Islam Sebaik-baik Penakluk

Penjajahan itu bukanlah sesuatu yang dikehendaki oleh mana-mana pihak. Tidak wujud satu negara atau bangsa yang sanggup hidup dijajah oleh kuasa asing. Jika disebutkan penjajahan, sudah tentu kita akan terbayangkan kesengsaraan, kehinaan serta kezaliman yang dirasai oleh nenek moyang kita. Hakikat penjajahan bukanlah suatu kisah yang indah dipenuhi dengan tawa dan senyuman. Hakikat penjajahan adalah sebuah kisah yang sedih lagi memilukan, bahkan hingga kini kita boleh melihat kesan  daripada penjajahan Barat ke atas negara kita, Malaysia.

Oleh itu, secara amnya adalah suatu perkara yang mustahil untuk menyatukan kalimah penjajahan serta rahmah dalam satu ayat yang sama. Apatah lagi sekiranya kita menyatakan bahawa penjajahan itu adalah sebab kepada rahmah. Sudah tentu kita akan menganggap ianya suatu perkara yang mustahil dek kerana episod sedih yang telah menimpa tanah air kita suatu ketika dahulu.

Untuk menerangkan apa yang ingin saya sampaikan, biar saya tonjolkan beberapa episod penjajahan yang pernah berlaku sepanjang sejarah peradaban manusia.

Kezaliman penjajahan

Pada tahun 1492, bermulalah kisah sedih penjajahan Sepanyol terhadap empayar Islam di Eropah. Kesan penjajahan tersebut, tercatat bahawa sekitar 100000 muslim telah dibunuh manakala selebihnya diberi pilihan samada murtad atau diusir keluar dari negara Sepanyol dengan hanya dibenarkan untuk membawa sejumlah kecil daripada harta mereka. Sekiranya didapati ada cubaan untuk membawa keluar emas atau barang berharga, mereka akan dihukum dengan hukuman yang keras. Cuba bayangkan betapa peritnya perasaan umat islam pada ketika itu, dihalau dari tanah sendiri setelah dijajah oleh musuh.

Pada tahun 1521 pula, Sepanyol diketuai oleh panglima perangnya, Cortes telah menjajah empayar Aztec. Dalam tempoh 80 tahun sahaja, jumlah rakyat Aztec telah merosot secara mendadak dari 25 juta hingga 1.3 juta hasil dari pembunuhan ramai-ramai serta kezaliman yang dilakukan oleh Sepanyol kepada tawanan jajahanya. Manakala yang hidup pula dijadikan hamba untuk mengaut segala hasil emas dan perak untuk dibawa ke Sepanyol. Begitulah realiti penjajahan, sang penjajah semakin kaya manakala yang dijajah semakin miskin apabila harta yang dimilikinya telah dirampas secara zalim oleh penjajah yang tidak berhati perut.

Tahun 1621 oula menyaksikan, Belanda melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (Vereenigde Oost-Indische Compagnie, VOC) telah menjajah Plau Banda, Indonesia. Menurut sejarah, dalam penjajahan tersebut kesemua penduduk pulau itu telah dibunuh manakala 1000 orang dibiarkan hidup untuk menjadi hamba abdi bagi bercucuk taman buah pala. Betapa kejamnya penjajah ini, setelah dibunuh hampir keseluruh rakyatnya terus diperhambakan sisa yang masih bernyawa.

Tambahan pula pada tahun 1913, kerajaan Apartheid di Afrika Selatan yang diasaskan oleh penjajah British telah mencipta satu undang-undang baru, iaitu pemisahan antara kawasan orang Kulit Putih dan Kulit Hitam. Akta ini telah menyebabkan 87% tanah diserahkan kepada penjajah manakala hanya 13% diberikan kepada penduduk asal. Walhal hanya 20% sahaja penduduk di Afrika Selatan pada masa itu adalah dari kaum penjajah. Lihatlah bagaimana penjajah itu dengan angkuhnya merampas tanah bumiputra tanpa malu seolah-olah merekalah yang berkuasa mutlak ke atas tanah tersebut.

Pelbagai lagi kisah kekejaman yang dibawa oleh penjajahan yang boleh disebut di sini seperti pembunuhan beramai-ramai di Baghdad oleh Bangsa Tartar, penghinaan yang dilakukan oleh residen British di Tanah Melayu serta kezaliman tentera Jepun di negara kita sewaktu dulu.

Islam datang bawa keamanan

Berdasarkan contoh yang telah diberikan bagaimana penjajahan itu boleh membawa kepada rahmah?

Apakah serupa penjajahan Barat dengan penaklukan Islam?

Awal sekali, ingin saya terangkan bahawa Islam datang menakluk sesebuah negara bukanlah untuk menjajah. Apatah lagi untuk merampas kekayaan khazanah alam negara yang ditakluk, mendominasi, dan menindas rakyat negara tersebut.

Namun jika bukan untuk tujuan ini, kenapa Islam menakluk sesebuah negara?

