab kepada mereka yang berkuasa untuk menghalang segala suara dan peluang untuk menyampaikan perkara yang batil, yang bertentangan dengan hak kepada umum. Yang dibolehkan hanya jika seseorang itu dijamin kuat imannya dan mampu merealisasikan tujuan-tujuan di atas.

Seorang ulama’ sufi, Syeikh Abdul Qadir Al-Kailani juga telah menyebutkan dalam kitabnya tentang jiwa sebenar seorang yang benar dan arif billah apabila berhadapan dan diberi peluang untuk menegakkan kebenaran. Beliau berkata dalam kitabnya Fathul Rabbani;

 

“Apabila benar hati seorang hamba itu kepada Allah s.w.t. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran”

Kesimpulannya, menentang kebatilan dalam Islam adalah satu kewajipan yang tidak dapat dinafikan lagi dari segala aspek samada sudut hukum hakam syarak, sehinggalah pada jiwa seorang sufi yang tenggelam dalam ilmu tasawwuf. Tidak boleh tidak mereka mesti melangkah ke medan dan memerangi kebatilan dengan apa cara yang paling sesuai dan munasabah. Itulah jiwa seorang sufi yang sebenar.

Rujukan :

  1. Tafsir Al-Qurthubi.
    2. Tafsir At-Tabari.
    3. Sofwatut-Tafasir, Syeikh As-Sobuni.
    4. At-Tahrir Wat-Tanwir, Imam Al-Alusi.
    5. Madarijul Salikin, Imam Ibnu Qayyim

 

Muhammad M Hasan merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang juga bergiat aktif dalam Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir. Beliau kini sedang menuntut di Kuliah Usuluddin, tahun ke-3 di Jabatan Tafsir, Universiti Al-Azhar Kaherah.

Muhammad M Hasan merupakan kolumnis tetap web ismamesir.net yang juga bergiat aktif dalam Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir. Beliau kini sedang menuntut di Kuliah Usuluddin, tahun ke-3 di Jabatan Tafsir, Universiti Al-Azhar Kaherah.

Comments

comments

Comments are closed.