Bila Nasionalisme Berbicara

malaysia_flag_by_tuner97-d5pf22s
Oleh: Mohamad Azwan Anwar Bin Mohamad Mathurudi, Fakulti Syariah, UNiversiti Al-Azhar Kaherah

1. Setiap tahun tanggal 31 Ogos, Malaysia akan menyambut sambutan Hari Kemerdekaan dengan meriah dan kerjasama dari pelbagai pihak. Pelbagai persediaan akan dilakukan untuk memperingati pengorbanan datuk moyang yang mempersembahkan usaha mereka sehinngalah nikmat keamanan mampu dikecapi oleh generasi kemudian.

2. Namun, apakah asas rasa kegembiraan masyarakat malaysia apabila menyambut Hari Kemerdekaan?

3. Saya kira, andai rasa itu dikongsikan bersama generasi orang lama, pasti mereka akan menceritakan kesusahan dan keperitan yang pernah mereka lalui. Hidup dalam ketakutan, tidak bebas untuk bergerak, sumber makanan yang terhad dan lain-lain. Kalaulah generasi terdahulu tidak ada rasa tanggungjawab dalam membela negara ini, pasti kemerdekaan akan lambat diperolehi. Boleh jadi, negara kita masih lagi kekal dibawah telunjuk orang lain secar langsung pada hari ini.

4. Kemerdekaan tidak akan tercapai tanpa semangat patriotik dan nasionalisme yang kuat. Namun semangat patriotik dan nasionalisme mestilah diikat kuat dengan Islam. Suka saya kongsikan secara penuh dari makalah Risalah Dakwatuna Hasan Al-banna mengenai patriotik dan nasionalisme,

“Sekiranya Patriotik yang dilaungkan oleh mereka itu bermaksud rasa kasih sayang terhadap tanah air, merasa mesra dengannya, cinta dan merasa kasih terhadapnya,

maka ini adalah sesuatu yang telah tersedia dalam fitrah manusia dari satu sudut.

Dari satu sudut yang lain pula ianya adalah merupakan suatu perintah dalam Islam..”

“Sekiranya Patriotik yang mereka maksudkan itu bererti kewajipan bekerja dengan seluruh tenaga dalam usaha memerdekakan negara dari tangan-tangan perampas,

kemudian memenuhkan tuntutan kemerdekaan dan menanam prinsip keagungan juga kemerdekaan dalam jiwa anak-anak negara,

maka dalam hal ini, kita juga bersama-sama dengan mereka dan Islam telah pun menitik beratkan perkara ini dengan dengan kuat..”

“Sekiranya mereka maksudkan dengan Patriotik itu mengeratkan pertalian antara penduduk serantau
dan membimbing mereka agar menggunakan kekuatan yang ada pada mereka untuk kebaikan mereka,

kita juga bersetuju dengan mereka dalam hal ini dan Islam memandangnya sebagai suatu kewajipan
yang pasti. “

“Kita menganggap bahawa batas Patriotik kita ialah aqidah, sedang mereka menganggap bahawa batas Patriotik itu adalah berdasarkan bumi dan sempadan geografi..”

“Jika Nasionalis yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi hari ini yang perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, cemerlang, dihormati, berkeyakinan tinggi lalu menjadikan mereka (generasi dahulu) sebagai contoh yang baik,

dan jika Nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lalu menjadi pembakar semangat dan perangsang kepadanya (anak).

Jika ini yang dimaksudkan, maka ia adalah suatu tujuan yang baik yang disokong dan digalakkan.

Bukankah usaha kita membangkitkan semangat generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi masa silam ?”

“Jika Nasionalis yang dimaksudkan ialah keluarga dan bangsanya adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan dengan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar.

Siapakah yang tidak merasa bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya ? ”

“Jika Nasionalis yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap kumpulan untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan.

Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.”

“Semua nilai Nasionalisme ini dan yang seumpamanya adalah nilai yang baik, disanjungi dan tidak dilarang oleh Islam..

Nilai ini menjadi ukuran kita dan kita bukan sahaja menerima dengan senang hati semua nilai ini malah kita menyokongnya..”

NAMUN

“Jika apa yang dimaksudkan dengan Nasionalisme ialah menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus..

Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh..

Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat Nasionalisme dan semangat kebangsaan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah negara yang agak fanatik, sehingga ke tahap menghancurkan semua imej Islam dan Arab, termasuklah mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya Jahiliyyah yang telah sekian lama pupus, jika inilah Nasionalisme yang dimaksudkan, maka Nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang amat buruk.”

“Jika apa yang dimaksudkan dengan Nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri sepertimana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggahan sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan.”

5. Izinkan saya untuk memberi lebih fokus pada isu nasionalisme pada penulisan kali ini. Apabila kita menyoroti sejarah, Islam tidak pernah menghapuskan identiti mana-mana bangsa atau kaum. Bahkan, islam meraikan peranan bangsa atau sesuatu kaum dalam sumbangan menyebarkan agama ini.

6. Contoh yang paling mudah lihat saja dalam sirah nabi. Rasulullah tidak pernah menghapuskan rasa perkauman antara Aus dan Khazraj. Bahkan, kedua kaum ini berlumba-lumba membuktikan sumbangan kaum mereka dam menegakkan agama islam ini. Lihat saja pada peristiwa Baiah Aqabah. Bukan sekadar nama individu sahaja yang tercatat, bahkan asal kaum pun disebut.

