3 Anak Johor Raih Jayyid Jiddan

qut wan

Kaherah, 31 Julai – Seramai 3 orang aktivis ISMA-Mesir yang berasal dari Johor Darul Takzim berjaya meraih keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Universiti Al-Azhar dalam kuliah masing-masing tahun ini. Ketiga-tiga mereka mendapat pangkat jayyid jiddan dalam peperiksaan tersebut. Mereka adalah Mohd Qutaibah Bin Ismail, pelajar tahun ke-3 kuliah Syariah Islamiyyah, Wan Adam Bin Wan Mohd Azli, pelajar tahun pertama kuliah Syariah Islamiyyah, dan Qatrul Aini Binti Ismail yang juga merupakan pelajar tahun pertama kuliah Syariah Islamiyyah.

“Pertama sekali, isu niat. Perbetulkan, belajar ini kerana hendak mendapat keredhaan Allah, sentiasa tajdid niat setiap kali hendak mula mengulangkaji pelajaran. Jujur pada diri, sekiranya tidak mengetahui sesuatu maka akui perkara tersebut dan belajar sehingga tahu. Jangan berlagak pandai”, ujar Mohd Qutaibah ketika diminta untuk berkongsi sedikit rahsia kejayaan beliau. “Yang kedua isu masa. Perlu menyusun masa, belajar bermula pada awal waktu, jangan belajar last minute”, tambah beliau lagi.

“Antara yang penting adalah penguasaan bahasa. Banyak benda yang boleh kita dapat apabila kita kuasai bahasa. Selain itu, urus masa dengan baik. Kena sediakan masa untuk makanan rohani juga. Paling penting visi dan misi kita kena jelas untuk apa kita belajar, sebab kalau tidak, kita akan dipergunakan untuk agenda orang lain”, jelas Wan Adam Wan Mohd Azli ketika diminta tips-tips bagaimana untuk cemerlang dalam bidang akademik oleh wartawan ISMA-Mesir baru-baru ini.

“Saya meyakini ‘فإذا عزمت فتوكل على الله’”, komen Qatrul Aini Binti Ismail ketika diminta berkongsi rahsia kejayaan cemerlang beliau dalam peperiksaan Universiti Al-Azhar dalam sesi yang lepas. Selain itu beliau turut menasihatkan agar mahasiswa sentiasa mengenali kelemahan dan kelebihan diri, bergerak secara berkumpulan, saling bantu membantu bagi mengisi kelemahan sahabat yang bergerak bersama, dan tonjolkan kelebihan diri setiap ahli bagi memberi manfaat pada sahabat perjuangan.

Walaupun ketiga-tiga mereka sangat aktif beraktivisme di dalam ISMA-Mesir namun ini tidak menghalang mereka untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam bidang akademik. Hal ini bertepatan dengan seruan berkualiti yang sering disebut-sebut di dalam 4 seruan ISMA-Mesir di samping beragenda, kesepakatan, dan keterbukaan.

Comments

comments

Comments are closed.