Kalimah Kafir, Jelas Kecelaruan Pelampau Toleransi Agama

kalimahkafir

Dewasa kini, pelbagai insiden telah berlaku yang menyebabkan umat Islam rasa tergugah dengan kefahaman agama mereka sendiri dan tercampak dalam jurang kekeliruan. Peristiwa Charlie Hebdo sebagai contoh, menjadikan umat Islam tersepit di antara membantah penyiaran kartun yang mencela Nabi Muhammad ataupun membantah keganasan yang dilakukan, sedangkan kesahihan peristiwa tersebut masih menjadi tanda tanya. Ditambah lagi dengan kisah ISIS yang semakin mengganas dengan membakar tawanan. Umat Islam keliru dalam cuba membezakan antara hak dan batil.

Di tengah-tengah kekeliruan tersebut, wujudlah satu kelompok yang cuba mempamerkan Islam kepada masyarakat dalam hanya satu sudut yang kecil. Mereka cuba mengembangkan dan menyebarkan Islam dengan mesej kasih sayang, lemah lembut dan toleransi semata-mata tanpa memandang kepada sudut yang lain. Maka dengan bangganya mereka mengiklankan kerjasama erat tanpa berbelah bahagi dengan golongan bukan Islam yang dilihat anti Islam.

Kemuncak kecelaruan kelompok ini sangat kelihatan apabila mereka mengatakan bahawa golongan bukan Islam di Malaysia tidak boleh dipanggil kafir. Hal ini kerana mereka mendakwa golongan bukan Islam di Malaysia masih tidak kenal Islam yang sebenarnya dan dakwah Islam tidak benar-benar sampai kepada mereka.

Mereka mendakwa lagi bahawa kalimah Kafir hanya akan menjauhkan golongan bukan Islam daripada mengenal Islam. Oleh itu muncul lah beberapa kalimah lain yang kreatif seperti “not yet muslim” , “soon to be a Muslim” dan sebagainya.

Masyarakat Islam khususnya perlu diberi pencerahan daripada kekeliruan yang berlaku dengan beberapa hujah. Saya mendoakan agar hati-hati mereka yang ikhlas berjuang menegakkan Islam ini mampu melihat satu jalan amal yang lurus yang benar-benar dipandu oleh syarak.

Orang Jahil tidak boleh dianggap Kafir

Dakwaan mereka yang pertama ialah orang bukan Islam di Malaysia tidak pernah mengenali Islam yang sebenar, lalu mereka dianggap jahil kerana dakwah Islam tidak sampai. Mereka hanya boleh dianggap kafir apabila Islam diterangkan kepada mereka secara betul-betul dan mereka melawannya.

Jawab saya, kita tidak menafikan bahawa golongan umat Islam di Malaysia khususnya Melayu agak lemah dan tidak bersungguh-sungguh dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Jauh sekali mahu mencerminkan amalan nilai Islam dalam kehidupan seharian. Mungkin kerana mereka sendiri jahil terhadap agama mereka dan kurang tolakan daripada pihak berwajib. Tambahan lagi suntikan virus fahaman rosak yang mencacatkan aqidah seperti sekularisma dan liberalisma menjadikan orang Islam terpaksa menjelaskan aqidah yang sebenar antara mereka sendiri. Perkara ini sedikit sebanyak membantutkan penyebaran Islam kepada orang bukan Islam.

Tetapi, segala perkara yang telah disebutkan di atas tidak lah menjadikan orang bukan Islam di Malaysia tidak boleh dipanggil kafir. Masih wujud usaha penyebaran agama Islam, malah Malaysia adalah sebuah negara Islam yang wujud syiar pada hampir setiap tempat. Bahkan, maklumat pada zaman sekarang hanya berada di hujung jari dan golongan bukan Islam ini bukanlah tinggal di lereng-lereng bukit atau di dalam gua.

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauzi berkata,

“Islam itu ialah mentauhidkan Allah dan pengabdian diri kepadanya, serta beriman kepada Allah dan Rasulnya serta mengikuti sunnah dan ajarannya. Barangsiapa yang tidak melakukan perkara tersebut, dia bukan Muslim. Maka dia adalah kafir, jika dia tidak kafir yang melawan Islam, maka dia adalah kafir yang jahil. Kategori kafir jahil ini, walaupun dia tidak melawan Islam, dia tetap tidak terkeluar daripada hakikat bahawa dia adalah kafir”.

(kitab Toriq Al-Hijratain wa Bab As-Sa’adatain)

Malangnya dalam situasi di Malaysia, seruan supaya tidak memanggil mereka sebagai kafir itu bukan sahaja merujuk kepada masyarakat bukan Islam yang biasa, malah kepada organisasi yang secara terang-terangan menunjukkan persaaan benci mereka kepada Islam dan kedudukannya di negara ini.

