Topeng hero umat kini, pantaskah kita tertipu?

Beberapa minggu yang lalu kita telah dikejutkan dengan berita bahawa berlakunya perselisihan yang besar antara Russia dan Turki sewaktu mana Turki telah menembak jatuh sebuah pesawat milik Russia yang didakwa telah menceroboh kawasan udara Turki. Kemudian beberapa minggu setelah itu, kita dikejutkan pula dengan berita bahawa beberapa terroris warganegara Iran telah dihukum bunuh oleh negara Arab Saudi yang telah menyebabkan pejabat kedutaan Arab  Saudi di Iran diserang oleh beberapa orang  ekstrimis. Hal ini menyebabkan Arab Saudi dan beberapa Negara arab lain mengambil langkah untuk memutuskan hubungan diplomatik antara negara.

Kejadian-kejadian ini secara tidak langsung telah menimbulkan ketakutan dan tanda tanya kepada kaum muslimin. Terdapat segolongan yang berpendapat bahawa Turki telah telah terjerumus dalam perangkap yang dicipta oleh puak Kuffar. Dalam masa yang sama juga, golongan ini menolak Erdogan sekeras-kerasnya malah cuba merosakkan imejnya yang sebelum ini dipaparkan sebagai hero umat Islam. Bagi mereka Russia adalah hero yang umat Islam perlukan sekarang bagi menentang kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Israel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan North Atlantic Treaty Oarganization , NATO.

Dari satu sudut yang lain pula, wujudnya satu golongan yang mendakwa bahawa kita perlu perbaiki hubungan dengan Iran malah kita perlu bersatu dengan Iran atas dasar ukhwah Islamiyyah merentas sempadan faham Sunni-Syiah. Malahan meraka turut mendakwa bahawa kewujudan perpecahan Sunni-Syiah ini hanya akan melemahkan kekuatan umat Islam. Mereka berpendapat bahawa Iran adalah hero umat Islam sekarang, tiada Negara Islam yang sehebat mereka dari sudut kemajuan, ekonomi dan kestabilan negara.

Maka wujudnya dilemma yang timbul dalam kalangan umat Islam iaitu siapakah hero sebenar umat Islam? Adakah kita perlu mempercayai blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan konco-konconya? Atau adakah kita perlu bersatu bersama blok Timur yang diketuai oleh Russia, China, Iran dan beberapa negara lain. Berlumba-lumbalah pengikut masing-masing menegakkan blok yang diperjuangkan dan merendahkan blok yang dimusuhi. Meraka datang membawa dalil baik dari sudut aqli atau naqli.

Jawapan bagi kesemua soalan ini tidaklah payah, malah jawapannya adalah mudah dan jelas bagi mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Hero umat Islam pada waktu kini bukanlah Russia atau presidenya Vladmir Putin apatah lagi Amerika Syarikat atau presidennya Barrack Obama serta bukan juga Iran dengan topeng Islam syiahnya.

Datanglah mereka membawa imej betapa mereka sayangnya kepada umat Islam atau betapa prihatinnya mereka kepada Islam. Murni dan suci mana pon mereka, mereka tetaplah bukan hero umat Islam.

Jika kita kata bahawa Putin adalah hero umat Islam kerana dia pernah merasmikan Masjid di Russia serta beliau lantang bersuara menentang Amerika Syarikat yang sebelum ini seolah-olah berkuasa veto. Adakah kita telah lupa bahawa susuk tubuh yang sama juga telah membunuh ribuan umat Islam di Russia dan negara yang berdekatan dengannya.

Jika kita justifikasikan bahawa Obama adalah hero umat Islam kerana dia dari susur galur keluarga muslim malah dia bersikap prihatin terhadap komuniti muslim di Amerika Syarikat khususnya dan dunia umumnya. Kita perlu ingat juga bahawa susuk tubuh yang sama juga menghantar tentera ke negara Islam serta mengadakan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah supaya negara lain kekal tunduk di bawah naungan Amerika.

Malah di bumi kita yang tercinta iaitu Malaysia sendiri telah timbul satu suara sumbang yang mengatakan bahawa Democratic Action Party (DAP) adalah harapan bagi umat Islam pada waktu kini.

Adakah sudah hilang perasaan izzah kita terhadap Islam sehingga kita terpaksa mengambil hero dari kalangan kuffar malah lebih teruk lagi dari mereka yang menentang Islam?

Kenapa kita perlu bersikap inferior sehingga menyebabkan kita perlu mencari orang lain untuk menjadi hero umat Islam? Adakah hasil percaturan musuh Islam telah menyebabkan kaum Muslimin yang gah seperti singa bertukar menjadi kijang yang pengecut?

Kita tidak perlu menoleh ke kanan atau ke kiri untuk mencari hero, malahan kitalah yang perlu menjadi hero tersebut. Islam bukanlah agama magika di mana secara tiba-tiba akan datang Malaikat Jibril dari langit menyelamatkan Umat Islam yang tertindas. Islam adalah satu agama di mana Allah sebut dalam firmannya,

 

“Tolonglah Allah (agamanya), maka Allah akan tolong kamu”

(Muhammad : 7)

Islam adalah sebuah agama di mana jika kita ingin sesuatu, maka kita kena berusaha barulah bertawakkal untuk mendapatkannya.

