ISMA Mesir Seru Pertahan Jati Diri Muslim Melayu di Mesir

Mengambil Islam Sebagai Cara Hidup

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Baqarah : 208)

Islam adalah agama kita. Ia merupakan cara hidup sempurna dan ideal yang kita sama-sama inginkan. Islam bukan sahaja menjadi asas pegangan ibadah dan akhlaq kita, bahkan ia adalah asas pegangan aqidah dan pemikiran kita sebagai muslim. Islam juga harus menjadi asas syari’at dan perundangan masyarakat.

Islam yang sama-sama kita maksudkan adalah Islam yang diambil langsung daripada sumbernya yang suci, iaitu Al-Quran yang merupakan wahyu Allah dan As-Sunnah yang merupakan ajaran Rasulullah SAW.

Melalui kefahaman yang syumul terhadap Islam, agenda harian seorang mahasiswa muslim sepatutnya tidak terkeluar dari landasan yang telah digariskan oleh Islam.Segala amalan harian, hatta dalam perkara yang melibatkan hiburan sekalipun haruslah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Islam. Islam bukan hanya di”selitkan” dalam majlis-majlis tertentu atau sebagai adat semata-mata.

Kefahaman yang jitu ini jugalah yang memelihara seorang muslim daripada tergelincir ke dalam perangkap musush islam serta jelas siapa kawan dan lawan.

KONSERT, WASILAH BERUNSUR HEDONISME SERTA MELANGGAR NORMA BUDAYA & AGAMA

ISMA Mesir merakamkan rasa kecewa dan terkilan terhadap konsert anjuran Kelab Umno Luar Negara Iskandariah yang akan berlangsung esok apabila program tersebut secara tidak langsung mempromosi budaya hedonisme yang berpaksikan keseronokan duniawi.

Bahkan jelas menyalahi batas pergaulan yang telah digariskan syariat Islam apabila ada diantara “band” yang akan melakukan persembahan mempunyai ahli yang berlainan jantina.

Sehubungan dengan itu, ISMA Mesir menasihatkan kepada mana-mana pihak yang ingin menjadi penganjur atau penaja bersama bagi sesebuah program agar :

1- Memastikan segala perlaksanaan program selari dengan panduan yang telah digariskan Al-Quran dan As-Sunnah
2- Menjaga nama baik Malaysia sebagai sebuah negara Islam dengan tidak menganjurkan program-program yang menghilangkan identiti tanah air
3- Menganjurkan program yang mampu membina jati diri dan syakhsiah mahasiswa dan mahasiswi sebagi aset negara pada masa hadapan.

ISMA Mesir juga turut bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin melaksanakan program berbentuk hiburan berlandaskan syariat Islam.

KEHADIRAN DAP KE TIMUR TENGAH PROMOSI IDEA KESAMARATAAN, SATU HIPOKRASI YANG JELAS

Pendirian ISMA Mesir terhadap kehadiran delegasi politik daripada parti pembangkang, Democratic Action Party (DAP) yang sedang melakukan lawatan ke Timur Tengah, Mesir dan juga Jordan serta berhasrat untuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti Malaysia disini hanyalah satu usaha mencemarkan bumi para Anbiya’ ini.Kehadiran mereka amatlah tidak diundang.

Bertopengkan tajuk “Koeksistensi : Idea untuk Hidup Bersama”, ISMA Mesir melihat program tersebut hanyalah sebuah wasilah yang digunakan demi mencapai agenda jahat mereka yang ingin merosakkan jati diri umat Islam kerana pada hakikatnya idea yang dipromosi jelas bertentangan dengan perjuangan dan agenda DAP yang secara konsisten menentang kedudukan Islam dan Melayu di Malaysia.

ISMA Mesir berharap agar seluruh mahasiswa dan mahasiswa tidak terjerat dengan “umpan” yang dilontarkan dalam usaha mereka merosakkan jati diri Melayu Muslim khususnya, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa dan mahasiswi yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan.
Wallahua’lam.

“Bersama Membangun Mahasiswa Beragenda”
“Mengarus Perdana Agenda Dakwah, Mengangkat Suara Ummah”

Umar Farouq Bin Morhalim
Pengerusi ISMA Mesir

Comments

comments

Comments are closed.