TAKEMATACI Jelas Kekeliruan Terhadap ISMA

 TAKEMATACI Jelas Kekeliruan Terhadap ISMA

10735843_10202261742698638_128031303_n

KAHERAH, 19 Oktober: Selama ISMA Mesir bertapak dalam kehidupan mahasiswa Malaysia di Mesir ini, pelbagai tuduhan telah dilemparkan terhadapnya. Oleh itu, Biro Aktivisme ISMA Mesir Syukbah Madinat Nasr telah mengambil inisiatif menganjurkan program bertajuk Tak Kenal Maka Tak Cinta(TAKEMATACI).

Program tersebut telah diadakan bagi menjawab segala tohmahan yang telah dilontarkan oleh pelbagai pihak terhadap ISMA, sekaligus memperkenalkan ISMA Mesir kepada mahasiswa Mesir.

Program TAKEMATACI itu telah diadakan di Musolla Rumah Negeri Sembilan, Madinat Nasr dan menampilkan tiga panel yang berpengalaman dengan aktivisme ISMA Mesir. Mereka ialah Ustaz Muhammad Uzair Kamil, Ustaz Ramadhan Aldin, dan Dr. Atiqah Ayob.

Para panelis telah diberi peluang untuk mengulas isu-isu yang dibangkitkan oleh moderator pada pusingan pertama dan kedua, serta menceritakan secara ringkas tentang ISMA Mesir. Seterusnya pada pusingan ketiga, para hadirin telah diberi peluang untuk melontarkan apa sahaja soalan yang ingin diterangkan oleh ahli panel.

Beberapa tuduhan dan tohmahan yang sering berlegar dalam kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir telah berjaya dijelaskan dengan baik oleh ahli panel meskipun soalan-soalan tersebut dilontarkan bertubi-tubi. Antara isu yang dibangkitkan ialah persoalan taaddud jemaah dan isu bangsa Melayu.

ISMA Mesir sentiasa bersifat terbuka dalam menghadapi masalah perbezaan pendapat antara mahasiswa di Mesir dan mengajak agar semua mahasiswa mengambil pendekatan mendapat penjelasan daripada ahli ISMA sendiri berhubung apa-apa kekeliruan tentang ISMA. “Dengarlah daripada kami, bukan hanya dengar tentang kami”, ujar Ustaz Muhammad Uzair Kamil ketika menutup ucapannya.

Program yang berlangsung selama 2 jam itu diserikan dengan tayangan video pengenalan ISMA serta diakhiri oleh alunan nasyid yang merdu daripada kumpulan nasyid Fetya.

Comments

comments

admin