Agar Ramadhan Kali Ini Tidak Sia-sia

IMG-20140301-WA0024

 

Pernahkah anda ke klinik kesihatan untuk mengubati sesuatu penyakit? Pasti doktor yang merawati anda sangat mengambil berat tentang perkembangan kesihatan anda selepas itu seperti bertanya tentang follow up pengambilan ubat dan sebagainya. Jika penyakit anda tidak sembuh juga, pasti doktor akan mengkaji puncanya, malah mungkin mencuba ubat yang lain. Segala ikhtiar akan diusahakan sehinggalah penyakit anda sembuh. Ini adalah salah satu analogy sahaja tentang hadaf ( objektif ) dan wasilah ( cara ). Hadaf doktor tersebut adalah untuk mengubati penyakit. Wasilahnya adalah dengan mengambil ubat. Anda juga boleh ubah kepada pelbagai wasilah lain seperti perubatan tradisional untuk tujuan yang sama.

Hadaf kita hidup di dunia adalah untuk menghidupkan hati dengan iman

Berdasarkan ayat “و ما خلقت الجن والانس الا ليعبدون “ , sesetengah mufassir menafsir perkataan (ليعبدون ) dengan maksud ubudiyyah atau penghambaan. Penghambaan kepada Allah bermaksud kita berserah diri kepada Allah, taat segala perintahNya, berasa sentiasa perlukan pertolongan Allah, berasa rendah diri dan mengharap, tawakkal, serta membuat segala sesuatu ikhlas untuk menagih redhaNya.

Maka ubudiyyah dalam konteks yang sebenar adalah apabila iman menguasai hati, menyebabkan hati penuh dengan cinta kepada Allah, juga hati dipenuhi ketakutan padaNya. Campuran perasaan ini melahirkan perasaan yang tenang, kerana percaya pada qada’ dan qadarNya, juga membuahkan sifat tawakkal. Oleh itu, cinta, takut dan tawakkal adalah tanda bahawa hati kita ‘merah’ dengan iman.

“..Kepada Allah lah kamu bertawakkal, jika kamu orang yang beriman” ( Maidah : 23 )

“.. Allah lebih berhak untuk ditakuti jika kamu orang yang beriman” ( Taubah : 13 )

“..Dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu orang yang beriman.” ( Maidah : 57 )

Jika hati penuh dengan iman, maka seluruh badan akan mencernakan akhlak yang baik, hasil kesucian hati tadi. Hadith Rasulullah s.a.w berbunyi : “Jika baik seketul daging ini, baiklah seluruh tubuh. Jika rosak seketul daging ini, rosaklah seluruh tubuh. Daging itu tidak bukan adalah hati” ( Bukhari Muslim )

Hati yang penuh dengan iman juga akan menolak seseorang itu untuk istiqomah dalam amalannya.

“Dan tidaklah pantas bagi seorang mukmin dan mukminah itu, jika datang ketetapan dari Allah dan Rasul, mereka mempunyai pilihan dalam urusan mereka itu..” ( Ahzab : 36 )

“Taatilah Allah dan Rasul jika kamu benar-benar beriman” ( Al-Anfal :1 )

“Barangsiapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu hal itu timbul dari ketaqwaan hati “ ( Al-Hajj : 32)


Ibadah sebagai wasilah

Apabila kita memahami bahawa menghidupkan hati dengan iman adalah tujuan, maka di sana banyak wasilah yang Allah serukan untuk mencapai tujuan tersebut.

Rasulullah bersabda bahawa seorang pencuri tidak akan mencuri melainkan ketika itu imannya sedikit, begitu juga dengan penzina dan sebagainya. Oleh itu, solat disyariatkan sebagai ‘daily reminder’ kita kepada Allah s.w.t ,“ Solatlah kamu untuk mengingati Aku”. Jika kita mengingati Allah sebanyak 5 kali sehari, maka peratusan untuk kita membuat maksiat semakin kurang. Allah berfirman : “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar” ( Al-Ankabut : 45 )

Sedekah dan zakat juga disyariatkan bertujuan untuk membersihkan hati dari cinta dunia. Firman Allah ; “Ambillah dari harta mereka sedekah, dengan itu membersihkan ( hati ) mereka dan menyucikan ( hati ) mereka” ( At-Taubah : 103 ). Begitu juga dengan puasa yang membantu untuk menjinakkan nafsu dalam diri kita. Firman Allah : “Telah disyariatkan puasa ke atas kamu seperti mana orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” ( Al-Baqarah : 183 ). Kerana itulah Rasulullah berpesan bagi mereka yang tidak mampu berkahwin agar banyakkan berpuasa kerana ia dapat menjinakkan nafsu yang buas.

Dengan memahami kepentingan hadaf dalam setiap ibadat, Allah dan RasulNya sangat menekankan kualiti dalam ibadat agar tercapai hadafnya. Kerana itu Allah berpesan “Janganlah kamu mendekati solat dalam keadaan kamu mabuk “ ( Nisa : 43 ), ayat ini diturunkan sebelum pengharaman arak yang mengisyaratkan kaum muslimin agar mempersiapkan akalnya sebelum solat. Begitu juga hadith Rasulullah yang berbunyi : “Janganlah kamu solat jika makanan telah tersedia..” kerana bimbang perut yang lapar mengganggu kekhusyukan solat.


