Program Talkshow Islam Melayu Raja Mendapat Sambutan Hangat

IMR berita

 

Madinat Nasr, 1 Oktober – Seramai lebih 250 orang mahasiswa Malaysia di Mesir memenuhi ruang Dataran Kompleks Rumah Negeri Hayyu Asyir untuk menghadiri program Talkshow Islam Melayu Raja, Untung Rugi Pelaksanaan Syara’ di Malaysia. Program anjuran ISMA Mesir itu menampilkan Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam yang dibawakan khas dari Malaysia.

Majlis dirasmikan oleh TYT Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Ja’afar dan dihadiri juga oleh beberapa wakil dari kedutaan dan juga pegawai rumah negeri. Program bermula dengan ucaptama Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Nik  Muhammad Rafie bin Nik Zainal Alam. Beliau menyentuh mengenai sifat keterbukaan dan pembawaan idea baru dalam kalangan mahasiswa selain menekankan kepentingan wujudnya sifat kepimpinan dalam diri mahasiswa di Mesir.

Seterusnya majlis diteruskan dengan agenda utama iaitu ceramah bertajuk Islam, Melayu dan Raja, Untung Rugi Pelaksanaan Syara’ di Malaysia oleh Ustaz Shahruzzaman. Beliau membawa beberapa hakikat tentang identiti negara Malaysia yang berteraskan Islam, Melayu dan Raja. Majlis dihangatkan selepas itu dengan sesi soal jawab yang menyaksikan beberapa soalan yang agak menarik dan membuka minda oleh para hadirin.

ISMA Mesir menyaksikan sambutan oleh mahasiswa yang hadir dan soalan yang dilontarkan oleh para hadirin dalam majlis itu sebagai satu perkembangan yang positif. Perkara itu menunjukkan sifat keterbukaan yang dihayati oleh mahasiswa Malaysia di Mesir serta membuktikan idea-idea yang dibawa oleh ISMA semakin didengari oleh mereka.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kumpulan Fetya yang mendendangkan 4 buah lagu. Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu bersurai pada pukul 12 tengah malam.

Comments

comments

admin