I-MEDIK Mesir Komited Melahirkan Doktor Ummah

downloadOleh: Nurul Islam Abdul Halim, Tahun 2 Perubatan, Universiti Ain Shams Kaherah

Keadaan umat Islam kini (bahkan sejak kewafatan Rasulullah SAW lagi), diuji dengan pelbagai dugaan. Malah, kebelakangan ini semakin jelas usaha musuh demi menjatuhkan agama Allah ini. Namun, umat Islam semakin lemah dan terus larut dengan perancangan licik, serangan pemikiran dan media massa yang dihidang mereka.

Umat Islam mula lupa tanggungjawab sebagai khalifah dan tuntutan dakwah. Hal ini menunjukkan keperluan para pendakwah untuk sentiasa proaktif menyedarkan masyarakat tentang tujuan kehidupan kita di muka bumi ini melalui pelbagai cara.

Menjadi kewajiban setiap muslim untuk menebarkan kebaikan yang disebut sebagai tuntutan fardhu ain iaitu berdakwah. Adapun begitu, wujud kepakaran dan kemahiran lain yang turut menjadi kewajiban bagi para pendakwah untuk menguasainya. Lalu, penguasaan dan kepakaran sesuatu cabang ilmu diletakkan sebagai fardhu kifayah. Apabila telah dilaksanakan dengan sempurna, terlepaslah tanggungjawab tersebut.

Melihat kepada senario masyarakat dunia, khususnya Malaysia, kebanyakan masyarakat meletakkan kepercayaan yang tertinggi kepada para pengamal perubatan, terutamanya doktor.

Bertitik tolak kepada kepercayaan ini, tertubuhlah Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik) yang melihat kepentingan duat di dalam bidang ini. Ia merupakan medium yang menyediakan ruang kepada ahli untuk menyusun rangka pembentukan generasi yang akan mengembalikan tamadun perubatan Islam masa akan datang dengan izin Allah.

“Siapa yang menolong Agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menguatkan pendirian kamu..”

Baru-baru ini, beberapa orang ahli i-Medik telah berjaya menamatkan ijazah dengan keputusan yang cemerlang dan membanggakan dalam jurusan perubatan dan pergigian. Lalu, kita doakan kejayaan mereka untuk berkhidmat dengan cemerlang jua di tanah air kelak.

Disamping kesibukan menelaah pelajaran, mereka juga giat menabur bakti dalam aktiviti-aktiviti pembinaan muslim profesional yang telah dianjurkan oleh i-Medik. Kejayaan ini, sekaligus memberi qudwah kepada ahli yang lain untuk terus berusaha meneruskan perjuangan di Mesir serta memanfaatkan keberkatan dan hikmah di Bumi Kinanah ini.

Kesibukan mendapatkan segulung ijazah bukanlah penghalang untuk terus menggali ilmu di seluruh ceruk bumi Mesir ini. Malah, dari sudut penilaian diri, menuntut ilmu pada usia belia adalah masa keemasan untuk mempersiapkan diri dalam pelbagai aspek untuk disumbangkan kepada umat ini, khususnya di Malaysia masa akan datang.

Segala ilmu agama yang dipelihara keasliannya di negara ini seharusnya dicedok sebaik mungkin untuk diaplikasikan dalam kehidupan daie profesional sejurus pulang ke tanah air kelak. Secara mudahnya, peribadi mahasiwa di alam kuliah memberi kesan kepada peribadi ketika mereka melangkah ke alam lain, seperti alam kerjaya, alam tua, dan seumpamanya.

Di Mesir inilah tempat untuk kita melengkapkan diri bukan sekadar bidang pengkhususan yang diceburi sahaja. Malah, skill berkomunikasi, skill memasak, serta pegangan ilmu agama yang kuat untuk merawat masyarakat.

Semakin hari semakin banyak penyakit bukan sahaja pada fizikal tetapi yang lebih merisaukan doktor hakiki ialah penyakit rohani dan akidah yang perlu diberi rawatan segera. Siapa lagi yang dapat menyalurkan ubat-ubatan jika bukan para pendakwah. Doktor juga tidak terlepas daripada peranan ni.

Hal ini dapat dilihat dari teladan generasi terdahulu yang telah dirakamkan sumbangan dan usaha mereka memartabatkan tamadun kesihatan disamping menyebarkan kefahaman sebenar kepada masyarakat muslim di zaman mereka. Inilah jihad suci yang telah ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam seperti Ibn Sina, Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi dan ramai lagi.

Mereka bukan sahaja menjadi qudwah dalam sejarah perubatan di dunia kerana berjaya mencetuskan pelbagai inovasi baru, bahkan nama mereka terukir indah sebagai penyambung dan pembawa risalah para Rasul yang mulia sekaligus merekalah diantara orang yang sepatutnya dikenang sebagai penyelamat umat ini.

Akhirnya, atas kesedaran inilah manusia terus beramal di muka bumi ini. Menyediakan diri untuk ditanya tentang tanggungjawab di akhirat nanti. Sehubungan dengan itu, berlumba-lumbalah untuk menjadi duat yang mempunyai sumbangan dalam membina masyarakat melalui peluang yang telah Allah sediakan untuk kita. Jadilah seorang doktor hakiki yang menjadi dambaan umat ini.

Allahu a’lam.

Comments

comments

Comments are closed.