Pemimpin Mesti Hasil Tarbiyah

487747_625169687509646_375719052_n
Krisis kepimpinan yang melanda mutakhir ini terutama di Malaysia membimbangkan kita lebih-lebih lagi yang memimpin masyarakat adalah mereka yang di luar fikrah kita bahkan lebih jauh lagi mereka adalah di kalangan kafir.  Kita sangat bimbang bukan kerana mereka tidak adil tetapi kerana mereka tiada asas fikrah kefahaman Islam yang kukuh yang akan memelihara syariat itu sendiri. 

Saya tertanya-tanya,
Ke mana mereka yang ditarbiyah?
Ke mana mereka yang mengikuti harakah dakwah?
Bukankah mereka ini lebih layak dikehadapankan berbanding yang lain-lain??

Persoalan ini dirungkai oleh Imam Asy-Syahid HAB dalam kata-katanya: “Pemimpin tidak boleh tidak mesti lahir dari hasil tarbiyah”. Al-Imam telah mengetengahkan formula yang bernas ini dalam menangani masalah kepemimpinan hari ini iaitu pemimpin mesti lahir dari akar umbi tarbiyah dan bukan selainnya.

Pemimpin yang kita fahami adalah mereka yang lahir dari proses tarbiyah, mereka yang melazimi wasilah-wasilah tarbiyah, mereka yang memahami fikrah secara mendalam, mereka yang terlatih ketaatannya, mereka yang terbukti pengorbanannya, mereka yang memahami tabiat tanzim, pernah diuji pelbagai mehnah.

Dan tentunya pemimpin di sisi kita bukanlah hanya dipilih berdasarkan kelancangan berpidato, mahir mengurus sistem, mampu mempengaruhi orang, telah mengikuti kursus sana sini, dan sebagainya. Kerana itu bukanlah penyelesaian sebenar bagi kita untuk memimpin masyarakat.

Orang-orang tarbiyah harakah perlu ke hadapan untuk menyelamatkan umat dan memimpin mereka menuju hidayah walaupun seribu satu kelemahan ada pada dirinya. Perkara ini tidak difahami oleh selainnya kerana ubat penawar itu ada pada dirinya.


Mereka Mengajar Kita

Para penakluk di kalangan para sahabat seperti Saidina Umar, Saidina Uthman, Saad Bin Abi Waqqas dan sebagainya walaupun di sisi mereka Rasulullah SAW tetapi baginda tidak pernah mengarahkan mereka menakluk tanah seberang sana sini bahkan terus menerus mentarbiyah mereka dengan acuan manhaj Quran dan Sunnah. Tetapi bagaimana mereka boleh begitu proaktif menakluk dan menawan negara-negara di luar tanah suci Makkah Madinah?

Tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka memahami keperluan semasa yang menuntut mereka untuk bersiap siaga memenuhi keperluan tersebut. Mereka fahami bahawa tiada agama yang lebih mulia dari Islam, maka praktikalnya ialah mempersiapkan kekuatan untuk menyebarkan agama ini ke segenap pelusuk alam. Itu jiwa para sahabat yang tiada bumi menghalangnya tiada azab yang menakutkannya melainkan dari Allah.

Suatu hari ketika Imam Asy-Syahid HAB remaja, beliau tidak pulang ke rumahnya seperti kebiasaanya. Maka tercari-carilah rakan-rakannya di mana hilangnya Al-Imam. Rupa-rupanya beliau sedang berlatih memberi khutbah di sebuah masjid berdekatan situ. Beliau memahami bahawa suatu hari nanti beliau akan berkhutbah di atas mimbar masjid maka beliau mempersiapkan dirinya untuk memenuhi keperluan semasa masyarakat ketika itu.

Mereka mengajar kita bahawa asas tarbiyah adalah paling utama bagi melahirkan pemimpin di samping mempersiapkan pemimpin tersebut dengan keperluan semasa seperti kemahiran bercakap, mengurus manusia, menulis, mengkaji dan sebagainya. Perkara ini tidak bertentangan bahkan saling menguatkan.

Kita tidak rela potensi dan bakat kita dipergunakan oleh penganut juzuk-juzuk agama dalam mencapai kepentingan tertentu mereka. Bahkan dakwah ini lebih berhak ke atas kita berbanding maslahah-maslahah tertentu yang ingin dicapai oleh mereka. Tubuh ini wakaf untuk dakwah yang syumul sepertimana difahami oleh generasi awal.

Imam Malik telah menunjukkan kita qudwah dengan kata-katanya;
لن يصلح اخر هذه الامة الا بما صلح به اولها
“Takkan baik umat akhir zaman ini kecuali dengan apa yang telah diislah pada zaman awalnya”


Tarbiyah Hari Ini, Kepimpinan Hari Esok

Slogan ‘Tarbiyah Hari Ini, Kepimpinan Hari Esok’ ini diperkenalkan oleh Biro Tarbiyah ISMA bertujuan untuk memahamkan bahawa tarbiyah yang kita lakukan bukan sekadar mahu menjadikan seseorang itu baik sahaja bahkan selangkah ke hadapan iaitu sekaligus menjadikannya pemimpin.

Hari ini kita latih dia ulang alik masjid,
esoknya dia menjadi imam masjid dan menyampaikan fikrah melalui khutbahnya dengan penuh bersemangat.

Hari ini kita suruh dia berjumpa masyarakat,
esoknya dia menjadi wakil rakyat atau masyarakat dan berkhidmat demi Islam.

Hari ini kita tarbiyah dia baca Al-Quran,
esoknya dia mampu menyampaikan ibrah kisah-kisah Al-Quran dalam Parlimen.

Hari ini kita tolak dia bercakap di hadapan,
esoknya dia mampu menyampaikan ucapan di dalam muktamar yang mengumpulkan ulama dan daie seluruh dunia.

Maka tidak hairanlah musuh Islam sangat takut dan gerun akan tarbiyah ini, kerana ia sentiasa dan selamanya akan melahirkan rijal-rijal pemimpin yang akan menguasai dunia suatu masa nanti. Wallahua’lam


Oleh: Ahmad Izzat, Kuliah Syariah Tahun 3, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.