Aspirasi Ar-Rasul menjangkaui pemujaan semata

 Aspirasi Ar-Rasul menjangkaui pemujaan semata

Tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya. Pastinya azam tahun baru 2016 mula dipasang oleh rata-rata orang khususnya bagi yang bergelar mahasiswa. Lebih-lebih lagi, penutup tahun ini cukup istimewa kerana ia seiring dengan ulang tahun kelahiran idola teragung kita iaitu Rasulullah ﷺ.

Apabila nama Nabi Muhammad disebut, seringkali terbayang imej yang suci dan maksum dalam minda kita. Seorang nabi yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan risalah Islam sebagai rahmat ke atas seluruh alam. Peribadi yang begitu dikagumi oleh keseluruhan manusia baik pengikut baginda mahupun musuh.

Namun, memetik kata-kata Mohd Qutb dalam bukunya ‘Qabasat min Rasul : Hadis-Hadis Pilihan Nabi’, beliau berkata gambaran Rasulullah dalam hidup manusia kini sekadar kekaguman dan kecintaan sahaja. Ia bukanlah gambaran hidup dan bergerak dalam realiti kehidupan dalam kehidupan umat Islam kini. Justeru kita seharusnya berusaha kuat dalam meneladani kehidupan baginda, bukan sekadar cinta atas lafaz tetapi tidak mempraktikkan perjuangan kehidupan baginda.

Kita sering mendengar peranan Rasulullah sebagai utusan Allah yang menyampaikan dakwah dengan hikmah. Kita juga diceritakan tentang kisah mukjizat-mukjizat baginda yang agung. Namun kita kurang didedahkan tentang kecerdikan dan kebijaksanaan baginda sebagai seorang pemikir atau ketua.

Jika ditanyakan kepada kita, siapakah manusia paling bijak sekali di dunia ini? Mungkin kebanyakan daripada kita akan mengatakan Albert Einstein lah yang paling bijak. Tidak kurang pula yang mengatakan Bill Gates atau Stephen Hawking. Jarang sekali mendengar daripada mulut kita yang paling bijak sekali adalah kekasih terulung kita iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

Allah telah melantik sebaik-baik manusia untuk menjadi ikutan manusia yang lain sepanjang zaman. Masakan orang yang dipilih oleh Allah terdapat kekurangan padanya daripada manusia yang lain? Sudah tentu tidak! Malah Allah telah mengemukakan baginda sebagai contoh sempurna untuk ikutan seluruh manusia.

“Sungguh, telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orag yang mengharap rahmat Allah dan hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah” (Al-Ahzab : 21)

Pada era teknologi canggih kini, banyak perkara sudah menjadi mudah. Hidup terlalu senang sehingga kita seakan-akan tidak dapat memahami satu ungkapan ulama “Kesusahan dan cabaran membentuk seorang rijal (yang kuat dan kompeten)”. Jika kita lihat kehidupan Rasulullah, baginda belajar mengembala kambing seawal usia 4 tahun. Kebanyakan kita tidak dapat pernah membayangkan pun bagaimana untuk mengembala sekumpulan kambing pada zaman kini. Menguruskan makan minum kambing-kambing yang dijaga, menyediakan tempat membuang mereka, memastikan seekor pun tidak terlepas daripada kawalan dan macam-macam lagi.

Pengalaman mengembala kambing selama bertahun inilah yang membina peribadi Rasulullah ﷺ dalam memahami ragam manusia dan tahu bagaimana untuk mengendalikannya. Di situ baginda menanam sifat sabar dan peribadi kepimpinan. Malah, seakan-akan Allah mewajibkan pekerjaan mengembala kambing kepada semua nabi terdahulu juga sebagai persediaan dalam memimpin manusia.

Rasulullah pernah bersabda dalam hadis riwayat Bukhari, “Allah tidak mengutus seorang Nabi melainkan dia pernah mengembala kambing.” Lalu sahabat bertanya, “Apakah kamu juga?” Baginda menjawab, “Ya, aku pernah mengembala kambing milik penduduk Mekah dengan imbalan beberapa Qirath”.

Kebijaksanaan baginda juga terserlah apabila baginda menceburi bidang perniagaan. Bapa saudaranya seringkali membawanya ke luar kota untuk berniaga, dan di situlah baginda belajar. Khadijah Khuwailid, seorang pedagang yang kaya raya mengamanahkan baginda dengan harta dagangnya sekali ganda lebih banyak daripada diberikan pada lelaki kaumnya sendiri. Rasulullah berjaya membawa keuntungan yang berganda dalam perniagaan tersebut meskipun bidang perniagaan pada masa itu dikuasai oleh orang Yahudi.

Jelas di sini, bukan setakat sifat amanah Rasulullah sahaja yang boleh membawa keuntungan yang selumayan itu, tetapi juga kehebatan ilmu perniagaan baginda yang dipelajari daripada kecil. Jikalau kita lihat sekarang, siapa yang mengawal ekonomi maka dia mengawal kuasa dunia. Lihat sahaja persaingan Rusia dan China dengan Amerika Syarikat kini, ianya melibatkan perebutan ekonomi dunia untuk menentukan siapa yang lebih berkuasa.

Mari kita teladani juga kisah Rasulullah lain yang menunjukkan baginda sebagai seorang pemikir hebat. Perjanjian Hudaibiah yang awalnya dilihat langsung tidak memberi keuntungan kepada umat Islam rupanya menjadi titik tolak penyebaran Islam di luar negara Arab. Malah, ia juga merupakan kunci kejayaan peristiwa pembukaan Kota Mekah. Kebijaksanaan baginda dalam merangka perancangan masa hadapan patut dicontohi oleh para pemimpin kini terutamanya negara Islam.

Terdapat pelbagai lagi kisah yang menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah yang boleh kita teladani. Sebagai umat yang mengaku sebagai pengikut baginda, keterbelakangnya kita dalam menjuarai bidang-bidang yang menguasai dunia patut kita koreksi kembali. Di manakah orang-orang Islam dalam persaingan ekonomi dunia sekarang? Bagaimanakah keadaan politik negara-negara Islam kini? Adakah mereka mampu berdiri sendiri atau hanya mengharap bantuan negara luar? Siapakah yang menjuarai bidang yang mengawal sosial masyarakat sekarang?

Generasi pemuda Islam zaman sekarang merupakan harapan untuk mengembalikan kegemilangan Islam kini. Kelompongan dalam bidang-bidang penting dalam negara memerlukan generasi harapan ini untuk mengisinya. Segulung ijazah yang dikejar bukan lagi menjadi impian sendiri tetapi juga impian umat. Seharusnya kita merasakan kepentingan mencapai cita-cita umat ini dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

 

Zainun Nadhirah Binti Abdul Nasir

Aktivis ISMA Abasiyyah-Sayeda Zainab

Tahun ke-6 kuliah Perubatan Universiti Kaherah

Comments

comments

admin