Melayu Sepakat Islam Berdaulat atau Muslim Sepakat Islam Berdaulat?

msib

Virus yang ada dalam kalangan orang Melayu ini adalah mereka suka fikir lebih tentang orang lain, selalu fikir org lain. Kita fikir untuk dia, ada dia fikir untuk kita? Mereka fikir macam manalah dengan orang Cina, macam manalah dengan orang India, ini virus!
Kita kena fikir diri kita dulu, kita di mana? Kita dah sampai mana? Boleh kita bangkit?

Orang lain selalu persoal kenapa lebih-lebihkan bangsa? Orang Melayu ni bermasalah, banyak masalah moral, kenapa nak letak harapan pada Melayu? Jawapannya mudah, kita tak boleh putus asa dengan orang Melayu. Fakta yg digembar-gemburkan dalam akhbar tidaklah begitu tepat. Walhal sebenarnya golongan yang bermasalah ini bukan majoriti, dalam konteks peratusan kaum yang terlibat tentulah orang Melayu yang lebih tinggi kerana bilangannya yang ramai secara keseluruhan.

Bukan semua orang Melayu korup, asas pegangan org Melayu pada agama dalam keperibadian mereka masih kuat. Takkan kita nak harapkan orang Cina yang esok akan masuk Islam untuk dia tegakkan Islam. Sedangkan orang Melayu yang turun temurun Islam, pada namanya, pada bahasanya, solatnya, adatnya, akhlaknya bahkan tutur katanya.

“Dialah yang telah mengutuskn rasulNya dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya atas segala agama..”
[As saff:9]

Allah mengutus rasulNya untuk memberi pertunjuk & agama yang benar, untuk Dia zahirkan agama Islam mengatasi agama lain, jadi bagaimana agama Islam nak memimpin? Islam tak boleh pimpin sendiri, Islam hanyalah kalimah-kalimah dalam al-Quran & hadis. Jadi untuk menjadikan Islam itu pemimpin, Islam mestilah dianuti oleh satu kumpulan umat atau bangsa. Islam memimpin dengan cara ia dianuti & didokong oleh sebuah umat/bangsa yang beriman pada Islam..

Bukan nak menafikan hak bangsa lain bahkan tak pernah berlaku pun dalam sejarah, kefahaman, ideologi, budaya, pemikiran, adab-adab org Melayu & ajaran Islam sebarang penindasan atau memandang rendah bangsa lain. Mereka mempunyai hak kewarganegaraan yang sama. Boleh hidup aman, mencari rezeki, boleh maju & berjaya. Dan hari ini terbukti yang lebih kaya di Malaysia bukan orang Melayu.

Islam diturunkan untuk menjadikan kita umat yang mengatasi umat lain dari segi kepimpinan. Kita memimpin bangsa lain kerana hidayah, rahmat & Islam yang kita bawa. Akidah & kemahaman Islam menjadikan kita merasa diri kita mulia, dilantik oleh Allah untuk menjadi pendakwah & pemimpin bangsa lain.

Setiap bangsa memainkan peranan penting dalam menegakkan Islam. Kita tengok dari konteks kita di Malaysia, yang perlu sepakat adalah Melayu. Kalau kita sebut ‘ Muslim sepakat ‘ ia boleh merujuk kepada Arab, Turki, dan lain-lain bangsa. Dalam tekad kita untuk menegakkan Daulah Islamiyah, ia mesti didokong & disokong oleh satu bangsa yang kuat supaya bila kita isytihar bahawa kita hendak laksanakan Islam, pengisytiharan ini tidak boleh dicabar oleh orang lain.

Tentang persoalan hak bangsa lain yang beragama Islam, mereka juga ada hak tersendiri. Tapi tak munasabah untuk menjadi pemimpin orang melayu. Tak mungkin orang Cina misalnya yang seramai 20 ribu atau 200 ribu yang peluk Islam akan akhirnya memimpin orang Melayu yang bilangannya belasan juta.

Tetapi mereka juga sebahagian daripada umat Islam, memiliki hak yang sama, boleh nikah, boleh kahwin, dan boleh berlaku di sana percampuran disebabkan oleh perkahwinan. Jadi tak timbul kita menafikan hak orang bukan Melayu. Bahkan dalam Perlembagaan Malaysia, meletakkan orang Melayu itu adalah individu yang mengucap dua kalimah syahadah, bercakap bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan sebagainya.

Apabila orang Melayu berkahwin dengan orang Cina maka apakah bangsanya? Orang Melayu boleh dihasilkan dengan seseorang itu menganut agama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu serta mengamalkan adat-adat Melayu. Sepertimana sesetengah daripada kita pun bukannya asli Melayu. Ada yang datuk neneknya berbangsa Cina atau India.

Nur Diyana Binti Soid
Tahun 1 Fakulti Syariah Islamiyah,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Comments

comments

admin