Jawapan untuk soalan ini telah dijawab dengan ringkas dan padat oleh seorang panglima Islam bernama Rubaie Bin Amir. Beliau berkata :

“Kami adalah kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan keluarkan mereka dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”

Itulah asbab kenapa kita menakluk sesebuah negara, bukanlah untuk menindas tetapi untuk membebaskan. Penaklukan kita bukanlah sekadar penjajahan kosong untuk kepentingan diri, akan tetapi penakhlukan kita adalah futuhat iaitu pembukaan. Pembukaan yang menyedarkan kepada keindahan Islam, pembukaan yang menerangkan hakikat tujuan kehidupan dan pembukaan yang mengembalikan hak Islam sebagai ustaziatul alam (tonggak dunia).

Keadilan Islam dalam futuhat

Suatu ketika dahulu, seorang panglima Islam bernama Qutaibah Ibn Muslim telah berjaya menakluk kota Samarkand, Uzbakistan. Namun begitu, mereka telah didakwa berlaku zalim dalam penaklukan oleh penduduk negeri tersebut di hadapan seorang hakim beragama Islam. Dakwaan mereka adalah, bala tentera islam datang menyerang tanpa sebarang seruan kepada Islam atau jizyah. Ajaibnya, hakim tersebut telah memenangkan dakwaan penduduk kota Samarkand manakala tentera Islam telah diarah untuk kreluar dari negeri tersebut. Tidakkah ini menunjukkan betapa rahmahnya islam dalam penakhlukan hingga  pihak yang menang boleh didakwa oleh pihak yang kalah jika berlaku ketidakadilan?

Dengan hadirnya tentera Islam di bumi Eropah, Islam telah berjaya menyelamatkan rakyat yang ditindas oleh raja Eropah yang zalim. Di saat Eropah masih mengamalkan sistem baron yang menindas rakyatnya, Islam memperknalkan keadilan hak kepada semua rakyatnya tanpa mengira darjat dan kekayaan. Semua nikmat duniawi yang dirasai oleh muslim, akan dikongsikan kepada rakyat yang bukan muslim.

Islam juga tidak menghalangan kepada sesiapa sahaja untuk menimba ilmu, sebaliknya British mengharamkan penduduk Afrika untuk belajar semasa penjajahannya. Tiada juga halangan kepada sesiapa untuk mengumpulkan kekayaan dalam system pemerintahan islam, selagi mana tidak menindas hak orang lain. Hakikatnya, Islam telah menyempurnakan hak asasi manusia beratus tahun sebelum mereka melaung-laungkan hak asasi manusia yang ternyata berat sebelah.

Hakikat hari ini

Kita hidup pada zaman di mana Islam ditindas kiri dan kanan, zaman dimana usaha pencairan identiti Islam dilakukan dengan galaknya. Yang mencaturkan dunia ini tidak lain dan tidak bukan adalah musuh Islam. Manakala kaum muslimin hanyalah sebagai mangsa percaturan dunia yang kejam. Ingatlah! Bahawa kita adalah sang penakhluk bukanlah yang ditakhluk. Mana mungkin sesuatu kaum yang menyatakan bahawa Allah itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasulullah sanggup hidup di bawah naungan taghut (pelampau batas).

Maka persiapkanlah diri! Apa yang perlu dibuat sekarang bukanlah untuk kita menyertai IS lalu pergi berperang sampai mati seperti yang dilaungkan sesetengah pihak. Bukan juga satu seruan untuk kita mengangkat pedang lalu memancung semua kafir yang wujud di muka bumi ini. Sedarlah bahawa peranan kita adalah untuk memerintah dunia. Selagi mana Islam tidak memerintah dunia selagi itulah keadilan tidak akan tertegak.

Peranan kita

Selaras dengan peranan kita sebagai penakhluk dunia, maka jauhilah dari sifat-sifat yang sia-sia. Mana mungkin seorang penakhluk dunia boleh habiskan masa dengan permainan video dan tayangan cerita yang tidak berkesudahan dan melalaikan, dihabiskan masa dengan cinta monyet yang mengundang maksiat serta disibukkan dengan agenda yang remeh. Tidak! Itu bukanlah sifat yang sepatutnya wujud dalam jiwa seorang penakhluk.

Seorang penakhluk perlu sedar untuk persiapkan diri baik daripada segi mental melalui pembacaan buku dan bahan ilmiah atau fizikal melalui latihan kecergasan. Tingkatkan diri dalam pelbagai sudut, merangka strategi untuk memajukan diri dan umat serta mengabdikan diri hanya kepada Allah sepenuhnya. Cukuplah masa yang telah dihabiskan sebelum ini, sudah tiba masanya untuk kembali kepada fitrah sebenar Islam, iaitu penakhluk yang agung dan suci.

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu” (Al-Anfal : 60)

 

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, bahawa dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi. Sebagaimana dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah dia redhai (Islam). Dan dia benar-benar akan mengubah keadaan mereka. Daripada ketakutkan kepada keamanan. Mereka tetap menyembahku dan tidak menyekutukanku dengan sesuatu. Barang siapa yang kafir setelah beriman, maka mereka tergolong dengan golongan yang fasik” (An-Nur : 55)

 

 

 

photo_2015-09-30_07-57-17

Muhammad Hafizuddin Bin Nordin
Markaz Lughah
Universiti Al-Azhar
Aktivis ISMA Mesir syukbah Hayyu Sabie

Comments

comments

Comments are closed.