Ahli ISMA terima anugerah kecemerlangan akademik

Ustaz Faiz Lee bersama isteri di program ramah mesra bersama Y.A.B. Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin di DMAK.

ABASIYYAH, 25 Jun – Saudara Muhammad Faiz Lee Bin Adi Johan Lee, ketua Exco Aktivisme ISMA Mesir telah menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi sesi 2013/2014. Beliau berjaya memperoleh pangkat Jayyid Jiddan dalam bidang Usuluddin pengkhususan Hadith.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Johor sendiri, Y.A.B Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin dalam satu majlis Ramah Mesra bersama beliau di Dewan Malaysia Abasiyyah Kaherah, DMAK pada 12 Jun yang lalu.

Saudara Faiz Lee yang terkenal dengan sifat tekun dan rajinnya dalam kalangan sahabat-sahabatnya sempat memberi beberapa nasihat dan tips untuk mahasiswa Mesir ketika ditemuduga wartawan ISMA Mesir.

“ Sematkan di dalam diri bahawa kita adalah duta buat ummat. Kita memikul beban dan tanggungjawab dalam menyampaikan risalah agama ini. Menuntut ilmu adalah salah satu sayap dalam jihad fi sabilillah. Sejauh mana amanah kita dalam menimba ilmu membuktikan tahap keprihatinan kita terhadap kedahagaan umat meneguk ilmu dan kefahaman daripada sumber yang boleh diharapkan”

Antara tips yang turut di kongsi oleh saudara Faiz Lee adalah sentiasa memohon restu dan redha ibu bapa, memohon maaf atas kesalahan kepada orang lain, bersungguh-sungguh tanpa berbelah bahagi, niat yang ikhlas, mempunyai perancangan belajar yang tersusun, doa yang berterusan dan tawakal tulus setelah usaha yang menggunung.

ISMA Mesir mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Saudara Muhammad Faiz Lee dan isteri. Semoga kejayaan beliau menjadi contoh untuk seluruh mahasiswa dan mahasiswi Melayu di Mesir.

Comments

comments

Comments are closed.