Dari ‘average’ ke Mumtaz : perjalanan seorang siswa perubatan di Al-Azhar

 

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Bersama kesulitan itu ada kemudahan”

(Surah Al-Insyirah : 5-6)

Perlu dipahat dalam dada seorang muslim yang bergelar pelajar, tentang betapa pentingnya menilai setiap halangan yang bakal dihadapi semasa berjihad dalam medan ilmu. Setiap kesulitan dan kepayahan yang dihadapi merupakan satu potensi yang membuka jalan untuk menuju kepada kejayaan.

Jika tidak, mana mungkin Ar-Razi mampu merungkai rahsia demam yang merupakan mekanisma tubuh untuk melindungi diri atau kejayaan Thomas Edison dalam mencipta lampu selepas 999 kali menemui jalan kegagalan. Inilah bukti kemampuan manusia menjadikan kesulitan satu daya penolak kepada terhasilnya penemuan yang lebih berfaedah bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga mampu menyumbang kepada kemudahan manusia sejagat.

Muslim itu juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari daripada bertembung dengan situasi futur atau lemah. Saya sendiri berhadapan dengan situasi yang benar-benar menguji tahap kekuatan iman dan semangat, semasa menuntut dalam tahun ke-5 pengajian Perubatan. Satu-satunya perjalanan pencarian ilmu yang paling panjang sepanjang lima tahun berada di Universiti Al-Azhar.

Tahun pengajian selama setahun setengah dipenuhi dengan peperiksaan setiap dua minggu, kelas tambahan luar waktu kuliah dan jadual peperiksaan akhir tahun yang terlalu padat dengan matapelajaran perubatan dan agama yang diselang selikan memaksa saya memilih hanya pilihan iman sebagai pegangan. Hilang segala motivasi dalam diri, hilang segala cita-cita yang menjadi pembakar semangat dan hanya iman seorang muslim yang masih tinggal mendesak diri agar tidak berputus asa. Allah berfirman,

“Allah tidak membebani seseorang muslim itu melainkan sesuai dengan kesanggupan”

(Surah Al-Baqarah : 286)

Percaya atau tidak, walau cemerlang mana pun seseorang pelajar itu, ia pasti akan mengalami situasi bertempur melawan kesukaran. Tetapi bezanya dengan seorang muslim sejati adalah tahap kekuatan jiwa masing-masing. Jadi, pentingnya persiapan dan pemahaman sebelum bertempur dalam peperangan ilmu demi menuju kejayaan.

“Aku tembak sahaja soalan tadi. Tak tahu apa jawapanya”

Sebagai seorang pelajar, situasi seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan apabila kita berhadapan dengan soalan peperiksaan yang susah dan tidak mampu dirungkai. Tetapi sedarkah kita, bahawa definisi ‘tembak’ yang digunakan selama ini adalah salah dan membawa padah ? Jika dilihat pada kehebatan penembak negara, Hasli Izwan atau pemegang gelaran pemanah Islam terhebat, Sa’ad Bin Abi Waqqash, kedua-duanya tahu tentang tujuan dan hala tuju peluru atau anak panah yang bakal dikeluarkan. Setiap satunya tidak akan dibazirkan tanpa sasaran yang benar-benar meyakinkan.

Bagaimana pula dengan kita? Secara tepatnya, konsep menembak di dalam peperiksaan adalah yakin dengan jawapan yang diberi kerana istilah peluru yang kita keluarkan dalam medan peperiksaan merupakan hasil persiapan yang telah diusahakan selama ini. Jadi peluru itu mempunyai nilai yang tinggi kerana ia adalah harapan dari ummah untuk kita.

Tidak dinafikan, kadang kala usaha yang telah dilakukan tidak memberikan hasil yang diimpikan. Terdapat banyak faktor yang perlu disemak semula sepanjang perjalanan kita meneroka keindahan ilmu pengetahuan sehingga akhirnya kita menemui kegagalan.

