Nafas Segar Membina Hidup Baru – Pengerusi IMedik-Mesir

naufalbasri

Melangkah masuk ke bulan Februari dengan nafas baru dan azam baru, rata-rata kebanyakan universiti di seluruh Mesir sudah membuka semula kuliah untuk sesi kedua tahun ini. Masing-masing dengan ragam tersendiri namun kebanyakannya masih diulit suasana cuti yang merehatkan. Jangan biarkan diri anda hanyut dengan keselesaan ini. Paksakan diri untuk bangkit keluar dari selimut, biar bertatih tapi terus bersemangat untuk menempuh tahun ini. Seandainya momentum yang tinggi dan berterusan yang kita ingin kejar di saat tiba musim peperiksaan kelak, perlu bermula dari langkah pertama hari ini.

Di saat-saat sebelum kejatuhan khilafah Islam Abbasiah, masyarakat terlalu asyik dengan kesenangan hidup pada waktu itu. Kurangnya masyarakat yang berjiwa sederhana serta memiliki juhud yang tinggi, akhirnya membawa kepada nasib yang ditimpa oleh khilafah itu sendiri. Buang segala rasa malas dari diri dan bersiap sedia untuk memulakan pecutan sebelum ke akhir sesi ini.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan tahniah kepada semua graduan keluaran Mesir yang bakal pulang berkhidmat di Malaysia pada tahun ini. Enam tahun lamanya masa yang dihabiskan untuk mengikuti sebuah permusafiran ilmu, pengalaman dan pembinaan jati diri di sini, kini tanah air tercinta, tempat tumpahnya darah memanggil-manggil anak bangsanya pulang kembali untuk mencurahkan bakti. Anda adalah harapan ummah. Mengambil ibrah dari Mus’ab bin Umair yang diutus oleh Rasulullah ke Madinah untuk menyampaikan risalah, kalian juga memikul amanah yang besar untuk memandu masyarakat ke arah kefahaman Islam yang hakiki. Sememangnya tidak dinafikan, alam kerjaya sudah pasti jauh lebih mencabar, namun berbekalkan keikhlasan dan kesungguhan, Allah akan mempermudahkan perjalanan kelak.

Buat yang masih berbaki di sini, ingatlah bahawasanya kejayaan orang-orang sebelum kita bertitik tolak dari diri sendiri yang mahu melangkah membuat perubahan. Masih belum terlambat untuk kita menyusun agenda diri sebelum semboyan berbunyi menyeru kita kembali ke tanah air. Usah dibiarkan detik masa berlalu tanpa ada sebarang nilai tambah pada diri sendiri. Tuntutlah ilmu dan timba pengalaman sepanjang keberadaan kita di Mesir ini. Peluang berada di bumi ini adalah satu nikmat dan pada waktu yang sama satu amanah yang besar. Amanah ini pasti akan disoal oleh Allah kelak, ke mana masa, tenaga dan peluang yang dimiliki ini digunakan. Sesungguhnya mahasiswa mahasisiwi yang gagal merancang sebaiknya peluang yang dimiliki ini pasti akan merasa rugi.

Di saat masyarakat memerlukan doktor-doktor yang bukan sekadar merawat penyakit luaran tetapi juga merawat hati, kita pasti tidak akan dapat menyumbangkan apa-apa kembali seandainya tidak bersedia dari sekarang. Proses pembinaan ruhi, fikri, imani, jasadi dan jihadi perlu ada dalam setiap diri seorang mahasiswa, lebih-lebih lagi yang bakal berkecimpung dalam dunia perubatan.

Dalam menghadapi bermacam-macam karenah masyarakat di Malaysia nanti, seorang doktor perlu mempunyai asas kekuatan dalaman yang kukuh. Dilatih dari peringkat mahasiswa lagi tentang erti berkorban untuk ummah, kefahaman fikrah Islam yang sebenar, nilai muraqabah dan pergantunggan kepada Allah dan kepentingan ukhuwwah sebagai support system dalam kehidupan, semua ini mampu melahirkan seorang doktor yang bermanfaat kepada masyarakat. Andai ditinggalkan, maka tidak ubah sama seperti doktor-doktor bukan Islam di luar sana.

Benarlah tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyah. Marilah kita waqafkan diri kita bagi ummah ini.

 

Pengerusi IMedik – Mesir
Dr. Ahmad Naufal Bin Basri
Kuliah Perubatan Tahun 6 Universiti Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.