Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa merupakan calon Sarjana Usul Fiqh Universiti Al-Azhar dan merupakan ahli Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Pemegang anugerah Imam Syafie graduan Al-Azhar 2011 ini aktif menulis pandangan kritis beliau berkaitan fikrah, tarbawi dan dakwi di pelbagai medium termasuk blog, Facebook, Telegram dan di beberapa portal web.

PMRAM adalah sahabat, bukan musuh

image2-300x225

Demikianlah episod baru dalam hayat organisasi pelajar di Mesir, PMRAM, apabila pendaftarannya dibekukan oleh Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Saya merakamkan dukacita kepada sahabat dalam PMRAM, moga ia adalah pembekuan sementara dan diberikan ketabahan untuk terus beroperasi dalam ruang kerangka yang ada walaupun terhad.

ISMA mengajar ahlinya untuk menetapkan walak dan kesetiaan kepada Allah, Rasul-Nya dan para muslimin. Justeru kami sekali-kali tidak pernah berusaha apatah lagi mendoakan kehancuran atau pembubaran mana-mana persatuan yang ingin membawa Islam dan menyebarkan kefahaman Islam kepada seluruh umat manusia, khususnya para mahasiswa yang akan menjadi tonggak negara pada masa akan datang.

ISMA melihat kepelbagaian persatuan dan organisasi dalam agenda Islam adalah satu keperluan yang perlu diuruskan dengan matang bagi menampung kerja-kerja dan agenda Islam yang cukup besar.

Justeru kami tidak pernah menyeru pembubaran atau pemboikotan mana-mana persatuan pelajar, bahkan kami menyeru agar persepakatan dan keterbukaan sentiasa diamalkan dalam menanggapi perbezaan pandangan dan cara fikir sesetiap kumpulan.

Falsafah kita adalah kita bergerak dalam ruang lingkup sesebuah umat, dalam kerangka jemaah yang ada. ISMA tidak pernah menganggap bahawa organisasinya adalah maksum, juga mana-mana organisasi selainnya.

Setiap daripada kita ada kekurangannya, dan kita hanya mampu sempurna apabila kita bersepakat dan mampu duduk sekali lalu mengangkat agenda ummah bersama-sama.

Moga apa yang berlaku pada hari ini hanyalah satu ujian dan perhentian, agar kita bersama-sama membina jiwa yang besar dan penuh kematangan.

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Bin Mohd Esa
Mantan Ketua Biro Pembangunan Manusia (HRD) ISMA Mesir
MA Usul Fiqh Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

admin