Dualism

Ketidakfahaman dalam hakikat ibadat ini menyebabkan ibadat yang kita lakukan tidak membuahkan hasil. Kita solat berpuluh-puluh rakaat sehari, mengkhatamkan quran berkali-kali dalam masa sebulan, namun hasilnya masih tidak dirasai seperti kemanisan iman, perubahan akhlak, takut pada Allah, taqwa dan lain-lain. Malah maksiat terus bertambah, penyakit hati terus bersarang.

Ia umpama ‘gejala dualism’, dua karakter dalam satu jasad. Banyak beribadah tapi maksiat masih dilakukan

Dalam konteks yang lebih besar, kita dapat ,melihat ‘gejala dualism’ yang lebih parah dalam masyarakat. Ramai orang solat di masjid, ramainya muslimin di seluruh dunia berpuasa pada bulan Ramadhan, bahkan Kaabah tidak pernah lengang dari lautan manusia yang mengerjakan haji dan umrah.

Tapi keadaan muslimin terus ditindas, iman masih lemah, kesatuan masih rapuh. Dimanakah hasil ibadat yang didambakan? . Ini semua adalah kesan dari kegagalan memahami tujuan ibadat tadi.

Rasulullah bersabda : “Berapa ramai manusia yang tidak dapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga” ( HR Ahmad )

“Ketahuilah sesunggguhnya Allah tidak mengakabulkan orang yang berdoa tapi hatinya lalai” ( HR Tirmizi )

Oleh itu ketahuilah bahawa ibadah bukan sekadar ritual pergerakan semata-mata namun yang lebih penting adalah untuk mencapai tujuannya yakni menambah iman dan taqwa. “Tidak sampai kepada Allah daging dan darah ( haiwan korban ) tapi yang sampai adalah taqwa darimu ( Al-Haj : 37 )


Kualiti vs Kuantiti

Cuba anda bayangkan ‘gejala dualism’ tadi berterusan di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan sememangnya merupakan pesta ibadah. Banyak fadhilat yang menunjukkannya. Dengan puasa di siang hari, solat tarawikh, pahala sedekah digandakan, pahala umrah yang menyamai haji dan sebagainya. Dalam suasana pesta ibadah ini, mereka yang berpenyakit ‘dualism’ akan menjadi lebih parah.

Mereka menganggap ibadat tidak lebih sekadar pergerakan anggota tanpa kehadiran hati dan akal, dan mereka mengejar bilangan. Mereka menyangka berpenat lelah malakukan beribadah lebih baik dari tidak melakukannya langsung. Tetapi adakah dengan cara ini iman akan bertambah?

Mereka berlumba-lumba mengkhatam quran, dan bagi mereka orang yang paling baik adalah mereka yang dapat membaca Al-Fatihah hingga An-Nas dalam tempoh paling cepat. Ya, betul ada hadith yang berbunyi : “Barangsiapa yang membaca Kitabullah, baginya 10 pahala bagi setiap huruf..”

Namun banyak dalil yang menyeru untuk menghayati Quran, “Apakah mereka tidak mahu mentadabbur Al-Quran, atau hati mereka terkunci rapat?” ( Muhammad : 24 ) , Rasulullah bersabda ketika turun ayat 190 surah Ali Imran : “Celakalah mereka yang membaca ayat ini tetapi tidak memikirkannya” ( HR Ibn Hibban ), juga Amru Al-Asr r.a melarang orang memkhatam quran kurang dari 3 hari kerana tidak mampu untuk menghayatinya.

Ali Abi Talib r.a berkata “ Tiada kebaikan mereka yang hanya membaca Quran tetapi tidak tadabbur”. Seorang lelaki bertemu Ibn Abbas dan berkata : “Aku membaca Quran dengan cepat, dan mengkhatamkan Quran dalam masa 3 hari.” Ibn Abbas menjawab : “Sesungguhnya aku membaca Surah Al-Baqarah di malam hari dengan tadabbur dan tartil lebih aku suka dari itu.”

Tidak dinafikan dengan memperbanyak bacaan Quran, pahala kita bertambah. Namun perlu diingat ia juga bertujuan untuk menambah iman dan memperhati arahan dan larangan Allah di dalamnya agar kelak ia menjadi hujjah untuk kita, dan bukan ke atas kita.

 

Memperbaiki kemudian memperbanyak

Bukanlah juga bermakna kita perlu menyikitkan ibadat kita dan tidak perlu menambahnya, namun gesaan ini bertujuan supaya kita meningkatkan kualiti seiring dengan peningkatan terhadap kuantiti.

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah peluang keemasan untuk kita ‘recharge’ iman, menambah taqwa, memperbaiki akhlak, dan mencapai kemanisan iman dengan wasilah yang pelbagai. Oleh itu jangan bazirkan peluang ini dengan kesilapan kita pada tahun yang lepas-lepas. Janganlah kita mengkompromi kuantiti ke atas kualiti yang akan menghilangkan tujuan ibadat, agar Ramadhan kali ini tidak sia-sia.

 

Ustaz Assidddiq Fauzan
Exco Hal Ehwal Dalaman ISMA Mesir
Kuliah Usuluddin Akidah Falsafah Tahun 4, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.