Syantah Ramadhan Iskandariah: Menyemai Kasih Sayang, Memupuk Perpaduan

syantah alex

ISKANDARIAH, 15 Julai:

” Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit ” – Hadis riwayat al-Tarmizi –

Pengarah Syantah Ramadhan, saudara Aiman Zainal, pelajar perubatan Tahun 6 Universiti Iskandariah mengingatkan kepada semua agar mengikhlaskan niat dan berharap agar Allah menerima segala amal dan memberatkan timbangan amal kebaikan di akhirat kelak.

ISMA Iskandariah telah menganjurkan program Syantah Ramadhan 1435H yang diadakan setiap kali Ramadhan tiba. Mahasiswa dan mahasiswi telah melawat sebuah perkampungan di Wardiyan untuk tujuan pembahagian Syantah Ramadhan. Pembahagian tersebut diadakan di Jamiah Safa ElQalb Elkhairiah untuk golongan yang kurang berkemampuan di sana.

Seramai 160 buah keluarga telah menerima beberapa keperluan asas seperti minyak,beras,makaroni dan seekor ayam untuk mengurangkan beban pada bulan Ramadhan ini.

Perjalanan kali ini disertai bukan sahaja dari kalangan aktivis ISMA Iskandariah bahkan melibatkan juga beberapa pelajar yang lain. Ini menunjukkan keterbukaan ISMA untuk mengeratkan lagi hubungan antara persatuan lain dan mengharapkan agar sikap suka bersedekah dapat dipupuk di dalam diri individu lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini.

Program seperti ini diharapkan dapat diadakan lagi pada tahun-tahun berikutnya supaya mesej perpaduan dan kasih sayang sesama Islam dapat ditanam dalam diri semua mahasiswa di Iskandariah khususnya.

Program bermula pada pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 6 petang. Seramai 14 orang mahasiswa dan 8 orang mahasiswi Iskandariah  telah terlibat dalam program ini.

Wartawan: Syazana Aqilah bt Zulfaka

Jurufoto: Nurul Nadia bt Ashri

 

 

Comments

comments

admin