Sunnatullah dalam Memenuhi Kehendak Kita

key to your success

Sebagai pelajar muslim, Al Quran merupakan teman setia di kala susah dan senang. Satu ayat Al-Quran yang sangat sinonim dengan kita dan menjadi motivasi kepada mereka yang akan menghadapi peperiksaan besar mahupun ujian dalam hidup iaitu:

 “Sesungguhnya Allah tidak akan menggubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindungan bagi mereka selain Dia.”


Sekiranya kita menghayati ayat ini dengan mendalam, secara terus kita dapat memahami apa yang ingin Allah sampaikan kepada kita.
Dalam ayat ini, kita boleh bahagikannya kepada dua:

1. Allah beritahu kepada kita bagaimana sunnatullah itu berjalan untuk mencapai sesuatu , kita perlu berusaha sejajar dengan keinginan yang kita impikan, kemudian Allah akan tunaikan mengikut apa yang telah kita usahakan.

Walaupun hakikatnya Allah sudah menetapkan qada’ dan qadar  terhadap hambaNya, Allah ingin melihat  usaha gigih hamba-Nya dalam kesungguhan mencapai apa yang dikehendaki mereka. Allah melihat pada usaha bukan pada hasil. Seperti mana ibroh kisah seekor burung yang cuba membawa air dari paruh kecilnya untuk memadamkan api marak raja Zamrud yang cuba membakar kekasih Allah Nabi Ibrahim. Hal itu merupakan sunnatullah yang selama-lamanya tak boleh diubah.

Malah, usaha itu merupakan asbab sesuatu kejayaan yang dikecapi. Analoginya, sekiranya kita ingin menghasilkan satu resepi kek butter, maka seharusnya ada bahan butter di dalam adunan resepi tersebut, sekiranya tiada, manakan jadi sebuah kek butter?

Begitulah sunnahtullah itu terus berlaku.

2. Allah ingin menegaskan kepada kita, bahawa Allah Maha berkuasa dalam menentukan sesuatu sama ada mendapat kebaikan atau keburukan. Jika Allah sudah menetapkan kebaikan kepada kita, tidak ada siapa pun atau kuasa lain yang mampu untuk menghalangnya tanpa izin Allah. Begitulah sebaliknya.

Maka, jika kita mendapat satu kejayaan dan kebaikan, bersyukurlah kerana kita dipilih untuk menikmati kebaikan itu. Pada hakikatnya, nikmat atau musibah itu merupakan ujian daripada Allah kepada hambaNya. Sejauh mana hamba itu mengembalikan semua yang berlaku berbalik kepada sejauh mana dia mengimani segalanya adalah kehendak dan pemberian daripada Allah.  Maka segera ucapkan “Alhamdullillah” di samping membuktikan dengan perbuatan iaitu menjalankan segala perintahNya dan menjauhi laranganNya sebelum kita tergolong antara golongan yang tidak bersyukur. Firman Allah yang bermaksud:

 “Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.”   (Surah Ibrahim: 7)

Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mempraktikalkan dalam kehidupan seharian. Sempena musim imtihan yang semakin hampir dan makin terasa bahangnya, ISMA Mesir mendoakan agar semua mahasiswa Mesir dapat menghadapi imtihan dengan tenang dan dapat membetulkan niat dalam menimba ilmu bukan semata-mata imtihan. Satu kata-kata daripada Imam As Syafie sebagai penutup bingkisan ini:

“Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan”

Comments

comments

admin