Ratusan Mahasiswa Sambut Seruan Keterbukaan ISMA

wajis

Kemeriahan sangat dirasai dalam Majlis Jamuan Aidiladha dan Walimah Jamaie’ yang telah dianjurkan oleh ISMA Mesir pada Ahad lepas. Sambutan itu berjaya menggamit lebih 800 orang hadirin yang datang dari pelbagai latar belakang.

Majlis sambutan yang diadakan di Masjid Salam, Hayyu Asyir itu bermula sejak pukul 11 pagi dengan bacaan Al-Quran serta ucapan Timbalan Pengerusi ISMA Mesir, Ahmad Farhan bin Selamat. Beliau dalam ucapannya menekankan nilai ketaqwaan dalam ibadah qurban seperti yang Allah telah berfirman dalam ayat ke-37.

Selepas solat zohor, majlis telah menerima kunjungan wakil Education Malaysia Egypt, Ustaz Ahmad Zakuan Md Khudzari  dan juga Pegawai Negeri Melaka, Ustaz Anuar bin Idris.

Majlis seterusnya meraikan ketibaan 7 orang pengantin yang telah berkahwin pada cuti musim panas yang lepas. Kesemua mereka telah diijabkabulkan di Malaysia. Majlis ini telah dijayakan khas untuk meraikan mereka sebagai ahli ISMA Mesir yang bergiat aktif selain mengadakan jamuan untuk mahasiswa Malaysia di seluruh perlembahan Nil ini.

Melangkahnya mereka ke alam perkahwinan bermakna tanggungjawab mereka bertambah daripada membina peribadi muslim dalam diri sendiri kepada membentuk sebuah keluarga yang mengamalkan nilai-nilai Islam, seterusnya mencipta satu harapan baru ke arah masa depan Islam yang cerah.

Seperti biasa, dalam mana-mana majlis ISMA Mesir, persembahan Fetya merupakan satu perkara yang wajib. Pada kali ini, pelapis Fetya tampil sebanyak dua kali dan mempersembahkan 7 buah lagu. Persembahan yang bersemangat itu ternyata menghiburkan hadirin yang datang.

ISMA Mesir mengucapkan terima kasih atas kesudian para hadirin serta tetamu jemputan untuk datang menyerikan majlis. Kami sangat menghargai sambutan hangat dan sifat keterbukaan yang telah ditunjukkan. Sejak dari penubuhannya, ISMA konsisten menyeru mahasiswa supaya bersifat terbuka dalam mengatasi masalah perbezaan organisasi dan kumpulan selagi tidak melanggar syarak. Moga perkara seperti ini menjadi salah satu langkah ke arah masa depan mahasiswa Malaysia di Mesir yang lebih gemilang.

Comments

comments

admin