Mengetuk Pintu Hati, Meruntuh Tembok Nafsu

Ramadan kita akan berbeza jika dilihat hakikatnya sebagai ruang yang mengangkat ruh dan perasaan berjuang. Sebuah acara yang menjunjung tema revolusi dan penentangan terhadap kufur, syirik, nafsu, maksiat, dosa dan seangkatan dengannya. Ibadah puasa itu sendiri adalah usaha untuk menewaskan keinginan nafsu.

Puncak bagi pengembaraan fana seorang hamba adalah ketika mana dia berhadapan dengan tarikan nafsu, lalu dia memalingkan wajahnya ketepi, menolak sepenuh hati. Malah, menentangnya dan memeranginya. Maka, puncak bagi keseluruhan penolakan ini seharusnya terjadi di bulan Ramadan, yang bukan semata-mata intipati ibadahnya pada puasa dan menahan diri, tetapi juga jihad dan siri peperangan menentang golongan yang bertuhankan nafsu itu sendiri. Begitu yang terjadi di Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan perang-perang generasi salaf. Ramadan adalah puncak tertinggi bagi penentangan terhadap jahiliyyah dan nafsu dalam jiwa sendiri, mahupun penentangan ke atas kerakusan nafsu manusia sekelilingnya.

Manusia seharusnya insaf.

Insaf yang kembali menjadikan kita sebagai manusia yang punyai nilai dan erti.

Selama ini nafsu telah menjalankan peranannya sebijak mungkin untuk mengelabui mata hati manusia, menjadikan kehidupan mereka berkeadaan caca merba. Punca hidupnya musnah. Arah tuju layarnya patah.

Nafsu menjadikan manusia buta untuk melihat kemana harusnya pergi. Apa yang harusnya dicapai. Apa yang sebenar mahu dicapai. Risaunya tak menentu. Resahnya menekan-nekan. Kegembiraannya hanya menambahkan lagi kekosongan jiwanya yang sedia lara. Kesedihannya melukakan hati. Saban hari memikirkan rezekinya yang tak pernah cukup. Masalah hidupnya yang tak lekang hadir menyinggah.

Watak manusia sebegini ramai. Watak sebegini tidak akan hidup untuk berjuang demi sebuah matlamat, kerana nafsu sudah mengelabuinya. Watak sebegini hanya dimanfaatkan oleh penguasa politik yang sedia bernafsu, saling bersaing dalam menghancurkan keseluruhan tamadun manusia itu sendiri, demi kepentingan mereka.

Maka, hancurlah segala-galanya.

Kehancuran kemanusiaan ini didalangi oleh Iblis, Syaitan dalam mempergunakan nafsu yang sedia memihak kepada mereka. Nafsu dengan sifat dan tabiatnya sentiasa mengajak manusia untuk menjauhi diri dari nilai dan erti kebaikan yang ditunjuk melalui wahyu.

Manusia yang hilang petunjuk wahyu dek nafsunya yang menyesatkan, seharusnya insaf.  Insaflah melihat hidupnya musnah, mahupun tamadun manusia itu sendiri huru-hara.

Ramadan adalah detik yang menakjubkan untuk seseorang itu memulakan perjalanan insafnya. Selangkah demi selangkah nafsunya diajar, dididik untuk tunduk mengikuti petunjuk wahyu. Ramadan sarat dengan seruan yang mencipta suasana ketaqwaan secara menyeluruh dan luas. Suasana segan melakukan maksiat. Suasana berlumba dalam kebaikan. Ibadah iktikaf dan tadarus Quran dibudayakan. Pahala infaq dan sedekah berlipat kali ganda. Pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, manakala pintu syurga dibuka seluas-luasnya. Peluang diampunkan dosa-dosa lama dibentang.  Jiwa mana yang tak terdetik untuk memikirkan semula nasib dirinya? Semua ini paling kurang mengetuk pintu hati manusia untuk kembali pada tujuan asal kejadiannya.

Dengan segala manfaat dan kebaikannya terhadap pembinaan hidup seorang manusia, Ramadan tidak seharusnya dipandang murah. Segala jenayah sosial dan politik hari ini berpuncakan nafsu manusia, dan ketahuilah kegilaan nafsu ini tidak mampu dikawal dengan undang-undang negara, tetapi mampu diurus oleh hati yang bertaqwa. Di sinilah nilainya Ramadan yang dicipta reka konsepnya, objektifnya, isi kandungnya, oleh Tuhan yang Maha Mengetahui, untuk manusia supaya mereka bertaqwa.

Ia adalah anugerah Istimewa, kerana ia menyelamatkan manusia dari sesuatu yang mereka sangat lemah dan tunduk padanya, iaitu nafsu serta diri mereka sendiri.

 

abdurrahman

Abdur Rahman Bin Raji
Tahun 4 kuliah Usuluddin
Jabatan Tafsir
Universiti Al-Azhar

Comments

comments

admin