Maka tidak boleh tidak, untuk menyelamatkan umat yang tertindas ini. Wajiblah kepada kita untuk menjadi hero kepada umat ini. Seorang hero yang menghabiskan waktunya hanyalah untuk memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan umat ini. Juga seorang yang sentiasa berwaspada dari tipu helah puak kuffar. Tidak perlu untuk kita menunggu seorang hero turun dari langit secara tiba-tiba, tetapi kitalah yang perlu menjadi hero.

Tiada jalan tengah dalam hal ini. Dalam hidup kita Cuma ada dua pilihan sahaja, sama ada kita menjadi hero yang menyelamatkan umat ini atau kita menjadi asbab kepada keruntuhan umat ini. Tiada jalan tengah, tiada jalan pintas, hanya dua jalan. Nabi bersabda dalam sebuah hadith ;

 

 “Barangsiapa yang tidak mengambil peduli hal muslimin, maka tiada bukan darinya (muslimin)”

(riwayat Bukhari dan Muslim)

Kini timbul satu isu baru, iaitu bagaimana untuk menjadi hero umat? Untuk menjadi hero bukanlah bermaksud kita kena memakai pakaian pelik-pelik seperti mana yang dipamerkan oleh hero yang dibayangkan oleh dunia barat seperti Batman, Superman atau lain-lain. Bukan juga menjadi seorang hero palsu seperti Obama dan Putin serta ISIS. Hero yang kita inginkan bukanlah hero fantasi dan khayalan semata-mata. Tetapi hero yang kita perlukan adalah hero yang benar dan realistik.

Siapakah yang layak dijadikan panduan untuk hal ini? Tidak lain dan tidak bukan, adalah generasi agung umat Islam iaitu golongan sahabat dan salafussoleh. Anda ingin contoh hero umat Islam yang perkasa? Maka cukuplah kisah Khalid Al Walid dalam mempertahankan Islam. Anda inginkan contoh hero umat Islam yang hebat dari sudut pengurusan ekonomi maka cukuplah kisah Abdul Rahman Auf sebagai pedoman.

Mungkin zaman kini sudah tiada hero sehebat mereka, tetapi kitalah pewaris pejuang-pejuang ini. Tidak layak urusan agama ini diberikan kepada selain dari kaummnya iaitu kaum muslimin. Tidak mustahil untuk kita kembali menjadi pengurus dunia ini, penyelamat dunia ini malah pemerintah dunia ini. Ini adalah janji yang telah Allah berikan kepada kaum muslimin bahawa Allah akan mewariskan bumi ini kepada kaum yang beriman.

Seterusnya sudah berakhir masa untuk kita menunggu dan tibalah masa untuk kita menjadi penyelamat. Dan cara untuk merealisasikannya tidak lain dan tidak bukan adalah melalui jalan dakwah dan tarbiah. Hanya dakwah dan tarbiah akan menyelamatkan umat ini, bukan Putin bukan Obama serta bukan juga Erdogan sendiri. Datanglah seorang pemimpin sehebat Erdogan mentadbir Malaysia, Malaysia tetap tidak akan berubah selagi mana rakyatnya masih berpegang dengan fikrah jahiliyyah.

Kerana kejayaan bagi sesuatu umat itu bukanlah terletak pada satu susuk tubuh. Tetapi kejayaan itu terletak kepada umat itu sendiri secara kolektif. Kita bukan hanya perlukan pemimpin seperti Abu Bakar dan Umar ra, kita juga perlukan rakyat seperti Abdul Rahman Auf, Abdullah bin Mas’ud serta lain-lain. Umat ini tidak menuntut seorang hero, umat ini menuntut semua individu darinya untuk menjadi hero tersebut.

Percayalah sehebat mana musuh kita menyerang dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial. Kita tetap akan menang seperti mana yang dijanjikan oleh Allah. Yakinlah dengan janji Allah yang Maha Esa, sesungguhnya Allah bersikap benar dalam janjinya. Berhentilah menunggu untuk turunnya bantuan Allah dan mulalah berusaha untuk menjadi asbab kepada bantuan Allah. Berhentilah berharap kepada kaum kuffar, dan mulalah yakin dengan umat Islam. Izzahlah dengan agama ini, genggamlah amanat yang telah diamanatkan oleh Allah dan teruskanlah bertahan sehingga bantuan Allah tiba. Saya habiskan petikan ini dengan sebuah firman dari Allah S.W.T. yang bermaksud ;

 

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

( Al Baqarah : 214)

 

Muhammad Hafizuddin Nordin merupakan aktivis ISMA Mesir yang giat berkarya. Beliau kini sedang menuntut di Markaz Bahasa Al-Azhar, dan berhasrat untuk menyambung pendididikannya dalam bidang Syariah Islamiyyah.

Muhammad Hafizuddin Nordin merupakan aktivis ISMA Mesir yang giat berkarya walaupun pada umurnya yang muda,  menjelang 20-an. Beliau kini sedang menuntut di Markaz Bahasa Al-Azhar, dan berhasrat untuk menyambung pendididikannya dalam bidang Syariah Islamiyyah.

Comments

comments

Comments are closed.