Menjauhi Kekasih di Hari Kekasih

valentine

 

Bila 14 februari menjelang, Malaysia biasanya akan dipenuhi dengan kempen-kempen yang menggesa umat islam untuk tidak turut perayaan hari kekasih atau dikenali sebagai hari Valentine. Pada tahun-tahun sebelum ini, jarang didengari suara-suara yang menentang kempen-kempen seperti ini. Tetapi uniknya beberapa tahun ini, banyak berlaku kompromi terhadap perkara yang sepatutnya menjadi asa kepada agama ini. Boleh jadi ia adalah kerana kesan globalisasi dan rapuhnya asas kefahaman wala’ (taat) & bara’(berlepas diri) umat islam.

Arus Islamophobia yang diarus perdanakan oleh isu Charlie Hebedo dan ISIS menjadikan kita meragui prinsip Islam yang selama ini kita pegang, kerana takut akan pandangan non-muslim kepada kita dan menjadi ‘fitnah ke atas agama’. Jika sebelum ini kita mudah sahaja berkata “No to Valentine”, tahun ini kita sudah mula berkompromi, kenyataan seperti ;

“Tidak perlu zahirkan kerana menjaga perasaan kawan-kawan kita yang menyambut Valentine dari kalangan non-muslim khususnya”,

“Cuba bayangkan kalau non-muslim mengatakan say no to Ramadhan, pasti kita marah bukan?”

dan lain-lain lagi.

Kemudian kita mengambil sedikit masa berfikir, dan timbul satu persoalan dalam diri kita, kenapa Islam yang kita pegang selama ini bercanggah dengan adat kebanyakan manusia? Kitakah yang betul atau merekakah yang betul? Timbul satu lagi persoalan, adakah kebenaran itu di pihak yang ramai?

Artikel ini akan memberi gambaran tentang pendirian yang patut diambil oleh muslim yang merasa ragu akan pendirian-pendirian Islam yang dilihat bertentangan dengan pendirian kebanyakan, ditemani dengan dalil-dalil Qur’an yang mampu membawa kita ke sebuah pemandangan yang lebih meluas menjangkau pemerhatian manusia yang tidak pernah mengenal Allah.

Saya mempelawa saudara pembaca untuk masuk ke dalam perbincangan ini dengan memegang sebuah ayat al-Qur’an yang menjadi basis perbincangan kita;

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. (Al-Baqarah : 147)

Berdasarkan ayat ini, terjentik jiwa kita, kebenaran itu hanya milik Allah dan kita melihat suatu perkara hanya menerusi kebenaran hakiki ini. Hanya Allah sahaja pemilik kebenaran, hanya keputusan yang berlandaskan quran dan Sunnah itu sahaja yang tepat dan bukan selainnya.

Katakanlah kebenaran itu di tangan manusia, sudah pasti dunia akan menjadi kucar-kacir, berates tahun homoseksual ditolak kerana janggal, dan hari ini tiba-tiba nak diterima. Lihatlah keputusan manusia yang tidak berlandaskan quran dan Sunnah berubah-ubah. Kerana mereka tidak ada rujukan yang tetap untuk membuat keputusan selain akal mereka semata.

Kebenaran yang dimiliki Allah ini tidak semestinya menepati citarasa nafsu manusia. Sirah & sejarah telah mengajar kita masyarakat manusia menolak apa yang telah dibawa nabi kerana tidak sesuai dengan nafsu mereka.

Nabi Lut didustakan kaumnya kerana membawa ajaran yang menentang amalan homoseksual yang diamalkan kaumnya. Adakah homoseksual yang dilakukan majoriti itu perkara yang betul?

Nabi Muhammad didustakan kaumnya kerana membawa kefahaman tauhid, menolak semua tuhan selain Allah yang disembah oleh majoriti besar kaum arab. Adakah penyembahan berhala yang dilakukan majoriti itu perkara yang betul?

Di Baghdad suatu ketika dahulu, Imam Ahmad Hanbal berpegang dengan kepercayaan yang diyakininya betul kerana ia berpandukan dalil yang sahih dari quran dan sunnah. Beliau berpegang teguh, bahawa al-Quran itu adalah wahyu dan bukan ciptaan manusia. Beliau diseksa sehingga mati dijalan itu. Dengan teguhnya beliau dengan akidahnya, akidah kita terselamat dari fahaman muktazilah.

Lihatlah, Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas mazhab Hanbali, berseorangan bertembung dengan ahli Baghdad keseluruhannya. Adakah fahaman majoriti penduduk baghdad itu fahaman yang betul?

Sampailah kita kepada suatu kesimpulan bahawa kebenaran itu bukanlah semestinya pada golongan yang ramai bilangannya. Jahiliyah itu tetap jahiliyah sedikit atau banyakpun bilangan pelakunya. Neraca yang mengatakan suatu perakara itu baik mahupun buruk hanyalah al-Quran & sunnah dan bukanlah bilangan pelakunya.

