Harganya Semahal Ganjaran Solat Fardhu!

312069_10150542151957846_1694593049_n

Solat fardhu merupakan sesuatu yang asas bagi setiap muslim. Sehinggakan sebahagian besar ulama melabel kafir bagi sesiapa yang mengaku Muslim tetapi tidak melaksanakan solat fardhu. Malah terdapat beratus hadis Rasulullah yang berkisar tentang solat fardhu baik dalam perlaksanaannya mahupun ganjarannya yang berlipat kali ganda.

Bukan setakat itu, perbuatan sebelum dan selepas solat fardhu juga terdapat fadhilatnya yang besar. Salah satu contohnya ialah berwuduk, akan dibasuhkan sekali dosa-dosanya yang dilakukan oleh anggota wuduk itu. Juga bagi orang yang berjalan kaki ke masjid untuk solat, akan terhapus satu persatu dosanya bagi setiap langkah yang diambil.

Nah, begitu penting dan mahalnya solat itu kepada kita, bukan? Namun, bukanlah saya ingin bicarakan tentang solat itu, tetapi di sini ingin saya bawakan sesuatu perkara yang harganya sama nilai seperti ganjaran solat itu.

 

 طلب العلم فريضة على كل مسلم

“Menuntut ilmu adalah fardhu(wajib) ke atas setiap muslim.”

-Hadis riwayat Ibnu Majah-

 

Di dalam buku Hadis-Hadis Pilihan karangan Mohd Qutb, beliau menerangkan maksud fardhu dalam 3 aspek penting

1. Fardhu ialah kewajiban yang mesti ditunaikan oleh manusia. Tidak boleh ditinggalkan disebabkan sibuk dengan perkara lain atau ada halangan tertentu.

2. Fardhu juga ialah kewajiban yang dilakukan oleh manusia kerana Allah dan sebagai ibadah kepadaNya

3. Fardhu juga merangkumi amalan yang mendekatkan hamba kepada Tuhannya. Setiap kali manusia melaksanakan kefardhuan ini, dia akan merasa hampir dengan Allah dan imannya makin meningkat.

 

Sebagai seorang muslim, kita harus mengimani bahawa setiap ilmu yang berada di muka bumi ini datang daripada Allah. Ilmu aqidah, ibadah, kejuruteraan, kedoktoran hatta ilmu menggubah bunga pun kesemuanya adalah sebahagian daripada ilmu Allah. Maka sesiapa yang menganggap bahawa hanya ilmu agama sahaja yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka dia sudah silap.

Hadis Rasulullah yang agung ini tidak pernah mengkategorikan ilmu bidang mana yang menjadi kefardhuan bagi setiap muslim. Maka mengapa kita pula yang mahu berbuat demikian?

Sebagai seseorang yang bergelar penuntut ilmu, kita perlu merenung diri sendiri, adakah segala ilmu yang dituntut selama ini, selaras dengan kefardhuan yang disebut dalam hadis ini? Adakah segala usaha yang dicurahkan, setiap kepenatan menelaah, kurangnya masa tidur untuk mengulangkaji kesemuanya diniatkan sebagai fardhu ke atas kita? Atau kita hanya berusaha ala kadar, asalkan lulus cukup makan. Sejauh itukah usaha kita dalam mengerjakan kefardhuan ini?

 

“Tapi bidang medik ni susah sangatlah akhi!”

“Tadi ana tak dapat jawab soalan hadis tu la ukhti”

“Banyaknya topik aku tak habis baca lagi! Esok dah nak exam!”

 

Pastinya situasi-situasi di atas sinonim dengan kehidupan seorang pelajar. Rasa putus asa kerap kali menjelma apabila kepayahan menuntut ilmu itu makin meningkat, terutamanya tatkala musim peperiksaan. Namun, kita hanya sandarkan kepada satu hadis Rasulullah ini sebagai motivasi kita untuk tetap meneruskan perjuangan.

 

إِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَ فِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيْلَةٌ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ تَقُوْمَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum berlaku kiamat, maka hendaklah dia menanamnya. Dengan itu dia akan mendapat pahala.”  -Hadis Riwayat Ahmad-

 

Tiada siapa yang boleh menyangka kalam ini boleh keluar daripada manusia yang paling agung ini. Ibaratnya seperti apabila seseorang diacu pistol dan akan mati, dan ketika itu terdapat benih tamar di tangannya, maka seharusnya dia menanam benih tamar itu sebelum tembakan dilepaskan. Dan dia akan mendapat pahala daripadanya.

Aneh bukan? Sepatutnya reaksi yang kita jangkakan Rasulullah beri ialah kita harus berdoa bersungguh-sungguh, meminta ampun daripada Allah sebelum maut menjemput.

Dan jikalau kita sempat menanam benih itu sekalipun, siapa yang akan menyiram dan menjaganya? Jika kiamat itu hampir berlaku, pastinya benih itu tidak sempat pun nak mengeluarkan akarnya. Perbuatan yang sepertinya tidak memberi manfaat langsung tetapi itulah yang Rasulullah sarankan untuk kita lakukan.

Hadis ini mengajar kita perkara yang sangat besar iaitu, setiap usaha kita di dunia ini akhirnya membawa hasilnya di akhirat. Jalan akhirat itulah juga jalan dunia tanpa ada pemisahan. Tiada pemisahan antara kerja dan ibadah, kesemuanya adalah satu, dan ianya menuju ke akhirat di penghujungnya.

Maka kita sebagai pelajar harus meyakini setiap usaha kita dalam menuntut ilmu, ada ganjaran dalam setiap satunya yang nilainya sama dengan kefardhuan solat. Dan jangan mengalah selagi kaki belum menjejak ke dewan peperiksaan, kerana usaha kita akan dikira oleh Allah sehinggalah ke saat akhir, walaupun pada kita ianya kelihatan mustahil.

Kerana kejayaan sebenar seorang Muslim itu bukanlah di dunia semata, tapi yang lebih bernilai lagi adalah kejayaan di akhirat.

Oleh: Zainun Nadhirah Abdul Nasir, Tahun 5 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.