Antara faktor penting yang ingin saya bicarakan disini ialah mengenai redha. Bagi saya, sebagai seorang muslim, redha Allah adalah sasaran pertama yang harus digapai. Antara pelaburan yang paling penting untuk mendapatkan keredha Allah adalah dengan mendapat keredhaan daripada kedua ibubapa. Tanpa keredhaan mereka maka tidak adalah keredhaan daripada Allah.

Berapa ramai di antara kita yang meminta keredhaan kedua ibubapa sebelum ke kelas? Satu amalan yang mudah tetapi hilang dalam jiwa seorang anak. Menjadi kepastian buat kami adik beradik untuk sekurang-kurangnya menghantar pesanan ringkas kepada kedua ibubapa sebelum kaki melangkah ke kelas setiap pagi. Dengan dunia yang penuh dengan kemudahan teknologi seperti aplikasi Whatsapp, Viber, Facetime dan sebagainya, lebih memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi dengan mereka.

Saya sudah amalkan, anda bila lagi? Persoalan adakah saya anak manja atau ‘anak mak’ ? Ya, saya anak ibu ayah dan saya mengejar keredhaan daripada mereka setiap hari agar saya mendapat keredhaan Allah di atas setiap tindakan yang bakal saya laksanakan kerana saya punya cita-cita yang tinggi dan kerana ummah memerlukan saya.

Kita bebas untuk mempunyai impian yang tinggi. Impikanlah kejayaan dalam tempoh 10 tahun kehadapan kerana ia mampu untuk membantu kita mencorakkan daya usaha yang bakal dikeluarkan. Tetapi impian mempunyai dua definasi iaitu antara cita-cita dan anggan-anggan. Bezanya bukan terletak pada sasaran yang mungkin kelihatan samar-samar atau mustahil kerana sesuatu yang mustahil itu bakal menjadi satu realiti sekiranya kita benar-benar yakin dengan diri sendiri.

Cita-cita adalah satu impian yang di dalam perjalanannya penuh dengan usaha dan semangat yang kental tanpa ada rasa malas dan lemah semangat. Sifat malas adalah fitrah manusia yang boleh dipangkas, kerana jika dibentuk sifat tersebut, ia hanya akan menyumbang kepada hilangnya kepercayaan pada diri sendiri dan penyumbang terbesar kepada sebuah kegagalan.

Memetik kata-kata Tim Harford dalam buku Adapt : Why Success Always Start With Failure, iaitu “few of our own failure are fatal” bermaksud kegagalan boleh membawa padah malah kegagalan juga adalah sebahagian daripada tangga menuju kejayaan.

Dengan kegagalan kita akan menjadi lebih matang, lebih bersedia dan lebih berhati-hati dalam memilih hala tuju agar impian bukan hanya angan-angan yang berlalu seperti daun kering yang ditiup oleh angin tetapi ia adalah cita-cita yang menjadi akar kepada tertegaknya sebuah pokok yang kukuh mencengkam tanah, megah melambai udara dan mekar bunganya menghiasi alam. Mekarnya bunga bermaksud terbitnya fajar kemegahan ummah kerana anak mudanya menjadi manusia berjaya.

Ibn Sina, Ar-Razi dan Khawarizmi adalah tokoh ilmuwan Islam zaman silam yang banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan. Namun kini, sudah tiba masa kita untuk mengorak langkah. Mereka adalah sejarah masa silam tetapi kita adalah pencetus masa hadapan yang menjadi penguat ummah. Ummah memerlukan kita, jadi masih ada masakah lagi untuk kita membelai sifat malas?

 

Ahmad Uzsair Umair Bin Mohd Johar merupakan penuntut tahun ke-6 di Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar, Kaherah. Beliau berjaya meraih pangkat Mumtaz pada tahun ke-4 pengajiannya dan masih menuggu keputusan tahun ke-5. Beliau amat menitikberatkan soal akademik dan diiktiraf rakan-rakan sebagai seorang yang rajin dan gigih berusaha.

Comments

comments

admin