ISMA Mesir Penuhi Jemputan Makan Malam Bersama Menteri

Photo 11-06-14 11 32 21 PTG
(Wartawan: Muhammad)

KAHERAH, 12 jun- Bersempena lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek ke Mesir, satu majlis makan malam bersama wakil persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir telah diadakan di Studio Misr, City Stars. ISMA Mesir sebagai sebuah persatuan mahasiswa yang berdaftar telah dijemput untuk menghadiri majlis makan malam tersebut.

ISMA Mesir dengan penuh rasa hormat telah memenuhi jemputan tersebut dengan diwakili oleh Pengerusi ISMA Mesir sendiri, Ustaz Nik Rafie bin Nik Zainal Alam dan Setiausaha ISMA Mesir, Ustaz Umar Farouq bin Morhalim. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil persatuan-persatuan seperti Haluan, Ikram, Abim, Perubatan, Pmram, badan-badan kebajikan anak negeri dan lain-lain.

Pertemuan itu meskipun ringkas, namun memberi makna yang cukup besar dalam jalinan hubungan antara mahasiswa di Mesir dengan kerajaan Malaysia. ISMA Mesir memandang positif penganjuran majlis ini sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap aktivisme mahasiswa di Mesir melalui persatuan yang ada. Hubungan ini penting demi agenda pembangunan negara pada masa akan datang.

Selain itu, kejayaan mengumpulkan wakil-wakil persatuan untuk duduk semeja ini menandakan satu masa hadapan yang cerah buat kehidupan mahasiswa di Mesir ini khususnya dalam menghayati nilai kebersamaan.

ISMA Mesir konsisten sejak awal penubuhannya melaungkan seruan kebersamaan agar keharmonian yang diimpikan dalam kalangan mahasiswa akan dapat dicapai, sekaligus menyingkirkan anasir-anasir kotor yang menghalang semangat kebersamaan ini terbentuk.

Majlis Makan Malam ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Multimedia yang diadakan selama 3 hari bermula 11 Jun 2014 hingga 13 Jun 2014. Lawatan tersebut bertujuan memesrakan hubungan antara pihak kementerian terbabit dengan mahasiswa dan mahasiswi yang belajar di Mesir.

Comments

comments

Comments are closed.