Menuju Kesempurnaan Ubudiah Dengan Berkorban

309693_10150536656602846_450984385_n
Oleh: Muhammad Asyraf Bin Othman, Graduan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah


Apabila menjelangnya Hari Raya Korban, umat Islam begitu sinonim dikaitkan dengan amalan berkorban dan juga kisah berkenaan korban agung Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Akan tetapi hampir setiap kali menyambutnya, kita seolah-olah gagal untuk menghayati makna sebenar pengorbanan yang dimahukan oleh Islam itu sendiri.

Prinsip Yang Hampir Dilupakan
Syeikh Al-Maududi membahagikan ibadah kepada dua bahagian. Yang pertama ibadah kecil dan yang kedua ibadah besar. Ibadah kecil yang dimaksudkan ialah ibadah-ibadah khusus yang hanya mengambil sebahagian kecil daripada hidup kita seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Manakala ibadah besar ialah menjadikan seluruh detik dan perbuatan dalam hidup kita sebagai ibadah kepada Allah.

Menurut al-Maududi lagi, ibadah-ibadah khusus yang telah disyariatkan bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan pelakunya ke arah melakukan ibadah besar. Sebagai contoh, dalam ibadah puasa kita diwajibkan untuk menahan diri dalam tempoh tertentu daripada perkara yang membatalkan puasa sekalipun antara perkara yang membatalkan puasa ini bukanlah termasuk perkara yang haram jika dilakukan di luar puasa. Jadi, puasa ialah suatu ibadah yang melatih dan mempersiapkan kita untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram dalam kehidupan.

Ibadah korban pula termasuk dalam bahagian yang pertama. Maka, sudah tentu ada makna dan pengajarannya yang tersendiri yang kita boleh ambil dalam usaha untuk menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah kepada Allah.

 

Tauladan Ibrahim Dan Ismail
Kisah agung yang sering diperdengarkan saban tahun bukanlah kisah pengorbanan yang biasa. Akan tetapi kisah mengenai seorang ayah yang diperintah oleh Allah untuk menyembelih anaknya. Korban yang dilakukan ialah korban perkara yang paling bernilai kepada dirinya. Iaitu mengorbankan anaknya yang merupakan permata hati beliau, semata-mata untuk menyahut perintah Allah. Ditambah pula ketika itu Nabi Ismail sudah mencecah remaja dan mampu untuk membantunya yang sudah tua melakukan kerja. Sungguhpun begitu, Nabi Ibrahim melaksanakan korban ini tanpa bantahan dan ragu-ragu.

Perintah ini pula bukan sahaja disahut oleh si bapa bahkan si anak yang bakal menjadi korban pun turut menyahutnya.
Nabi Ibrahim berkata kepada anaknya,
“…Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi (yang merupakan wahyu) bahawa aku menyembelih engkau…”
Lalu beliau meminta pandangan anaknya itu,
“…Maka beritahulah apa pandangan engkau (terhadap perintah Allah yang menyuruh aku menyembelih engkau)…”
Nabi Ismail pun menyahut perintah tersebut dengan menjawab,
“…Wahai ayahku, buatlah apa yang diperintahkan kepada engkau…”
Tidak cukup dengan sahutan tersebut, beliau iringi pula dengan tutur kata yang menenangkan ayahnya,
“…Insya Allah, engkau akan mendapati aku bersabar (dalam menanggung perintah Allah ini).”

Inilah gambaran pengorbanan tertinggi yang Allah rakamkan kepada umat manusia untuk dihayati. Dan pengorbanan besar yang dilakukan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang betul-betul tajarrud (menanggalkan) kepentingan selain Allah dan meletakkan Allah mengatasi kepentingan yang lain.


Syarat Datangnya Kemenangan
Sewaktu perang Badar, umat Islam dikurniakan nikmat kemenangan kerana telah cukup pada mereka syarat-syarat yang melayakkan mereka untuk mendapat kemenangan. Kemenangan yang Allah janjikan hanya kepada mereka yang sudah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan.

Sudah menjadi tabiat sebuah janji bersyarat. Akan dilaksanakan apabila sudah dipenuhi syaratnya dan tidak akan dilaksanakan apabila syaratnya tidak dipenuhi.
Itulah musibah yang telah menimpa umat Islam ketika perang Uhud. Allah tidak menunaikan janji bersyarat-Nya itu kerana ada syarat yang tidak berjaya dipenuhi oleh tentera Muslimin ketika itu.
“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya Sehinggalah sampai saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mengingkari (arahan Rasulullah supaya pasukan pemanah tidak berganjak walau apa pun yang berlaku), setelah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai…”

Perbuatan pasukan pemanah meninggalkan tempat mereka kerana mahu mengejar harta rampasan bukanlah masalah akar kepada kekalahan Muslimin dalam perang Uhud. Tetapi masalah akarnya ialah apabila ada sebahagian yang meletakkan kepentingan dunia mendahului Allah dan Akhirat.
“…Dalam kalangan kamu ada yang menginginkan dunia dan ada yang menginginkan akhirat…”

Walhal, barisan tentera Muslimin yang pergi berperang waktu itu sudah dibersihkan daripada golongan Munafiq!
Demikianlah aturan Allah ke atas umat ini yang mahu memastikan jemaah muslimah yang bakal mewarisi bumi ini betul-betul dibersihkan daripada sebarang kepentingan duniawi. Itulah bentuk tarbiah yang Allah susun untuk generasi pertama umat ini supaya sentiasa tajarrud dan meletakkan Allah mengatasi kepentingan yang lain dalam berjuang.


Tuntutan Yang Lebih Mencabar
Ibadah korban yang dilaksanakan tidak ada maknanya jika tidak didasari dengan taqwa kepada Allah. Dan sembelihan yang dilakukan hanyalah satu persediaan dan latihan supaya kita mampu berkorban segala kepentingan dalam memenuhi tuntutan untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini.

Sudah pasti pengorbanan yang dituntut dalam tugas untuk meninggikan kalimah Allah ini lebih berat dan mencabar daripada ibadah korban yang kita lakukan. Satu tugas yang menuntut kita untuk berkorban jiwa, harta, keluarga, kampung halaman dan sebagainya semata-mata untuk mendapatkan redha Allah.

Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan generasi sahabat sudah mendapat ujian mereka yang tersendiri daripada Allah untuk membuktikan pengorbanan masing-masing. Dan sudah menjadi sunnatullah yang Allah akan menguji hambanya yang beriman untuk melihat apa yang tersembunyi dalam hatinya dan bagaimanakah keadaannya ketika menerima ujian tersebut. Cuma, bentuk dan caranya berbeza pada orang mengikut apa yang Allah tetapkan.

Semoga ibadah korban pada kali ini menjadi titik penolak kepada kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar selepas ini.

Dan ingatlah!
Sekalipun para fuqaha berselisih pandangan tentang kewajiban hukum korban, tetapi kewajiban berkorban jiwa, harta dan sebagainya dalam menegakkan kalimah Allah tidak pernah diperselisihkan oleh mana-mana ulama pun.

Comments

comments

Comments are closed.