Paris, dunia dan kita

Kita sedih melihat apa yang berlaku di Paris, rakyat yang tak selayaknya dibunuh dengan begitu kejam seolah-olah tiada nilai nyawa dan hidup. Jika perang yang diiginkan, bertarungkah dengan sekalian askar para perajurit di medan perang. Berbunuhanlah di situ dengan jantan. Bukan dengan tak tahu malunya mendabik dada dengan penuh bangga selepas ‘menang’ bertarung dengan orang awam yang tak bersenjata. Ia merupakan tindakan zalim yang binatang pun tak tergapai untuk melakukananya. Sedih, pilu, marah, semua ada.

Nah, kucupkan emosi anda sekarang dan letakkan ia di satu sudut dalam satu prisma yang luas. Alihkan pandanganmu ke satu sudut yang lain. Siapa dan mengapa? Mengapa Paris? Pandangan emosi kini tak mungkin dapat meleraikan persoalan tersebut. ISIS? Ada kemungkinannya sejak aktiviti gerakan tersebut sering mencetuskan hura-hara di merata tempat serta polisi ekstrem anti kafir yang sering dicanang,  namun apa buktinya? Mungkin juga ia sandiwara ISIS yang mengambil ‘pujian’ atas tindakan kejam pihak lain bagi menonjolkan kehebatan mereka.

Percaturan dunia amat kompleks dan tak mampu untuk difahami dengan satu sumber bacaan atau diskusi kecil bersama rakan sekeliling. Ia memerlukan fahaman ideologi penguasaan dan fasih membaca sejarah dunia dengan teliti. Kerana falsafahnya tetap sama, mungkin caranya agak berbeza mengikut peredaran zaman.

Tidak hairan jika trajedi ini dicetuskan sendiri oleh orang dalam. Ia bukan ‘dosa’ bagi pemain-pemain politik dunia untuk membunuh rakyat sendiri bagi memulakan langkah besar dalam permainan ini. Ia juga bukan perkara yang asing jika diimbas kembali sejarah manusia. Pengeboman kota Raqa di Syria oleh pesawat Perancis atas alasan tindak balas peristwa maut di Paris yang mengorbankan lebih seratus nyawa, masih boleh dipertikai.

Malangnya sedang permainan catur antara kuasa besar dunia kian berlangsung, para penonton pula yang tertempelak. Sejurus trajedi di Paris dengan tak semena-mena orang Islam terutama di negara Barat menjadi sasaran netizen di sana. Paling teruk apabila nyawa mereka pula yang dikecam. Laporan terbaru pula melaporkan sebanyak 20 wilayah di Amerika Syarikat telah menghalang sebarang kemasukan mangsa pelarian Syria, dan ia bakal diikuti oleh beberapa negara di Eropah.

Di sini media memainkan peranan penting dalam menggambarkan sesuatu peristiwa dengan pandang sisi tertentu, mengikut acuan gerak kerja syarikat penerbitan berkenaan yang dibiayai oleh tidak lain tidak bukan, para penjaring gol dalam perlawanan sengit antara pasukan prima di tahap antrabangsa ini.

Media dan kesan (aftermath), masing-masing juga berada di satu sudut yang berlainan dalam prisma besar tadi.

Berbalik kepada emosi, adakah kita jujur dalam mencurahkan simpati? Kita cukup cukup sedih dan bersolidariti ke atas keluarga mangsa di Paris kerana fitrah manusia yang normal memang begitu. Namun jika diimbas kembali ketika tanah-tanah arab di sekitar Palestin, Syria dan Lebanon dibedil roket-roket dan misil hingga mengorbankan kanak-kanak kecil yang masih tak mengenal erti hidup, hospital dan sekolah, atau ketika rakyat di Afrika dan Burma disiat kulitnya hidup-hidup. Tika ratusan malah ribuan mangsa menjerit merayu pertolongan untuk hidup, dimana solidariti kita?

Ya, media ternama yang patut dipersalahkan dengan kurang menghangatkan isu-isu tersebut, tapi adakah kita terlalu naif untuk turut serta dalam permainan hebat ini sementara kita punya pilihan untuk bijak memilih saluran berita dan cakna tentang isu umat sejagat. Jangan jadi mandom dan terima bulat-bulat apa disuap akhbar Barat.

Bagai satu sinar cahaya putih yang dituju ke arah satu prisma kristal, mengisbas tujuh warna pelangi yang indah. Setiap satu peristiwa yang berlaku, ada cerita tersendiri disebaliknya yang harus dilihat dari pelbagai sudut dalam menilai. Pasti ada dalangnya dan motifnya. Ada watak antagonis dan agonisnya. Ada konspirasi dan tipu helahnya, dan sesiapapun boleh dijadikan suspek jenayah. Luaskan dan betulkan neraca dalam menilai, maka anda akan dapat lihat rangkaian antara satu dengan yang lain dengan jelas.

Syafie Mokhtar

Comments

comments

admin