Antara Isi dan Persembahan

 Antara Isi dan Persembahan

Antara isi dan persembahan

image

Seorang chef yang mahir, kehebatannya bukan sekadar dilihat pada kesedapan masakan yang disediakan tetapi juga pada persembahan yang dipamerkan ketika menyediakan masakan tersebut. Para peminat masakan tentu sahaja mengenali chef wan dan chef ismail yang terkenal ketika zaman 90an suatu ketika dahulu, dengan siri-siri masakan menjadi pilihan kebanyakkan suri rumah dan penggemar masakan ketika itu.

Bermula dari penampilan dan pakaian, gaya dan lenggok dalam menyediakan hidangan, kepetahan mulut menceritakan proses penyediaan sehinggalah ke hiasan di atas pinggan. Semua itu diambil kira oleh seorang chef dalam menyediakan masakan terbaik untuk peminatnya dan pelanggannya.

Itulah pakej lengkap dalam menghidangkan masakan terbaik yang mampu menjanjikan 1001 kepuasan bagi sesiapa yang merasanya.

Begitu juga, bagi para pendakwah yang ingin membawa risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Perkara paling utama bagi pendakwah adalah isi yang ingin disampaikan. Isi inilah topik dan agenda yang akan dibawa oleh pendakwah. Sebagai contoh, walaupun masakan yang dihias dengan pelbagai rupa dan cara, jika ia tidak sedap dan terdapat kekurangan ia akan tetap tidak menyelerakan bila dimakan.

Isi ini ialah berpegang pada prinsip ulum syarak yang menjadikan quran dan sunnah sebagai panduan utama, khazanah pengalaman dan tulisan salafusaleh dan orang terdahulu dalam menyelusuri jalan dakwah ini, para pendakwah hari ini sepatutnya tiada masalah dari segi isi atau content. Mereka yang benar-benar menjadikan rasulullah sebagai teladan hidup tidak akan menghadapi cabaran dalam menterjemahkan sirah emas baginda untuk masyarakat fahami.

Cuma kadang-kadang, yang perlu diambil serius oleh para pendakwah adalah dari segi penyampaian dan juga persembahan yang perlu dibaiki dan dipertingkatkan.

Boleh jadi, kita mempunyai idea dan projek yang besar, matlamat yang jelas, perancangan yang rapi, tapi semua itu menjadi masalah apabila masyarakat tidak dapat memahami apa yang kita ingin bawa, mungkin pada satu sudut cara penyampaian kita, tidak cukup meyakinkan, tidak cukup menarik minat dan menyegarkan sehingga yang lebih buruk, mereka menentang kita.

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
(surah anfal: 60)

Pendakwah hari ini perlu mempertajamkan senjata mereka dalam melawan anasir-anasir jahiliyah, perlu memperkemaskan persediaan dalam menyampaikan risalah tauhid dan memperindahkan persembahan dalam memberikan yang terbaik buat umat manusia.

Mungkin menjadi keperluan ketika ini jika dapat memahirkan penguasaan bahasa seperti bahasa inggeris, arab, melayu dan juga mempelajari loghat-loghat negeri yang boleh mendekatkan sasaran dakwah kepada kita. Tidak lupa juga, untuk mengikuti kursus dan latihan dalam memberikan penyampaian, belajar untuk memilih kata-kata yang sesuai dan menarik, menguasai kemahiran pengucapan awam, tidak gementar dan mampu menyampaikan dengan penuh keyakinan sehingga memukau hadirin. Tahu untuk menggayakan diri dan menampilkan imej yang hebat di mata masyarakat.

Projek Islam ini sentiasa diintai peluang oleh musuh Islam untuk memalitkan dan memburukkan usaha murni para pendakwah. Para pendakwah sering dipandang lekeh dan serong disebabkan kekurangan pada persembahan pendakwah. Belajarlah apa-apa kemahiran yang boleh memikat telinga pendengar, menyentuh hati dan mencairkan penonton.

 

إنه يجد في إدراك الذات قوة جذب تجبر الآخرين على الارتباط بها، فإذا جمع المسلم الحر الفطن ذاته فكان داعية فإنه يدير من يريد في فلكه.
يقول إقبال:
شدت الأرض قواها، فالقمر
في طواف حولها، لا مستقر
فلأن الأرض تحفزت، وخزنت من قوة الجذب ما استطاعت: أجبرت القمر على الارتباط بها، والدوران حولها، حتى بات لا يحدث نفسه بفرار.
فكذلك التفاف الناس حول دعوة الإسلام يكون حتميا إذا شد الدعاة قواهم، حتى يعتاد الناس الدوران في فلكهم، ويجدون في ارتباطهم بالدعوة نوع اضطرار.

 

“Beliau telah menemui pada “Pengenalan Seseorang Terhadap Dirinya” tarikan yang kuat memaksa orang lain mengikutnya. Apabila seorang muslim yang merdeka dan bijak menguatkan keperibadiannya, dan ia pula seorang da’i maka dia akan dapat menarik sesiapa yang dikehendakinya untuk beredar di sekitar orbitnya.

Iqbal telah berkata:
Bumi telah meningkatkan kekuatan gravitinya lalu, 
bulan pun beredar di sekitarnya tanpa henti

Oleh kerana bumi mempunyai daya graviti, ia dapat memaksa bulan agar terikat dan beredar di sekitarnya sehingga bulan itu tidak pernah terfikir untuk lari dari bumi.
Demikian jugalah manusia, mereka akan pasti terkumpul dikeliling dakwah apabila da’i meningkatkan kekuatannya. Manusia itu akan berlegar di sekeliling dakwah dan merasai ikatan mereka dengan dakwah suatu kemestian.” (Muntalaq, Abu Ammar)

Mahirkanlah dirimu wahai pendakwah, berikanlah yang terbaik sehingga ia menggerunkan musuhmu!!!

 

ahmadF

 

 

 

 

AHMAD FARHAN BIN SELAMAT

TIMBALAN PENGERUSI ISMA MESIR

KULIAH USULUDDIN JABATAN TAFSIR

Comments

comments

admin