Dakwah dengan berHIKMAH

10986180_10153695094382846_4679643853492113812_o

Seringkali kita mendengar suara dan laungan “Hikmah sikit syeikh” atau “Enta tak hikmah ni” ditujukan kepada pihak yang memberi teguran yang kasar atau mungkin kita boleh sebut sebagai tegas.

Persoalan yang timbul di sini adalah : Apakah takrifan sebenar kepada Hikmah tersebut?

Hikmah mengikut takrifan Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perkataan حكمة bila diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu merujuk kepada Bijaksana. Ia berbeza mengikut individu, suasana dan keadaan sekeliling.

Pendakwah yang bijaksana adalah pendakwah yang mampu mengetahui bilakah masanya dia perlu berlemah lembut, siapakah orang yang dia perlu bertegas dan bagaimanakah bentuk penyampaiannya mengikut perkiraan yang ada. Jadi, adakah orang menyampaikan seruannya setiap masa dengan lemah lembut dikira berhikmah. Adakah ketegasan itu menafikan hikmah yang disebut dalam Islam.

Allah berfirman dalam kitab suciNya :
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” [Ali imran : 159]

Ayat di atas ditujukan khusus kepada Nabi Muhammad secara khusus dan Muslimin secara umum. Lemah lembut akan menyebabkan orang di sekeliling kita tidak menjauhkan diri daripada kita bahkan mereka sendiri akan mendekati kita sepertimana yang ditunjukkan oleh orang di sekeliling Rasulullah. Mereka tertarik dengan lemah lembut yang ditunjukan beliau. Perkara ini membantu para duat untuk menyampaikan dakwahnya dengan lebih mudah dan ia ditunjukkan dalam bentuk tingkah laku.

Namun apa yang disebut Hikmah itu lebih luas daripada lemah lembut dan ia merupakan sebahagian daripada bentuk-bentuk hikmah mengikut waktu yang sesuai untuk berlemah lembut. Perkara ini dapat dilihat pada cara Nabi berdakwah dan disambung perjuangannya oleh generasi dakwah yang seterusnya. Mereka sangat dikenali dengan lemah lembutnya namun seruan dakwah mereka disampaikan dengan ketegasan dan pendirian terutama melibatkan perkara yang mencabar kedaulatan Islam.

Allah menyeru Muslim untuk menyampaikan dakwah mereka dengan berhikmah dalam firmanNya yang berbunyi :
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” [An-Nahl : 125]

Namun kefahaman tersebut tidak terhenti di situ, Allah menyambung firmanNya dalam ayat yang berikutnya :
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. [An-Nahl : 126]

Perbincangan mengenai hikmah telah lama dibincangkan oleh para salafussoleh begitu juga salah faham yang berlaku juga sejak berzaman dan berterusan hingga ke hari ini. Salah faham tersebut berlaku bilamana ia dikhususkan kepada dakwah secara lemah lembut sedangkan tafsiran dan pengamalannya jauh lebih luas. Bukalah mana-mana kitab tafsir Al-Quran dan teliti sendiri bagaimana para ulama’ salaf menafsirkan ayat tersebut dengan tafsiran yang lebih luas dan tepat sebagaimana yang telah saya nukilkan.

Persoalan yang ingin saya timbulkan adalah : adakah berlemah lembut terhadap orang yang mencabar dan memerangi Islam termasuk dalam dakwah secara berhikmah?

Tepuk dada tanya Iman.

Ustaz Umar Farouq Bin Morhalim
Pengerusi ISMA Mesir
Syariah Islamiyah Universiti Al-Azhar

Comments

comments

Comments are closed.