Tinta jauhar graduan Al-Azhar (part 1) – Sifir-sifir kehidupan di Mesir

Segala rahsia penciptaan, aturan-aturan syariat, akhlak dan jihad, dosa dan pahala adalah guru. Yang akan memperkenalkan kita kepada yang Maha Agung, Allah. Tuhan sekalian alam.

Pengalaman adalah seorang guru. Alam sekitar, segala ciptaan yang indah-indah, adalah seorang guru. Mereka tidak pernah mengecewakan manusia yang berfikir dalam. Pengalaman dan alam sekitar tidak pernah mengecewakan orang yang hidup untuk dunia dan akhirat. Manakala orang hidup untuk dunia sahaja akan banyaklah kerakusan dan kekecewaan.

Adalah memenuhi identiti seorang manusia, apabila hidup untuk dunia dan akhirat, di atas sebuah jalur kehidupan yang panjang, dalam setiap gerak hati dan gerak amal.

Umpamanya, berusaha memahami suatu perbahasan ilmu atau sedang merancang sesuatu untuk hidup yang lebih berubah kehadapan, dengan titik terakhir keinginannya berupa duniawi semata. Berbeza dengan melakukan perkara-perkara tadi, akan tetapi diusahakan untuk tujuan dunianya, dan akhiratnya sekaligus.

Orang yang hidup untuk dunia, akan terbatas pada kayu ukur hawa nafsu, sangkaan tertentu, hipotesis serta analisis tertentu dan keinginan tertentu. Manakala orang yang hidup untuk dunia dan akhirat akan berusaha memenuhi citarasa iman,  Allah dan rasul serta memandu diri menurut aturan syara’.

Hal ini termasuklah dengan peperiksaan, ilmu, berada di Mesir, khususnya memilih untuk menghabiskan antara perhentian kehidupan di madrasah Al-Azhar As-Syarif.

Sebahagian Jangka Hayat

4 tahun itu singkat sahaja. Untuk ukuran sebuah perjalanan menuntut ilmu. Kalaulah menuntut ilmu di sekolah selama 4 tahun itu singkat kerana banyaknya bekalan pengalaman dan ilmu pengetahuan, apalah pula jika hendak dibandingkan dengan khazanah ilmu dan kehidupan di Mesir. Khususnya, keagungan Al-Azhar. Apalah pula, sekiranya ilmu yang dipelajari itu adalah ilmu agama, selok-belok hukum hakam dan panduan kehidupan di dunia dan akhirat. Dia (Al-Azhar) sudah berdiri ribuan tahun sekiannya, sementara aku hanya mencelupkan kaki hanya 4 tahun dari ribuan tahunnya.

Sungguh, itu sangatlah singkat.

Akan tetapi, Alhamdulillah tentunya aku bersyukur kerana diberi keizinan Tuhan untuk menamatkan 4 tahun ijazah di sini (Al Azhar, Kaherah). Kita dituntut mensyukuri atas segala nikmat yang dikurniakan sepertimana kita dituntut meminta keampunan dan bertaubat atas segala kekhilafan, sepertimana kita dituntut bersabar atas sekalian musibah yang menjengah, sepertimana kita dituntut berusaha keras untuk sesuatu yang ‘mahal’ harganya. Menuntut ilmu di Al-Azhar dan sekitarnya, memang mahal. Hanya dengan sifir-sifir di atas, Allah berkenan membekalkan keredhaan dalam kehidupan seharian, keberkatan masa, kita akan bertambah juhud dan bersungguh-sungguh serta memanfaatkan segala potensi diri untuk menuntut ilmu.

Mereka yang tidak mengambil peduli dengan sifir kehidupan yang asas seperti itu, akan terperangkap dalam beberapa keadaan. Belajar untuk peperiksaan semata-mata. Disusahkan Allah untuk belajar dan memahami pelajaran. Pembelajaran tidak hidup kepada kehidupan diri. Atau mungkin, berjaya menamatkan tahun-tahun di Al-Azhar, tetapi makin mengkhianati agama.

Antara pesanan guruku sewaktu di kuliah syariah dahulu, beliau sangat menekankan soal kesungguhan dalam menuntut ilmu. Masih segar dalam ingatan, ketika itu pelajaran Adab Balaghah (sastera arab). Beliau meminta salah seorang daripada kami untuk segera menutup pintu kelas. Jam tepat 9 pagi. Sementara diluar, masih ramai yang belum masuk ke kelas. Seminit dua terlewat.

Dia duduk, sambil membuka buku pelajaran,membetulkan bingkai kaca mata. Lalu mengungkapkan;

Orang yang tidak memberi masa dengan baik untuk ilmu, tidak menyediakan peluang dengan baik untuk hidup dengan mulia di akhirat kelak

Mari kita mulakan…….

Ringkas, dalam, dan tajam. Selain soal memberi masa, yang saya fahami daripada pesanan beliau ialah soal kesungguhan.

 

1920450_638784509490181_255072524_n

Muhammad Amirul Bin Azmi merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar. Beliau berjaya menamatkan pengajian Syariah Islamiyyah di menara gading tersebut dengan tempoh empat tahun, serta merupakan ketua syukbah ISMA Mesir Hayyu Asyir.

 

Comments

comments

Comments are closed.