Taqlid : Pengajaran daripada Sirah

taqlidIC__450x324

Petikan daripada buku Fiqh Sirah, Sayyid Ramadhan al-Buti:

“ Rasulullah s.a.w. telah memperolok-olokkan kaumnya yang telah membelenggukan segala tenaga fikiran kepada adat tradisi datuk nenek moyang mereka iaitu menyembah berhala dan melakukan perkara munkar yang lain tanpa memikirkan apakah berhala itu boleh memberi sesuatu kebaikan atau membahayakan kalau tidak disembah. Seterusnya Rsulullah s.a.w menyeru mereka agar membebaskan diri daripada pemikiran perhambaan dan cengkaman tradisi yang lapuk yang sedikit pun tidak berbau dengan logis dan mantiq. Dari sini dapatlah disimpulkan iaitu agama in dan segala ahkamnya adalah sejajar suluhan fikiran dan mantiq. Oleh yang demikian, maka di antara syarat-syarat yang terpenting untuk menentukan sah iman dengan Allah s.w.t. ialah keyakinan dan fikiran bebas tanpa bertaut dengan sebarang adat resam atau ‘tradisi’ yang lain. Penyusun ilmu tauhid menyatakan dalam puisi tauhidnya yang berbunyi:

ترديد من يخل لم ايمانه في التوحيد قلد من فكل

“ Tiap orang yang beriman secara taqlid imannya tidak dapat dikuasai oleh was-was dan syak wasangka “

Dari sini terang sekali kepada kita bahawa agama Islam menentang habis-habisan taqlid dan meniru secara membuta tuli ataupun dipengaruhi oleh adat lapuk seperti yang ditegaskan tadi kerana prinsip dan ajaran agama Islam semuanya berdasarkan akal fikiran yang sihat dan logic. Sebaliknya Islam melarang mengikuti tradisi lapuk yang langsung tidak berbau unsur-unsur fikiran yang bebas dan logik. Perkaaan ‘tradisi’ yang mengikut apa yang diertikan oleh ahli sosiologi ialah sekumpulan adat resam yang diwariskan oleh datuk moyang terdahulu ataupun hasil pergeseran di dalam sesuatu bi’ah suasana dan segala apa yang dilakukan oleh manusia mengikut tatasusila kehidupan dalam masyarakat, seperti upacara-upacara keramaian dan perkabungan ataupun penyedutan secara spontan di kala pergeseran antara satu sama lain. Segala-galanya ini dikenali sebagi ‘adat tradisi’ mengikut istilah bahasa dan ilmu kemasyarakatan.

Sekiranya kita faham semua ini, justeru dapatah kita pastikan yang Islam itu tidak mungkin diertikan sebagai suatu tradisi sama ada yang bersangkut-paut dengan aqidah kepercayaan mahupun perturan-peraturan dan hukum-hakam kerana aqidah berasaskan akal fikiran dan logik sedangkan hukum-hukum pula berasaskan muslihat dan kepentingan duniawi dan ukhrawi. Bagi mencapai kedua-dua kepentingan ini, akal fikiran dan perhitungan diri sendiri merupakan perantaraan yang penting walaupun pada sesetengahnya otak manusia tidak boleh mengetahui sebab-sebab dan hikmahnya.

Di sini nyata sekali kepada kita betapa salahnya mereka yang menganggapkan ibadat, huku-hukum syariat dan susila itu adalah ‘tradisi Islam’. Ini adalah satu pengertian yang salah. Menyebarkan anggapan seumpama ini semata-mata untuk memburukkan agama Islam kerana akan dituduh bahawa tatasusila, akhlaq yang luhur yang memberkan kesenangan kepada manusia ini bukannya daripada Tuhan Rabbul Alamin tetapi hasil ciptaan manusia yang diwariskan daripada manusia yang silam. Hasil daripada anjuran yang salah ini menyebabkan sebilangan besar manusia terasa tidak senang dngan tradisi yang lama ini untuk dipraktikkan di dalam sesuatu masyarakat yang lebih maju dan progresif. “

Apa yang saya fahami daripada petikan tersebut adalah antara syarat sah keimanan seseorang adalah apabila muslim itu tidak terikat dengan apa-apa adat resam, budaya, dan suasana sekeliling. Mudah kata, tidak menerima sesuatu dengan bertaqlid. Antara faktor sebahagian masyarakat arab pada zaman Rasulullah tidak menerima Islam adalah kerana mereka masih terikat dengan adat resam dan budaya Arab jahiliyah yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.

Saya ingin kaitkan dengan realiti masyarakat sekarang. Kita dapat lihat ada beberapa golongan masyarakat masa kini hanya mengikut apa yang dikatakan/dilakukan oleh golongan pimpinan/ketua/orang atasan mereka tanpa berfikir dan memahami apa yang dikatakan/dilakukan oleh pimpinan mereka. Allah kurniakan aqal kepada manusia, bukanlah hanya untuk belajar sehingga menjadi doktor pakar atau profesor madya ataupun jurutera terhebat. Tetapi Allah kurniakan manusia akal agar manusia berfikir dan menilai antara perkara yang haq(benar) dan yang batil(salah).

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka, ” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

Wallahua’lam.

Fathiyyah Tasnim Binti Ishak

Tahun 3 Fakulti Usuludin,

Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Sumber foto: http://www.islamicity.com/articles/Articles.asp?ref=RI9806-288

Comments

comments

admin