Cukuplah sepotong ayat quran untuk kita jadikan pedoman;

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Al-An’am : 116)

Asy-syahid Sayyid Qutb merungkaikan ayat ini ;

Kebanyakan manusia di bumi dari kalangan ahli jahiliah (yang tidak menjadikan quran & sunnah sebagai rujukan) tidak menjadikan Allah sebagai hukum didalam urusan-urusan mereka dan tidak menjadikan syariat sebagai basis pemikiran dan kehidupan mereka, mereka berada di dalam kesesatan jahihliyah. Oleh itu Allah telah memberi amaran agar nabi tidak mentaati mereka dan mengikuti mereka agar baginda tidak terpesong dari jalan Allah (kerana terikut akan mereka)

Di sambung pula dengan ayat;

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-An’am:117)

Asy-syahid rahimahullah menyambung ;

Tidak boleh tidak mesti ada kaedah untuk membuat keputusan dalam perkara yang melibatkan kepercayaan manusia dari segi cara dia melihat sesuatu, neraca pertimbangannya, dan pelakuan-pelakuan mereka. Tidak boleh tidak mesti ada kaedah yang menjelaskan apakah yang benar (al-Haq) dan yang salah (batil) agar urusan-urusan kehidupan manusia ini tidak berdiri di atas hawa nafsu manusia yang berbolak-balik dan tidak berdiri di atas sebuah rujukan yang diyakini (qur’an & sunnah). Kemudian dirujuk daripadanya hukum-hukum. (Fi Zilalil Qur’an, surah al-An’am)

Lihatlah, tidak semestinya kebanyakan orang mahu sambut Valentine, kita bertoleransi dengan pendirian kita terhadap sambutan Valentine. Kerana boleh jadi kebanyakan manusia bukanlah merujuk kepada prinsip agama terlebih dahulu untuk mengeluarkan pendapat.

فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ، وإياكم ومحدثات الأمور، فإن كل بدعة ضلالة

Hendaklah kamu semua berpegang dengan sunnahku, dan sunnah khulafa’ Rasyidin yang (mereka ini) telah diberikan petunjuk dan gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kalian menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua perkara bid’ah adalah sesat “

(Riwayat Abu Daud & Tarmizi, dia berkata : Hadith Hasan Sahih)

Cukuplah hadith ini menjadi pegangan kita hari ini. Bila kebanyakan manusia takut-takut untuk berpegang dengan tuntutan Islam, kita genggamlah ia sehingga dengan gigi kita sekalipun. Ia merupakan kiasan kepada pegangan yang teguh terhadap agama. Genggamlah bara api itu sehingga ia menjadi abu.

Ada yang mendakwa dengan rahmatan lil-alamin, kita patut memberi rahmat (belas kasihan) kepada orang non-muslim menyambut Valentine.

Sebuah sisi yang menarik dalam ayat rahmatan lil-alamin adalah, ia adalah sepotong ayat dari surah al-Anbiya’. Di dalamnya mengisahkan bagaimana Nabi berdakwah kepada kaumnya, didustakan dan kaumnya diazab, dan ayat ini datang di hujung-hujung surah. Bagaimanakah mungkin bila nabi-nabi ini berdakwah kepada kaumnya, kaumnya tidak menyetujuinya dan kaumnya telah melanggar perintah Allah, dan tiba-tiba Allah mahukan kita untuk berlaku toleransi berlebihan kepada non-muslim?

Rahmat yang dimaksudkan adalah ajaran Islam itu sendiri. Apabila non-muslim berada dibawah hukum Islam, menghormati hukum-hukum Islam yang sebenarnya menjamin keamanan dan keselamatan hidupnya (selagi mereka tidak menentang Islam), maka itulah rahmat yang sebenar kepada mereka.

Bukankah dengan menyembunyikan sebahagian prinsip kita untuk menjaga hati mereka dikira sebagai menyorokkan hidayah yang telah Allah berikan kepada kita?

Tuntasnya, jika sebahagian kumpulan tidak bersetuju dengan apa yang kita pegang, tidaklah bermakna kita berada di tempat yang salah. Lebih-lebih lagi di era globalisasi, negara dan masyarakat berlumba mengejar ketamadunan & cara hidup barat, menjadikan hak asasi manusia sebagai rujukan, maka keterbukaan melampau dan kecairan prinsip-prinsip agama bukanlah suatu perkara yang baru. Jahiliyah tetap jahiliyah walaupun dunia & seisinya melakukannya.

Prinsip pemisahan (mufasolah) antara wahyu & nafsu ini semakin diuji dari hari ke hari. Persoalan yang utama, sanggupkah kita terus menggenggam bara prinsip ini walapun dengan gigi kita sebagaimana yang diriwayatkan dari kekasih kita nabi Muhammad S.A.W, atau kita semakin menjauh dari ajarannya.

Peganglah dengan prinsip yang benar ini, agar kita tidak menjauhi kekasih kita dengan kefahaman kita yang salah terhadap “hari kekasih” ini.
Hikmat Bin Mohd Esa
Kuliah Syariah Tahun 1
Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.