Khatirah Aidilfitri

Aidilfitri-ISMA-NZ-2

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Tibalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah menghadapi bulan mujahadah selama sebulan. Takbir bergema di seluruh pelusuk kediaman umat Islam memuji kebesaran Allah yang telah mengurniakan hari fitrah ini bagi meraikan umat Islam yang berjaya menjalani ibadah puasa umumnya di samping ibadah yang lain. Kita mengharapkan hari ini bukanlah hari yang kita bergembira sewenangnya tanpa menghiraukan batas-batas syarak. Bukankah hari ini adalah kurniaan daripada Allah? Maka wajarlah untuk kita menyambutnya mengikut tuntutan yang sebenar.

Setelah Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda mendapati penduduknya meraikan suatu perayaan lalu ditanyakan, “ Hari apakah ini? ’’ . Mereka menjawab, “ Kami bergembira di dalamnya sejak zaman jahiliyah lagi ”. Lalu nabi bersabda, “ Sesungguhnya Allah telah menggantikan hari tersebut dengan hari yang lebih baik daripadanya iaitu Hari Aidlfitri dan Hari Aidiladha ” . ( Riwayat Abu Daud )

Sebagai mahasiswa di Bumi Anbiya’ ini, wajarlah untuk kita menunjukkan contoh kepada masyarakat cara yang sepatutnya untuk kita hidupkan suasana hari raya ini. Dengan kita membiasakannya di sini, semoga berterusan hingga ke tanah air kita. Sambutan raya pula hanya dua kali setahun. Oleh itu, bagaimanakah sebenarnya sambutan yang dituntut oleh syarak? Terdapat beberapa perkara yang perlu disentuh.

Pada era kecanggihan teknologi dan kepantasan penyampaian maklumat ini, muda-mudi, dewasa mahupun kanak-kanak sibuk mengambil gambar masing-masing tidak kira selfie atau apa sahaja, kita kelihatan terlalu ghairah dalam memuat naik gambar. Memadailah dengan sekeping dua sahaja gambar untuk kenangan. Dengan gambar sahaja boleh menimbulkan banyak keburukan terutamanya gambar wanita banyak mengundang fitnah. Telitilahlah dahulu gambar kita yang diniatkan untuk dimuat naik, adakah menutup aurat dan riak wajah yang tidak menarik perhatian.

Selain itu, dalam kesibukan kita inginkan suasana raya di bumi Mesir ini, terdapat sesetengah pihak yang menganggap lagu rayalah yang mampu menghidupkan suasana. Maka, kita memasang lagu raya tanpa menghiraukan muzik dan lirik pada lagu itu. Asal nama raya cukup. Ini tidak sepatutnya berlaku pada mahasiswa-mahasiswi di Mesir. Pilihlah lagu atau nasyid yang sesuai. Orang mukmin itu tidak suka pada hiburan yang berlebihan tetapi hiburan mereka adalah ibadah dan Al-Qur’an.

Turut menjadi pemerhatian adalah pakaian mahasiswi dalam keterujaan menyambut hari raya. Fitrah wanita memang sukakan kecantikan dan lebih-lebih lagi kelihatan cantik. Mahasiswi Mesir, walaupun tahu tentang aurat, tabarruj dan sebagainya tapi tetap dengan gaya tersendiri yang pelbagai. Hendaknya sebelum kita menggayakan pakaian, telitilah dahulu pakaian kita, dari segi tebal dan jarangnya, warnanya terlalu terang atau biasa sahaja, kain melekat pada badan atau tidak. Seeloknya gayakan dulu di hadapan cermin dan kawan-kawan di rumah supaya dapat dipastikan adakah pakaian kita mematuhi syariah.

Amalan ziarah-menziarahi tidak dilupakan. Ini adalah satu amalan yang perlu diteruskan. Apabila kita dijemput untuk ke sesebuah majlis, maka berusahalah untuk memenuhi jemputan itu dan betulkan niat kita bukan semata-mata mahu memenuhi perut yang kosong tapi niatlah untuk mengeratkan ukhwah dan berkenal-kenalan sesama mahasiswa dan ketika kita bertemu ini sesuailah untuk kita saling bermaafan. Diingatkan walaupun bukan hanya ketika raya sahaja kita bermaafan tapi ikhlaskan diri dalam memohon maaf dan memberi maaf.

Di samping berkenalan dan memenuhi jemputan, hendaklah kita menjaga adab-adab sesama muslim. Janganlah kita bermasam muka ketika bertemu. Layanlah tetamu kita dengan baik. Rasulullah ada bersabda mafhumnya:

“ Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka dimuliakan tetamunya ” .

Bentukkanlah diri kita dengan akhlak Muslim yang sebenar yang mengamalkan apa yang dipelajari bukan hanya pada teori.

Ini mungkin nasihat-nasihat yang biasa. Namun terkadang akibat hanya memandang perkara besar, kita terlepas pandang perkara yang kecil. Jadilah kita mahasiswa yang berkualiti bukan sahaja dari sudut akademik tapi juga dari sudut akhlak dan pergaulan dan janganlah kita berkelompok-kelompok serta saling bermusuhan. Kita perlukan mahasiswa yang terbuka mindanya tidak hanya bergaul sesama kelompok mereka sahaja.

Akhir sekali, teruslah istiqamah dengan ibadah-ibadah yang telah kita rutinkan sepanjang Ramadhan lalu. Janganlah dengan berakhirnya Ramadhan maka berakhirlah amalan kita. Moga-moga segala mujahadah kita, penat –lelah, pengorbanan harta, tenaga dan masa kita diberi sebaik-baik ganjaran. Yakinlah setiap amalan baik tidak akan disiakan Allah sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Kahfi yang bermaksud :

” Kami benar-benar tidak akan menyiakan pahala orang yang berbuat baik ”

Moga amalan yang kita lakukan pada bulan Ramadhan tidak terhenti begitu saja.

Sekian, wassalam.

Nik Mariyyah Al-Qibtiyyah bt Nik Abdul Rahim

Tahun 1 Fakulti Syariah Islamiyah,

Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Comments

comments

Comments are closed.