Psikologi : Tuntutan Pakej Da’i Muslim Era Millenium

 Psikologi : Tuntutan Pakej Da’i Muslim Era Millenium

lumut

Ainun Mardhiah Jamaluddin, Tahun 6 Fakulti Perubatan, Universiti Tanta

Air di kali sejuk terasa,

Hendak mandi dingin teramat,

Manusia sama ilmu yang berbeza,

Harta dan pangkat tidak tertempat.

Kali ini mari kita berbicara tentang dua baris pembayang pantun* di atas. Mengenai kali ataupun sungai. Oh, tentu sekali ini bukan kelas sastera! Pernahkah anda merasai nyaman dingin air di kali? Ataupun sekadar menyusur di bibir kali sambil melihat batuan di tepinya? Lazimnya batu tersebut pasti berlumut bukan? Maka, apakah analogi yang bisa cerebrum anda tafsirkan daripada tadabbur alam Ilahi ini?
Mungkin analogi pertama: lumut ibarat keburukan yang menyeliputi hati (batu) andai kita tidak bergerak mengisi hati dengan perkara yang sepatutnya. Manakala analogi kedua: keberadaan daie (batu) di sesebuah kawasan lama-kelamaan mampu untuk menarik mad’u (lumut) di sekelilingnya berkat juhud dan kesabaran. Justeru, yang mana satukah tafsiran anda? Tidak serupa sama sekali? Sungguh, anda pemikir kreatif & kritis, mampu berfikir di luar kotak. Bersyukurlah!

Kembali mengupas tajuk di atas, perbezaan latar belakang bakal mengesani pemikiran & tafsiran individu. Dalam bahasa Yunani, “ psyche “ bererti jiwa manakala “ logos “ bermaksud ilmu. Begitulah asal perkataan psikologi secara etimologi. Maka psikologi dapat didefinisikan sebagai ilmu yang mengkaji tentang jiwa. Sebahagian ahli berpendapat bahawa jiwa adalah daya hidup rohaniah yang bersifat abstrak, yang menjadi penggerak dan pengatur bagi perbuatan peribadi (personal behaviour). Walaubagaimanapun, hakikat sebenar jiwa (roh) itu tiada siapa yang tahu kerana sifatnya yang abstrak dan tidak dapat dikesani oleh pancaindera.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Isra’ ayat 85 yang bermaksud:

Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, “ roh itu termasuk dalam urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit “. “

“Ketika kemungkaran berleluasa dan kejahilan dominan seperti keadaan kita hari ini, maka tugas dakwah menjadi FARDHU AIN ke atas setiap batang tubuh umat Islam mengikut kemampuannya..” –Ibn Baaz-

Dalam konteks dakwah, antara indikator keberkesanan sesebuah dakwah adalah pada perubahan sikap kejiwaan seseorang mad’u. Daripada tidak cinta kepada Islam menjadi cinta, daripada tidak beramal soleh menjadi semakin giat melakukannya dan daripada membuat maksiat menjadi benci kepada maksiat. Ini semua menunjukkan betapa penting bagi seseorang da’i mendalami ilmu psikologi dakwah bagi menghasilkan dakwah yang efektif.

Secara terperinci, terdapat tiga tahap pencapaian dakwah:

•Tahap kognitif: Ketika seorang mad’u mampu menangkap, mengerti dan memahami apa yang disampaikan oleh seorang da’i.
Tahap afeksi: Ketika seorang mad’u diharap mampu merasa dan merenung lebih mendalam apa yang telah disampaikan oleh da‘i, tidak sekadar memikirkannya sahaja.
Tahap psikomotor: Ketika seorang mad’u mampu mengaplikasi atau menjalankan apa yang telah disampaikan oleh seorang da’i dan setelah mad’u melakukan perenungan mendalam sehingga kesedaran benar-benar muncul dalam diri tentang apa sesungguhnya kewajipannya terhadap Tuhannya, apa sesungguhnya tugas dan kewajipannya di dunia ini agar pada saat menjalankan tugas dan amanahnya, seorang mad’u benar-benar melakukan tugas berdasarkan kesedaran sendiri.

Al-Quran Karim sebagai manual rujukan insan telah lama mengajar hal ini. Turun ayat Al-Quran secara bertahap merupakan suatu bukti bahwa pendekatan kejiwaan merupakan sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Misalan dalam larangan meminum arak, Allah membuat tiga tahapan:

– peringatan tentang mudharat arak (Qs. 2: 219)
– larangan solat dalam keadaan mabuk (4:43)
– perintah menjauhi khamar (5:90)

Kejayaan hasil tarbiyah ditentukan pula oleh metodologi yang benar dan tepat. Ketepatan waktu penyampaian, tema yang disampaikan, cara penyampaian ataupun metod pendekatannya. Rasulullah dalam dakwahnya memang sangat memperhatikan tingkat kesediaan jiwa orang yang didakwahinya dalam menerima pesan-pesan dakwah.

“ Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. “

Berdasarkan ayat 125, Surah al-Nahl, Allah telah menggariskan tiga pendekatan dakwah yang harus dijadikan panduan iaitu:

1.Hikmah dan nasihat yang bijaksana
2.Contoh teladan (qudwah) dan kekuatan (quwwah)
3.Mujadalah (Dialog,Perbincangan,Debat)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa qudwah merupakan senjata paling ampuh da’i dalam usaha mengesani mad’u sepertimana yang selalu disebutkan:

“ Bahasa perbuatan lebih fasih daripada bahasa kata-kata “

Formula ini telah dibuktikan dalam sirah oleh Rasulullah, para sahabat dan salafus soleh.

Memetik sedutan episod dalam filem Laskar Pelangi, kita dapat melihat kebijaksanaan pendekatan psikologi yang digunakan oleh seorang ustaz memancing minat anak-anak muridnya untuk menuntut ilmu. Ketika mereka sedang berlegar-legar di sekitar bangunan sekolah sambil melakukan aktiviti kegemaran masing-masing, ustaz tersebut bertanya andai ada di antara mereka yang ingin mendengar beliau bercerita mengenai sebuah kisah. Kecenderungan kanak-kanak yang suka mendengar cerita membuatkan mereka bersegera ke arah ustaz itu. Lalu ustaz tersebut terus melukis sebuah bahtera besar yang dipenuhi dengan pelbagai jenis haiwan dan memperihalkan kisah Nabi Nuh.

Metod yang sama kerap digunakan oleh Rasulullah dalam usaha mendidik para sahabat baginda. Misalnya, baginda menyebut kisah tiga sahabat yang terperangkap dalam gua untuk mendidik para sahabat dengan sifat ikhlas. Selain teladan melalui cerita, Rasulullah turut memanfaatkan tadabur alam sebagai teknik mentarbiyah sahabat. Antaranya, bagaimana Rasulullah mengumpamakan dosa yang gugur melalui solat seperti dedaunan yang berguguran sambil menggoncangkan dahan pokok di hadapan Abu Dzar. Ini termasuk juga kaedah soal jawab dengan para sahabat.

“ Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka dan bukan zaman kamu dilahirkan. “

Kalam Saidina Ali ini mengingatkan para da’i agar mendalami waqi’ atau realiti umat semasa supaya pendekatan dakwah yang sesuai dapat dipraktikkan. Penguasaan teknologi maklumat antara kemahiran asas yang perlu dimiliki oleh da’i bagi mendekati golongan generasi Y ini. Kefahaman mengenai pelbagai bentuk ideologi humanisma yang mengancam masyarakat juga harus dikuasai. Kajian dan strategi dakwah kepada yang bukan muslim serta keprihatinan terhadap saudara mualaf turut dijadikan keutamaan.

Secara tuntas, para da’i hendaklah mempersiapkan diri dengan kemahiran psikologi sebagai energi tambahan dalam dakwah di samping kekuatan taqarub dengan Allah. Sedangkan pihak gereja sendiri memiliki silibus “ Biblical Sillibus ” yang mengandungi ratusan modul untuk mengatasi isu-isu daripada pelbagai latarbelakang masyarakat. Mengapa tidak da’i muslim menggali khazanah Islam dalam memperhebat jati diri seterusnya menawarkan penawar kepada penyakit umat supaya akhirnya mereka kembali beramal dengan syariat Islam sepenuhnya.

Pohonlah agar dikurniakan mata hati murni supaya dapat memilih antara permata dan kaca. Juga jangan dilupa doa ini sebagai azimat sakti kala memancing mad’u:

Ya Allah, kurniakanlah kami cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu serta amalan yang menuju kepada cintaMu “ .

* TAHUKAH ANDA? Za’ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, “Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama.” Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu ‘ panuntun ‘ yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.

Sumber:
http://makalahpsikologi.blogspot.com/2010/01/psikologi-dakwah.html
Taujihat Tarbawiyah buat Da’ie Ilallah
Berita Harian, 5 May 2003, Page 9, PANTUN NASIHAT

http://13hadithkaunseling.blogspot.com/

Comments

comments

admin