7. Nabi Muhammad s.a.w dilantik menjdi ketua negara tatkala tiba di Madinah. Namun, Baginda tidak pernah menurunkan pangkat mana-mana ketua kaum ketika di Madinah. Bahkan, mereka diberi penghormatan yang selayaknya. Siapa lagi yang lebih bertanggungjawab terhadap bangsanya melainkan diri mereka sendiri.

8. Mari kita menyusuri sejarah tanah air kita pula secara khusus. Apabila datangnya penjajahan ke atas negara kita, negara ini telah mempersembahkan kesetiaan dan perjuangan tanpa rasa berbelah bagi. Generasi lama ini mempertaruhkan segalanya sehingga ke titisan darah yang terakhir. Tok Janggot, Tok Kenali dan ramai lagi yang sejarah mereka ini seolah-olah luput apabila berlalunya zaman.

9. Apakah perjuangan mereka sekadar rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara semata seperti kenaikan cukai? Tidak sama sekali. Bahkan, generasi terdahulu memahami perjuangan membebaskan bangsa dan tanah air ini merupakan satu jihad. Mereka memahami nasionalis dalam kerangka islam yang tulen. Islam ini meliputi semua perkara dalam kehidupan. Mereka memberi contoh secara langsung mngenai rasa bangga terhadap bangsa mereka sendiri melalui perjuangan. Mereka menjadikan bangsa mereka sendiri sebagai tonggak terhadap risalah tauhid ini. Bangsa Melayu adalah bangsa jihad. Bangsa yang membawa islam dalam segenap urusan kehidupan.

10. Siapalah yang boleh menafikan semua ini? Tanah Melayu pernah menjadi rujukan terhadap perkembangan ilmu. Tanah ini melahirkan ulama yang berwibawa sehingga mampu menjadi rujukan pada masa dahulu. Tanah ini meniupkan nafas islami yang dihirup oleh masyarakat yang mengamalkan islam secara keseluruhan. Manusia datang berbondong-bondong untuk mengecapi kehidupan di tanah air kita tercinta.

11. Namun begitu, dengan kemerdekaan yang dilaungkan pada hari ini seolah-olah laungan itu semakin hari semakin tenggelam. Bahkan, menenggelamkan suara dan rasa kemerdekaan yang sebenar. Kita tidak berbangga dengan kemampuan bangsa kita sendiri sehingga mencari formula pembangunan dari luar. Pembangunan jati diri terhadap bangsa kita pun tidak dititik berat sehingga kita mengambil pakej luar yang merosakkan identiti bangsa kita sendiri. Kemudian, wujud tangan-tangan asing yang menganggu gugat kedaulatan negara dengan memasukkan agenda mereka secara halus sehinggakan segelintir daripada kita menjayakannya tanpa disedari.

12. Bangsa kita keliru. Itu adalah hakikat yang perlu diterima dan diubati dengan kadar segera. Lihat saja pada ruang lingkup kecil sekeliling kita. Diri kita, keluarga kita yang disayangi dan kejiranan yang kita berinteraksi harian. Masyarakat kita dalam lena yang mengasyikkan sehingga tidak menyedari apa yang sedang berjalan.

13. Saya percaya, bangsa ini akan menjadi tonggak kebangkitan Islam khususnya di rantau ini. Tanpa disedari, kita telah beraksi seperti abang long dalam memberi bantuan terhadap bangsa dan saudara seakidah kita di tempat yang lain. Sentuhan kita meliputi Acheh, Kemboja dan negara yang serumpun dengan kita sehinggakan Gaza pun kita bantu. Bangsa kita ada rasa tanggungjawab yang besar terhadap negara-negara lain sama ada dari segi kemanusiaan ataupun pembangunan. Cuba bayangkan, andaikata bangsa kita di Malaysia mengmbil islam secara keseluruhan. Pasti, impak yang akan dilakukan mampu merubah dunia ini seperti zaman kegemilangan terdahulu.

14. Andai boleh dibayang akan bicara tanah air pada kita, pasti bicaranya seperti ini.
“ aku telah menyaksikan nasionalisme ini tidak pernah diperjuangkan secara sendirian melainkan dengan roh jihad bersama di tanah air ini. Kami bergerak selari sambil berpimpin tangan menghadapi serangan-serangan luar. Andai kami bergerak secara sendirian, pasti gerakan dan kemenangan yang tiba akan tempang dan tidak bertahan lama. Ketahuilah, kemenangan yang sebenar adalah bangsa ini bebas menentukan hala tuju mereka dalam kerangka wahyu. Rahmatnya akan dirasai bukan saja pada manusia semata, bahkan jua seluruh alam.”

15. Oleh itu, saya menyeru supaya kita mengikuti jejak langkah para pejuang terdahulu. Sejarah perjuangan yang dikambus, kita gali kembali khususnya di tanah air kita yang tercinta. Pertalian antara generasi datuk moyang kita dihubungkan kembali sehinggalah generasi yang akan datang. Kini bukanlah masa untuk menunding jari menyalahkan sesiapapun, tetapi masa untuk bertindak. Suara-suara sumbang itu akan tenggelam melalui pembuktian setiap tindakan yang kita ambil apabila berlalunya masa. Ketika itu, bangsa ini pasti bebas dan merdeka membentuk negara ini melalui acuan wahyu.

Wallahualam.

Comments

comments

Comments are closed.