Pertembungan bukan hanya disebabkan salah erti

saifulislam

Saya sangat bersetuju dengan artikel ini (http://saifulislam.com/2015/01/apa-rasanya-disalah-erti/) , cuma perlu ditambah dengan beberapa sokongan supaya ia juga tidak disalah tafsir:
1. Sememangnya wujud pertembungan hak dan batil

Ini merupakan satu hakikat yang yang wujud bersama hakikat kejadian alam ini. Sebagaimana kita memahami berlakunya kejadian malam dan siang, daun gugur ke bumi, bumi berputar pada paksinya, kita juga perlu mengakui bahawa wujudnya pertembungan hak dan batil sepanjang sejarah perjalanan manusia.

Akan wujud golongan yang berusaha membwa manusia dekat dengan Allah dan wujudnya golongan yang akan menghalang manusia untuk mencari hidayah Allah

Apakah hakikat permusuhan sebenar antara kafir quraysh dan Rasulullah? Apakah hakikat permusuhan antara Islam dan kuasa besar dunia?
2. Islam yang paling adil

Perlu difahami, neraca adil adalah hak yang ditentukan oleh quran dan sunnah serta pertimbangan ulama. Berbeza dengan manusia ‘adil’ yang difahami hanya bergantung pada kelemahan akal dan kebuasan hawa nafsu. Itulah perbezaan utama kaca mata Islam dan selainnya dalam menafsirkan sesuatu perkara, segalanya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Islamlah satu satunya agama yang meletakkan garis panduan dalam setiap perkara yang adil dalam menilai segala perkara.
3. Sikap prejudis terhadap umat Islam dan terlebih mempercayai golongan bukan Islam

Saban hari, permasalahan yang berlaku di kalangan umat Islam makin teruk. Umat islam sendiri tidak berjaya menterjemahkan makna Islam itu dalam kehidupan mereka. Kesannya berlaku salah faham, pertembungan mazhab, perbezaan pendapat yang sangat kritikal di kalangan umat Islam sendiri. Masalah sesama umat Islam tidak diuruskan dengan baik dan berhemah.

Sesetengah golongan lebih suka duduk bersama bukan Islam dan orang Islam yang ‘cair’ pegangannya terhadap Islam disebabkan masalah yang berlaku ini. Secara tidak langsungnya, ia mengesani pandangan umum orang selain Islam apabila melihat Islam pada keseluruhannya.

*Untuk meletakkan neraca yang adil dalam melihat permasalahan ini, perlu juga untuk kita melihat apakah yang telah berlaku ke atas umat Islam sejak seratus tahun yang lalu.

1. Peranan keji media barat
2. Hawa nafsu buas golongan penjajah meratah umat Islam di seluruh dunia
3. Segelintir umat Islam yang menjadi tali barut kepada musuh
4. Merampas hak ekonomi dan pemerintahan, melakukan sekatan dan membataskan pengaruh umat Islam
5. Memaksakan penerimaan ideologi asing secara paksa dan rela
6. Merosakkan golongan muda mudi dengan nilai material yang melampau dan budaya bebas dalam agama
7. Percaturan musuh Islam dalam menghalang harakah Islam.
8. Dan bermacam lagi

Apakah adil sekiranya segala permasalahan ini hanya dilihat dari satu sudut kecil iaitu salah tafsiran yang berlaku sesama manusia?
4. Wujudnya orang zalim dan orang yang adil

Disebabkan adanya pertembungan dua golongan ini maka kita tidak mampu menafikan bahawa dunia ini bukanlah khayalan dan mistik, dunia ini adalah realiti. Kita cuba membayangkan kenapa manusia tidak boleh hidup aman damai, saling meraikan antara satu sama lain.

Kita membayangkan lahirnya perasaan cinta sesama manusia sekiranya mereka saling memahami dan menjauhkan prasangka. Benar, sekiranya manusia betul-betul kembali kepada Tuhannya, pada hakikat penciptaannya, maka dunia ini akan aman.

Tidakkah mereka melihat dan mentadabur firman-firman Allah. Hati yang tunduk dan patuh dengan kehendak Allah tidak sama sekali mampu duduk bersama hati yang penuh gelojak nafsu dan kosong tanpa tuhan.

ليميز الله الخبيث من الطيب ويجعل الخبيث بعضه على بعض فيركمه جميعا فيجعله في جهنم أولئك هم الخاسرون
“Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Anfaal:37) 

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَٰكِنْ يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَلَتُسْأَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.” (An-Nahl:93)

ولولا دفع الله الناس بعضهم ببعض لفسدت الأرض ولكن الله ذو فضل على العالمين

“Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.” (Al-Baqarah:251)

5. Adil adalah kita memberikan yang lebih pada sesama Islam dan meraikan golongan bukan Islam pada batas dan hak mereka

*ini tidak perlu disyarah panjang. Ambil Al-Quran letakkan dihadapan, keluarkanlah semua anjuran/pujian Allah terhadap orang mukmin dan muslim. Kemudian keluarkan semua celaan dan peringatan Allah terhadap golongan musyrik dan kafir.

Jika tidak cukup untuk memahami, buka pula kitab Sahih Bukhari dan Muslim (dalam ribuan hadith), lakukan langkah yang sama seperti di atas. Dengan itu, mudahlah kita memahami anjuran yang diminta Allah dan RasulNya di atas muka bumi ini

6. Tentang otoriti orang bukan Islam bercakap tentang Islam

Kita perlu adil dalam menerima kebenaran, ulama dah bahas panjang dalam isu israiliyat dan garis panduan yang diletakkan dalam mengambil kata-kata orang bukan Islam

*paling kurang ada 7 garis panduan

 

Ustaz Ahmad Farhan Bin Selamat
Timbalan Pengerusi ISMA Mesir
Kuliah Usuluddin Jabatan Tafsir 

Comments

comments

admin