Kalimah Kafir Menjauhkan Orang bukan Islam

Dakwaan mereka yang kedua pula ialah kalimah Kafir menjauhkan orang bukan Islam daripada dakwah yang ingin disampaikan kepada mereka. Dalam konteks ini, mereka cuma sedikit keliru antara dua perkara iaitu;

  1. Hakikat syarak
  2. Wasilah (medium) dakwah

Menurut hakikat syarak, seorang yang bukan Islam adalah kafir dan perkara ini tidak boleh diubah. Hal ini bermakna segala hukum-hakam dan prinsip yang digariskan oleh syarak tidak boleh diubah dan dikurangkan walaupun sedikitpun terhadap orang bukan Islam di Malaysia.

Adapun jika dinilai mengikut wasilah dakwah, maka tiada masalah untuk kita menggunakan lafaz lain yang dianggap lebih sopan dan sesuai untuk digunakan dengan syarat tidak menukar dan mengurangkan walau sedikitpun hakikat, hukum dan prinsip syarak ke atas mereka.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa dalam sejarah Islam, pernah wujud satu kelompok Nasrani yang hidup di bawah naungan Islam, mereka tidak selesa dengan panggilan “ahli zimmah” atau “zimmi”. Mereka memohon supaya kalimah itu dtukarkan kepada “muwathonah”. Permohonan mereka dipersetujui tetapi tidak bertukar apa-apa hukum dan prinsip yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini. Yang bertukar hanya lafaz dan kalimah, bukan hukum syarak.

Contoh yang jelas dalam Al-Qur’an

Allah telah menunjukkan contoh yang jelas dan terbaik kepada umatnya supaya dapat memahami konteks gaya bahasa yang sesuai mengikut keadaan. Sebagai contoh, kadangkala Allah menyifatkan ahli kitab sebagai kafir, kadangkala kalimah kafir tidak disebut dalam gaya bahasa lembut untuk mengajak mereka ke arah kalimah tauhid. Malah dalam beberapa ayat Al-Qur’an secara jelas kalimah kafir itu disifatkan kepada mereka sebelum datangnya hujah dan bukti yang jelas melalui dakwah kepada mereka.

Firman Allah:

لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ

“Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata (Rasulullah membawa Islam).

(Surah Al-Bayyinah: 1)

Dalam ayat ini, jelas kalimah kafir itu disifatkan kepada mereka sebelum datangnya dakwah Islam melalui Rasulullah.

Dalam ayat yang lain, firman Allah:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.

(Ali Imran: 64)

Dalam ayat ini pula, Allah menggunakan gaya bahasa yang lembut tanpa menggunakan perkataan kafir, tetapi masih menggunakan makna perkataan yang tegas dan berprinsip. Syeikh Attohir Ibnu Asyur mengatakan dalam kitab tafsirnya, Attahrir Wattanwir, penghujung ayat yang disebutkan di atas mempunyai makna yang besar iaitu perbezaan mutlak antara agama Islam dengan agama yang lain. Apabila kita selesai menyampaikan dakwah, kita disuruh berlepas diri dan membenci kekufuran mereka yang menolak agama Allah.

Kesimpulan

Jika kalimah kafir itu dielakkan daripada digunakan sebagai salah satu wasilah dakwah dan penyesuaian gaya bahasa yang lebih selesa untuk diterima tanpa mengubah apa-apa hukum dan prinsip syarak, maka tiada masalah pada perkara tersebut.

Tetapi jika kita menegaskan bahawa kalimah kafir tidak boleh digunakan ke atas mereka kerana mereka masih belum mencapai darjat “kafir” atas alasan dakwah masih belum sampai kepada mereka, maka ini adalah satu pendapat yang keji dan mengelirukan.

Akhir kata, saya mengajak seluruh ummat Islam khususnya yang terlibat dalam gerakan Islam agar sama-sama menghayati kata-kata seorang pejuang dan ahli tafsir, As- Syahid Sayyid Qutb rahimahullah. Ketika mentafsirkan ayat ke 120 Surah Al-Baqarah, beliau berkata;

“…katakanlah sesungguhnya kebenaran itu hanyalah hidayah daripada Allah. Barangsiapa yang mahu beriman, maka dia beriman. Barangsiapa yang mahu kafir, maka dia kafir. Maka berhati-hatilah! Jangan disebabkan keinginanmu untuk mereka mendapat kebaikan menjadikan kamu tersimpang daripada jalan yang lurus ini”.

 

Sumber:

1. طريق الهجرتين وباب السعادتين, ابن قيم الجوزي
2. الأقليات غير المسلمة في المجتمع السملم, د. يوسف القرضاوي
3. التحرير والتنوير, الطاهر ابن عشور
4. في ظلال القران, سيد قطب

 

 

Muhammad Bin M Hassan
Kuliah Usuluddin Tahun 2
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.