Sireh Pulang ke Gagang

 Sireh Pulang ke Gagang

ust syed

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Setiap perjalanan pasti akan ada pengakhiran. Begitulah juga dengan dunia permusafiran seorang yang bergelar mahasiswa di bumi Mesir ini, pasti akan pulang ke tanah air jua.

Pada hari Selasa, 1 September yang lepas, ISMA Mesir telah melepaskan sebuah permata berharga yang menyinari dunia mahasiswa Malaysia di Mesir ini. Beliau adalah bekas Timbalan Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim.

Ustaz Syed Isra’ selama berada di Mesir terkenal dengan kecemerlangannya dalam pelajaran. Beliau telah menamatkan ijazah sarjana muda dalam bidang Syari’ah Islamiyyah di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kecemerlangannya dibuktikan dengan mendapat pangkat jayyid jiddan martabat as-syaraf dalam tahun akhir pengajiannya. Beliau berumur 26 tahun, telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak.

Beliau telah dipertanggungjawabkan untuk memegang jawatan Timbalan Pengerusi ISMA Mesir pada sesi 2013-2014. Sepanjang sesi itu, beliau telah menonjolkan bakat beliau dalam bidang kepimpinan dan menjadi contoh bagi setiap orang dalam menguruskan organisasi. Keistimewaannya  dalam bidang kajian dan perkembangan (research and development) telah berjaya membawa kepada kemajuan ISMA Mesir sehingga menjadi antara persatuan pelajar yang semakin dikenali pada hari ini.

Kejayaan diri beliau tidak terhad kepada aktivisme dalam dunia mahasiswa sahaja, bahkan beliau kini telah menjawat jawatan eksekutif bagi Malaysia-Turkey Foundation (MTF). Pencapaian ini dikira sangat besar jika dilihat kepada usianya yang sangat muda.

Bagi ahli ISMA Mesir, beliau adalah sumber inspirasi dalam segenap aspek kehidupan sebagai seorang pelajar Al-Azhar, mahupun sebagai seorang manusia yang berjaya mencapai kejayaan dalam usia yang muda. Banyak pengalaman yang telah dicoret bersama di bumi anbiya’ ini.

Semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangannya dalam medan perjuangan di Malaysia nanti.

Comments

comments

admin