Buat Syaaban dan 6 Mahasiswi Pergigian Iskandariah

w0menPenciptaan manusia yang pelbagai merupakan satu ketetapan Allah di muka bumi ini serta lambang kekuasaanya. Kepelbagaian ini telah boleh menjadi satu titik-tolak kepada kebaikan mahupun kepada kehancuran, bergantung kepada bagaimana manusia mengendalikan situasi tersebut. Perkara yang nampak susah ini sebenarnya cukup mudah bagi kita umat Islam kerana garis panduan hidup kita serta neraca baik dan buruk semuanya telah ditetapkan dalam Al-Qur’an dan As Sunnah. Bergantung kepada kita mahu ikut wahyu atau ikut nafsu.

Satu perkara yang kita maklum adalah suasana mahasiswa Malaysia yang berkelana di bumi Mesir ini yang boleh dikatakan sebagai masyarakat majmuk kerana terdiri daripada pelbagai persatuan pelajar yang masing-masing terdapat keistimewaan dan pendekatan tersendiri dalam memandu visi mahasiswa. Situasi ini kadangkala mengundang kepada perkara yang tidak diingini mungkin kerana keterlanjuran sikap sesetengah pihak. Menyedari hakikat ini, kesedaran perlu dipupuk untuk kita meneliti kembali peranan kita sebagai seorang mahasiswa untuk mencapai keharmonian hidup di sini. Seperti mana yang telah disebutkan, mari kita kembali kepada neraca agama dalam menentukan keharmonian hidup di sini memandangkan saya yakin mahasiswa Malaysia yang belajar di Mesir ini semuanya Muslim dan berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai manhaj hidup, bukan seperti sesetengah manusia yang hanya mengikut hawa nafsu dan ego mereka sahaja. Mari kita lihat penyelesaian apa yang telah dibentangkan kepada kita dalam Al-Qur’an.

Firman Allah SWT: وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على اللإثم والعدوان واتقوا الله إن الله شديد العقاب Maksudnya: Hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu saling tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan dan bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat azab seksanya. (Surah Al-Maidah: 2)

Imam As-Syaukani dalam tafsirnya Fathul Qadir, ketika menafsirkan maksud al-birr (kebaikan)dan al-ithm (dosa) dalam ayat ini, beliau mendatangkan satu hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

عن النواس ابن سمعان قال: سألت النبي صلى الله عليه وسلم عن البر والإثم فقال: البر حسن الخلق والإثم ما حاك في نفسك وكرهت أن يطلع عليه الناس Maksudnya: daripada Nawas bin Sim’an, dia berkata, aku telah bertanya Rasulullah SAW tentang kebaikan dan dosa, maka baginda bersabda: Kebaikan itu ialah akhlaq yang baik dan dosa itu ialah apa yang bergetar dalam hati kamu dan kamu benci perkara itu dilihat oleh manusia. (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tarmizi, Hakim)

Lihatlah betapa mudahnya penyelesaian ke arah keharmonian yang telah Allah tunjukkan kepada kita. Penekanan yang diberikan pada hadis dan ayat Al-Quran di atas jelas pada konteks “kebersamaan”. Bahkan Allah telah menentukan apakah nilai kebersamaan dan tolong-menolong dalam Islam iaitu dalam perkara kebaikan disulami dengan akhlaq yang baik sesama saudara semuslim.

Satu pujian harus diberikan kepada mahasiswa seluruh Mesir apabila kita dapat lihat nilai kebersamaan dan tolong-menolong baru-baru ini. Ketika ada sahabat kita yang menuntut di Alexandria ditimpa musibah ujian dalam kemalangan yang agak teruk dan melibatkan kos rawatan yang banyak, mahasiswa Malaysia tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan dan hasilnya, kutipan yang dibuat oleh ISMA Mesir berjaya mencapai sejumlah LE17000. Saya juga yakin terdapat persatuan-persatuan lain yang turut melancarkan tabung bantuan dan berjaya mengumpulkan angka yang tidak kurang banyaknya. Meskipun jumlah kutipan ini mungkin tidak dapat menanggung keseluruhan kos rawatan, namun pujian mesti diberikan atas nilai kebersamaan mahasiswa seluruh Mesir yang merentas persatuan.

Peristiwa yang berlaku di bulan Sya’ban ini begitu besar maknanya dalam kehidupan kita. Meskipun ada yang menganggap ini satu perkara yang remeh, lebih teruk lagi yang ada sekelumit rasa tidak senang melihat kebersamaan yang ditunjukkan ini, ketahuilah perkara ini besar nilainya di sisi Islam mahupun nilai kemanusiaan. Pekara apakah lagi yang membawa kepada kebencian seseorang melihat saudaranya itu saling tolong-menolong dalam kebaikan kalau puncanya bukan penyakit hati? Moga kita dijauhkan daripada ketulan-ketulan hitam pekat hati busuk yang menutup kewarasan kita dalam berfikir.

Jika bulan ini adalah bulan Sya’ban, bermakna bulan depan adalah bulan Ramadhan. Alangkah indahnya di ambang kedatangan bulan yang mulia ini, kita diberikan persediaan oleh Allah dalam memupuk hati kita untuk bersama dan tolong-menolong dalam kebaikan. Sungguh setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Mungkinkah Ramadhan tahun ini akan bermula titik-tolak yang besar ke arah satu kesedaran kepada pentingnya nilai kebersamaan antara kita? Betapa beruntungnya kita jika kita semua menyedari elemen penting dalam memupuk keharmonian ini. Sudah berapa lama ummat menunggu sinar harapan daripada mahasiswa Mesir yang kebanyakannya mengambil jurusan agama untuk menyebarkan seruan positif antara pertubuhan-pertubuhan yang ada di sini.

ISMA Mesir konsisten sejak awal penubuhannya melaungkan seruan kebersamaan agar keharmonian yang diimpikan dalam kalangan mahasiswa akan dapat dicapai, sekaligus menyingkirkan anasir-anasir kotor yang menghalang semangat kebersamaan ini terbentuk. Semoga kehidupan kita sebagai mahasiswa Malaysia di permusafiran ini akan terus disemai oleh nilai-nilai yang terpuji.


Oleh: Muhammad bin Mohd Hasan, Kuliyah Usuluddin Tahun 1, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Comments are closed.