Perubahan mesti dari dalam

maratib_amal_1

 

Dewasa ini, kita sering membaca di dada-dada akhbar berita mengenai pelbagai masalah yang berlaku pada bangsa dan umat kita. Statistik-statistik kajian menunjukkan bangsa kita merupakan juara di dalam setiap aspek masalah yang berlaku di dalam masyarakat. Kes rogol dan zina, samun dan ragut, judi dan arak, lumba haram, jenayah remaja dan belia, dan lain-lain. Masalah aqidah dan akhlak bangsa kita juga sangat meruncingkan, sehingga terkadang kita merasa geli dan malu untuk mengaku kita berdarah bangsa ini. Itulah hakikat pada hari ini. Walaupun telah separuh abad negara kita merdeka dari penjajah, kita sebenarnya masih terjajah dari setiap sudut samada ekonomi, sosial, mahupun politik.

Kita juga sering mendengar, membaca dan ramai juga membincangkannya, pelbagai kaedah dan jalan penyelesaian yang cuba diketengahkan oleh beberapa pihak atau individu untuk merungkai kesemua permasalahan ini:

1. Ada yang berpendapat proses membaiki(Islah) ialah dari LUAR, tenaga mestilah ditumpukan kepada dakwah Non-Muslim(bangsa lain yang belum beriman), kemudian bangsa lain itu akan mengislah masyarakat dan bangsa kita.

2. Ada juga yang mengatakan proses rawatan tersebut harus bermula dari ATAS, iaitu dengan menumpukan usaha dan tenaga kita untuk menubuhkan gerakan atau parti, berkempen di dalam pilihanraya, menggunakan segala taktik dan strategi, lalu memenangi kerusi-kerusi di parlimen, menguasai kerajaan, seterusnya menegakkan Syariat Islam.

3. Ada juga pihak yang mengatakan proses pengislahan masyarakat ini mestilah bermula daripada BAWAH dan DALAM, dengan mengislah bangsa kita, dengan membentuk individu-individu yang sempurna akhlak Islaminya, kemudian lahir keluarga-keluarga muslim yang mengamalkan Islam sepenuhnya, dan dari keluarga-keluarga tersebut akan membentuk masyarakat yang Islamik di dalam bandar-bandar, daerah-daerah, negeri, dan akhirnya kelompok Islami ini akan menegakkan Syariat Islam di dalam negara.

 

Dari luar atau dalam?

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

“Sesungguhnya Allah swt tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehinggalah mereka sendiri mengubah sesuatu yang ada pada diri mereka itu” [Raad: 11]

ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ مُغَيِّرً۬ا نِّعۡمَةً أَنۡعَمَهَا عَلَىٰ قَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۙ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬

“Itu adalah kerana sesungguhnya Allah swt tidak akan mengubah nikmat yang telah dikurniakan kepada sesuatu kaum, sehinggalah mereka sendiri bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka” [Anfal: 53]

Imam Ibnu Qayyim menerangkan mengenai ayat ini bahawa itulah Sunnatullah(undang-undang) yang akan sentiasa kekal dan berjalan sehingga hari kiamat. Ayat tersebut menyebut bahawa apabila memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya, Allah swt akan mengekalkan nikmat tersebut kpd hamba atau kaum tersebut, sehinggalah mereka sendiri yang ingin mengubahnya, iaitu dengan mengkufuri nikmat-nikmat Nya(melanggar larangan dan meninggalkan suruhan). Dan begitulah juga sebaliknya. Allah swt akan mengubah nasib seseorang hamba atau sesuatu kaum itu, apabila mereka sendiri ingin mengubah nasib mereka.

سُنَّةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلُ‌ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلاً۬

“(Itulah) Sunnatullah, telah berlalu sebelum ini, dan engkau tidak akan dapati pada Sunnatullah itu sebarang perubahan pun” [Fath: 23]

 

BAWAH dan DALAM

 فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡہَا‌ۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِ‌ۚ

“(Itulah) Fitrah Allah swt, yang difitrahkan manusia ke atasnya. Tiada perubahan pada makhluk ciptaan Allah” [Rum: 30]

Kajian sains moden pada hari ini menunjukkan ketika seekor ulat bulu di dalam proses menjadi seekor rama-rama, jika ada tangan LUAR yang cuba membantu proses struggle(perjuangan) dan susah payah ulat tersebut untuk membuka kepompongnya, maka akan terhasil rama-rama yang tidak sempurna dan tidak mampu untuk terbang.

Di dalam rukun Tarbiyah(pembentukkan) pula, yang telah digariskan oleh As-Syahid HAB,

terdapat 4 rukun atau unsur di dalam keberjayaannya:

1. Manhaj(bahan bimbingan)

2. Biah(suasana yang sesuai untuk berubah)

3. Murabbi(pembimbing)

4. Mutarabbi(individu yang dibimbing)

Ketiga-tiga unsur yang pertama(selain Mutarabbi), ialah unsur-unsur LUAR yang akan membantu perubahan seseorang di dalam melalui tarbiyah. Tetapi unsur yang terpenting di dalam perubahan seseorang ialah unsur Mutarabbi, iaitu individu itu sendiri.

Undang-undang atau formula ini juga sebenarnya terlaksana dan terpakai pada skala yang lebih besar. Sesebuah bangsa yang ingin mengubah nasibnya yang lemah dan rendah, mestilah memulakan projek pengislahan tersebut dari dalam bangsa itu sendiri. Ia mestilah bermula dari BAWAH dan DALAM. Bukan dari LUAR atau ATAS, kerana ia berlanggar dan tidak seiring dengan Sunnatullah(undang-undang manusiawi dan alam semesta).

Langkah praktikal

Itulah yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada hari ini. Nasib umat ini tidak akan berubah selagimana mereka sendiri tidak sedar untuk berubah, untuk bangkit. Allah telah berjanji tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi diri-diri mereka tidak mahu mengubah nasibnya sendiri, walaupun perkara tersebut(mengubah nasib kaum) tersangat mudah bagi Nya. Undang-undang Allah mewajibkan kehendak untuk berubah itu mesti timbul dan lahir dari DALAM dahulu. Itulah Sunnatullah yang telah ditetapkan.

Antara langkah-langkah yang dapat kita lakukan untuk mengubah nasib agama dan bangsa kita di Malaysia ialah:

1. Mulakan perubahan dengan diri sendiri. Sikap, akhlak, kekalkan budaya-budaya yang murni di dalam masyarakat, mengukuhkan pengetahuan agama, menambah pengetahuan Am, dan lain-lain.

2. Saling menasihati sesama umat Islam demi kepentingan agama dan bangsa. Kerana peringatan akan sentiasa berguna dan bermanfaat bagi kaum atau bangsa yang beriman yang sedang bangkit.

3. Umat Islam mestilah bersatu padu, tidak berpecah belah, tidak bercakaran sesama sendiri, tanpa mengira kumpulan atau parti. Kerana perpecahan di kalangan umat Islam demi kepentingan kumpulan masing-masing hanya akan menguntungkan musuh Islam(kumpulan-kumpulan non-Muslim) dan mencabut ketakutan mereka kepada kita.

“Binalah negara Islam di dalam jiwa kamu, nescaya akan terbina negara Islam di atas negara kamu”

[Mursyidul Am IM ke-2]


Najid Bin Jamalullail

Kuliah Usuluddin Tahun 4
Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.