Orang yang tiada agenda akan diagendakan -Wan Nurhazila

TANTA, 13 November – “Hidup bukan sebagai permainan, tetapi kehidupan kita di dunia ini mempunyai matlamat dan agenda yang sangat besar. Wanita aset terpenting dalam kemenjadian generasi baru, munculnya para ulama’ yang hebat lahir dari rahim para ibu yang hebat. Maka kita perlu didik jiwa menjadi hebat”, kata Ustazah Wan Nurhazila Binti Wan Azeri, penuntut tahun keempat Fakulti Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar Kaherah merangkap ketua Lajnah Perundangan Islam Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) Mesir.
ISMA Mesir cawangan Tanta telah berjaya mengadakan diskusi Bicara Muslimah bertemakan ‘How to be a productive muslimah’ bertujuan untuk mengingatkan kembali peranan wanita dalam mendidik masyarakat dan membangunkan umat. Program ini telah diadakan di Teratak Adhwa, Tanta pada petang 3 November yang lalu.

Dalam pada itu, Ustazah Wan Nurhazila telah merungkaikan dalam perkongsiannya tentang sejarah kewujudan wanita di bumi dan kronologi kedudukan wanita mengikut zaman serta menyatakan peranan terbesar yang perlu ditekankan oleh semua golongan wanita terutama dari aspek pembangunan jiwa imani serta pengurusan diri. Disamping itu juga, Ustazah Wan Nurhazila telah menceritakan beberapa tokoh wanita, antaranya Yoyoh Yusra serta para syuhada’ di bumi Palestin dan perlembahan Nil untuk dijadikan tauladan.
Menurut Ustazah Wan Nurhazila, “dalam menelusuri kehidupan yang penuh mehnah akan menyebabkan jiwa lelah sekiranya tidak disirami ruhiyyah iman yang teratur, dijaga dan ditingkatkan. Disamping membina dzatiyyah diri, perlu juga memupuk kesabaran luar biasa dan penjagaan kesihatan yang konsisten”. Sambung beliau lagi,
“kita perlu mengkaji sejarah dan mempunyai agenda hidup yang jelas, berjiwa besar serta tegas dengan prinsip. Ketahuilah bahawa orang yang tiada agenda akan diagendakan”.

Comments

comments

admin