Sucikan Perjuangan Menentang Pemerintah Zalim

Sejarah pemerintahan Islam melalui sistem khilafahnya bukanlah satu sejarah yang suci tanpa sebarang kesalahan atau kerosakan. Dalam seribu satu keagungan, akan tetap terselit satu dua kelemahan dalam lipatan sejarah. Apabila kita berbicara dalam lingkungan pemerintahan, maka fokus yang lebih tertumpu sudah pasti pada kezaliman, ketirisan dan kejahatan pemerintah. Oleh itu, seruan menentang pemerintah yang zalim dalam Islam bukanlah satu seruan yang ganjil, bukan juga seruan yang baru dimulakan oleh tokoh-tokoh zaman moden, tetapi seruan itu telah didahului oleh para ulama’ sejak zaman dahulu.

Beberapa contoh boleh diberikan, antaranya keteguhan prinsip Imam Ahmad bin Hanbal dalam melawan kerajaan Muktazilah sehingga dipenjarakan. Selain itu seorang ulamak hebat yang dipakaikan kepadanya gelaran Sultonul Ulama’, juga lantang memberikan kritikan tajam kepada pemimpin secara terang-terangan, termasuklah jika terdapat unsur-unsur syirik atau bid’ah dalam qasidah-qasidah yang dibacakan oleh pemimpin ketika zaman tersebut. Kesemua mereka menjunjung arahan Allah yang dismpaikan melalui Al-Qur’an serta lidah Nabi s.a.w.

Dalam hadis Nabi bersabda ;

“الدين النصيحة، قلنا: لمن يا رسول الله؟ قال: لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم”

عن أبي عبد الله طارق بن شهاب البجلي الأحمسي رضي الله عنه أن رجلا سأل النبي صلى الله عليه و سلم وقد وضع رجله في الغرز : أي الجهاد أفضل ؟ قال : [ كلمة حق عند سلطان جائر ] رواه النسائي بإسناد صحيح

Mengambil semangat inspirasi daripada hadis ini, bangkit suara untuk berjuang menentang kezaliman dan kejahatan pemimpin sejak zaman zaman dahulu sehinggalah zaman sekarang.

Tetapi jika diamati secara teliti, amatlah rugi sekiranya hadis ini diambil sekadar untuk pembakar semangat tanpa memberikan apa-apa petunjuk atas jalan perjuangan ini. Takut semangat yang melulu itu terus membiak tanpa kawalan sehinggalah apa-apa tindakan pun boleh dijustifikasi atas alasan jihad menentang pemerintah yang zalim.

Dari satu sudut, benar Islam sangat menggalakkan ummatnya mengkritik dan melawan pemerintah yang zalim, malah menjadi satu kewajipan bagi setiap muslim untuk mencegah kemungkaran di mana sahaja kemungkaran itu berlaku.

Tetapi jangan lupakan satu lagi sudut pandang yang lebih penting. Dalam hadis ini mengatakan melawan pemimpin yang zalim adalah satu perjuangan. Jadi perjuangan menentang pemimpin yang zalim itu adalah satu tuntutan agama dan suruhan daripada Allah. Itulah perkara pertama yang mesti diletakkan dalam setiap diri yang mengaku melawan kezaliman pemimpin. Perjuangan itu bukan satu perjuangan kemanusiaan sejagat semata-mata, bukan juga perjuangan membela nasib rakyat yang ditindas, tetapi ia adalah perjuangan yang agung.

Apa pentingnya apabila kita meletakkan suruhan Allah itu sebagai perkara pertama dalam asas perjuangan? Hal ini kerana apabila kita niatkan sebagai perjuangan yang suci, maka segala perlakuan kita mestilah seratus peratus menepati apa yang digariskan oleh syarak. Perjuangan tersebut mestilah suci, bebas daripada segala unsur yang boleh mengotorkan matlamat utama perjuangan tersebut iaitu mengikut suruhan Allah. Pertarungan melawan pemimpin ini mesti suci daripada segala anasir keji dan tidak terkeluar daripada ruang lingkup kaedah yang digariskan oleh Islam.

Sebelum perbahasan panjang lebar dan penuh khilaf berkenaan hukum hakam menjatuhkan pemimpin, penekanan paling besar yang perlu diambil perhatian adalah isu wala’ bara’. Ini adalah perkara pokok, paling asas dan tunjuang dalam memandu segala perilaku muslimin dalam setiap perkara terutamanya berkaitan dengan hal ehwal orang Islam dan bukan Islam. Dalam negara yang pemerintahnya Islam, berkerjasama dengan orang bukan Islam untuk menjatuhkan pemimpin yang beragama Islam adalah satu isu besar, apatah lagi terdapat unsur luar daripada negara tersebut.

Banyak-banyak ulamak salaf yang terdahulu, walau bagaimana zalim pun pemerintah pada ketika itu tidaklah sehingga mendesak mereka untuk meminta tolong kepada kuasa luar, mahupun orang kafir yang berada dalam negara Islam sendiri. Lihatlah perjuangan Imam Ahmad dan Syeikh Izzuddin bin Abdul Salam sebagai contoh. Malah dalam mana-mana lipatan sejarah Islam sejak dahulu sehinggalah ke zaman moden, kerjasama dengan orang bukan Islam untuk menjatuhkan umat Islam hanyalah berakhir dengan kecelakaan. Cukuplah apa yang berlaku di Syria dan Iraq sebagai saksi terdekat membenarkan hakikat tersebut.

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa peristiwa yang mencatatkan pertolongan orang kafir dalam membantu ummat Islam. Antara yang termasyhur adalah pembukaan kota Andalus yang menyaksikan Count Julian, pembesar Kristian pada ketika itu membantu menyalurkan maklumat yang sangat berguna kepada orang Islam terutamanya dari segi maklumat sulit pentadbiran dan geografi tanah Andalus yang ketika itu sangat asing bagi ummat Islam. Tetapi peristiwa ini langsung tidak boleh digunakan sebagai hujah atas dua sebab; Pertamanya, apa yang berlaku adalah umat Islam berkerjasama dengan bukan Islam untuk melawan kerajaan bukan Islam. Keduanya, meskipun ummat Islam menerima bantuan berupa maklumat daripada Count Julian tersebut, tetapi terdapat satu syarat yang diletakkan oleh Khalifah Islam ketika itu jika mahu menyerang Andalus. Syarat itu ialah, jangan terima bulat-bulat maklumat yang diberikan, tetapi mestilah pasukan Islam menghantar tentera perisik dahulu ke Andalus untuk memastikan maklumat tersebut benar atau salah. Hal ini menunjukkan betapa berhati-hatinya kerjaan Islam terhadap tipu muslihat orang kafir.

Kesimpulannya, umat Islam perlu menilai secara teliti dan terperinci perjuangan suci yang mereka laungkan untuk melawan pemerintah yang zalim. Jangan lupa bahawa perjuangan suci itu adalah ibadah, satu seruan Allah yang hendaklah disucikan daripada segala anasir kotor. Jika asas yang diletakkan adalah semata-mata hak kemanusiaan dan membela golongan yang ditindas, maka tidak hairanlah ada sebahagian mereka yang melakukan penentangan ini tanpa apa-apa pertimbangan terhadap tipu muslihat orang kafir, pihak ketiga. Bahkan masih selesa menerima dana daripada negara yang sudah banyak merosakkan negara-negara Islam atas alasan demokrasi.

 

 

 Muhammad Bin Mohd Hasan

Tahun 3 Kuliah Usuluddin

Universiti Al-Azhar, Kaherah

Comments

comments

admin