Ramadhan Membentuk Kualiti Juga Jati Diri

524042_10151278103892846_1172050231_n
Bulan Ramadhan kembali lagi, rasa bersyukur diberi peluang menyambutnya. Sudah bersediakah kita atau pun tidak? Jawabnya kena bersedia.

Bulan Ramadhan bulan di dalamnya penuh dengan keberkatan, kebaikan, keistimewaan, juga keampunan. Maka berusahalah mendapatkan apa yang ada di dalamnya.

Persoalannya, apakah Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini? Tutup mata zahiri, buka mata hati.

Bagaimana dengan ketaqwaan boleh membentuk kualiti diri.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Petikan daripada tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran, ayat ini menunjukkan matlamat agung dari ibadat puasa iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaanNya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati.

Maka dalam hal ini, puasa amat berperanan membentuk ummah yang mulia dengan melihat dunia ini sebagai ladang tanaman untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat. Untuk itu, taqwa adalah asasnya dan mereka yang berjaya adalah mereka yang sahih taqwanya.

Sehubungan dengan itu, mereka yang berjaya ialah mereka yang benar-benar menghayati makna Ramadhan sebagai satu ibadah yang istimewa, iaitu yang mampu membawa kesan taqwa yang terpancar menerusi akhlak mulia dan berupaya pula mengawal nafsu yang sering tersalah laku.

Sepertimana puasa itu dapat mendidik supaya lebih bertanggungjawab dan mengangkat kemuliaan dan kualiti diri, maka puasa itu juga mengubah cita rasa, corak budaya dan pemikiran; dengan menguatkan kepedulian terhadap ummah yang semakin tenat.

Oleh yang demikian, teruskan berlari tanpa henti dalam mencari makna Ramadhan yang hakiki. Kurangkan ketawa banyakkan menangis, moga kita bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Tuhan serta menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya Ramadhan ini dengan amal ibadah.

 

Bagaimana dengan berpuasa boleh membentuk jati diri

Jika kita menelusuri sirah keagungan Islam, dalam bulan Ramadhan terdapat banyak peristiwa penting berlaku yang semuanya menuntut kekuatan jasmani ummat Islam terdahulu walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadah puasa. Akan tetapi apa yang kita lihat sebaliknya.

Mungkin kita perlu mengambil ibrah daripada ummat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menjadikan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan mengangkat syiar Islam.

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, karangan Imam Al-Ghazali menggariskan terhadap tanggungjawab orang yang berpuasa itu adalah suatu yang perlu diberikan perhatian kerana ianya membawa kepada tercapainya tahap kualiti puasa yang baik dan sempurna.

Dalam kitab tersebut, Imam Al-Ghazali menyatakan puasa ialah: menahan pandangan daripada segala perkara yang tercela dan juga kepada sesuatu yang boleh mengganggu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah; memelihara percakapan daripada bercakap kosong, mengumpat, saling memfitnah, serta menimbulkan permusuhan.

Seterusnya, puasa adalah amalan yang menjadi benteng daripada godaan syaitan. Ini adalah kerana syaitan menggunakan nafsu syahwat manusia sebagai jalan utama untuk menggodanya. Tetapi dengan ibadah puasa yang mengekang dan melemahkan nafsu syahwat, jalan ini berjaya dilemahkan dan sekaligus melemahkan godaan syaitan ke atas manusia.

Sabda Nabi Muhammad (S.A.W) hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu surga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu. (Shahih Muslim No.1793)

Maka gunakanlah peluang madrasah Ramadhan ini bagi menyuburkan sifat-sifat spritual yang kuat dan mempunyai daya ketahanan diri agar umat Islam memiliki jiwa yang merdeka dan tidak mudah dijajah sewenang-wenangnya.

Akhir sekali, kita sebagai umat yang terkemudian yang hidup dalam suasana yang lebih baik sepatutnya memanfaatkan kelebihan Ramadhan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih kualiti dalam semua aspek kehidupan serta sejauh manakah keprihatinan kita terhadap ummah yang kita sayangi dan juga di tahap manakah tingkatan taqwa kita ini.

“Bulan Ramadhan Bulan Kemenangan”

Oleh: Ahmad Hifdzan Bin Mohd Nor, Kuliah Syariah Islamiah Tahun 3, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.