“ISMA Mesir kearah organisasi mahasiswa terkehadapan” – Ust Abdullah Zaik

MAKRAM ABID, 3 November – “ISMA Mesir mempunyai misi dan agenda yang penting kearah organisasi mahasiswa terkehadapan, bagi memandu arus dan menangani isu-isu berkaitan mahasiswa di Mesir. Perjalanan dakwah di Malaysia amat memerlukan para ilmuan yang kompeten untuk memacu agenda Islam di Malaysia dan ISMA Mesir mempunyai pakej yang lengkap”, tegas Ustaz Abdullah Zaik Bin Abdul Rahman, presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Malam Aspirasi ISMA Mesir pada 22 Oktober yang lalu.

Ustaz Abdullah Zaik juga sempat mengetengahkan saranannya kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan Nil tentang pentingnya kecemerlangan akademik dan bekalan tarbiyah yang mencukupi berbanding sentiasa sibuk dengan aktiviti mengurus organisasi, terutama ketika waktu belajar. Beliau juga sempat mempasak cita-cita dan aspirasi bagi ISMA Mesir secara khususnya dan seluruh penuntut di Mesir secara umumnya,  supaya menjadi penyumbang terbaik dan utama kepada amal dakwah di Malaysia.

Tambah beliau, “saya percaya sekiranya kalian semua bersungguh-sungguh mendokong agenda dakwah ini, ISMA Mesir dan seluruh mahasiswa dan mahasiswi di Mesir mampu memainkan peranan yang kita (umat Islam di Malaysia) harapkan dengan seimbang. Pencapaian dalam kerjaya dan akademik adalah sebahagian daripada profail pendakwah yang berjaya. Itu pegangan kita, jangan korbankan salah satu”.

Ustaz Abdullah Zaik kemudiannya menyatakan bahawa usaha dan amal yang dilaksanakan oleh kesemua aktivis ISMA di seluruh dunia adalah untuk menampilkan aspirasi perjuangan sebenar yang menterjemahkan kehendak, cita-cita, dan isi hati umat Islam di Malaysia.

“Kita mempunyai masa keemasan, jadi jangan lalai, jangan leka. Ambil peluang ini untuk kita sumbang dan beri apa yang terbaik”,  berikut merupakan pesanan terakhir Ustaz Abdullah Zaik pada Malam Aspirasi tersebut.

Malam Aspirasi ISMA Mesir yang telah diadakan di dewan serbaguna Masjid Al-Arqam itu telah berlangsung pada Khamis 22 Oktober yang lepas, sempena menyambut 9 tahun penubuhan ISMA Mesir sejak tahun 2006. Majlis tersebut juga diserikan oleh kehadiran Ustazah Norsalehah Binti Mohd Saleh, Ketua Wanita ISMA dan Ustaz Wan Hisyam Bin Wan Embong, ahli Jawatankuasa Pusat ISMA. Majlis dimeriahkan lagi dengan acara penyampaian anugerah kecemerlangan akademik dan tokoh, cabutan bertuah, persembahan pidato dan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid Naseh.

Comments

comments

Comments are closed.