Ujian Tanda Kecintaan Tuhan Pada HambaNya

kutipan

Oleh: Ain Syafiqah binti Mohd Zaid, Tahun 4 Fakulti Farmasi, Universiti Iskandriah

 

” (Iaitu) orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali. Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk. ”
(Al-Baqarah: 156-157)

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Fatin Inani Mohd Noh, seorang ukhti yang menawan buat diriku. Ya, beliau adalah seorang yang menawan dengan keperibadian sifat. Sifat-sifat yang lahir dari hatinya, diterjemahkan dalam perlakuan dan disebarkan dengan cintanya.

Seorang anak muda gigih berusia 21 tahun ini menjadi contoh dalam kalangan sahabatnya di Fakulti Pergigian, Alexandria Universiti. Banyak yang difikirkannya untuk membantu sahabat-sahabat dan menyebarkan dakwah cinta kepada mereka. Nasihat, dorongan, bimbingan yang disampaikan mampu merubah keadaan semasa kepada yang lebih baik.

Antara cita-cita yang diimpikannya ialah menjadi pensyarah dalam bidang Dental Physiologist dan membuka rumah anak-anak yatim yang menerapkan fikrah tarbiyah yang sedang diikuti. Sungguh luhur dan ikhlas hatinya. Semoga Allah membenarkan niatnya ke arah itu.

Seperkara lagi yang mampu menggambarkan Inani ialah sifatnya yang satu ini. Sifat tabah yang tak semua orang mampu miliki. Ketabahan luar biasa terhadap ujian yang dihadapi. Bukan sekadar ujian yang berlaku baru-baru ini, malah ujian-ujian sebelumnya.

Setiap kali berjumpa, bisikan hati yang terdetik, ” Tabahnya dia. ”
Teringat saat berbual-bual dengannya setelah kejadian yang tidak diduga ini, “Nani bagaimana? Ok? Banyak hikmahnya kan..”.

“ Banyak hikmah yang datang bersama ujian ini. Saya tak rasa apa-apa yang berat. Alhamdulillah, banyak kali saya berhubung dengan Allah. ”

Sahabat karib beliau, Siti Shahirah Abdul Jalil juga sekental beliau dan masih mampu tersenyum dan tetap ceria walaupun sudah beberapa hari hanya menjamah yogurt dan jus buah-buahan atas masalah rahang yang dihadapi. Syukur berpanjangan atas kekuatan yang Allah kurniakan.

Siti merupakan seorang pelajar pergigian yang pintar dan periang. Beliau merupakan antara penerima anugerah akademik di International Day pada tahun 2013 dan berjaya mendapat tawaran biasiswa daripada JPA.

Beliau mula berkenalan dengan tarbiyah melalui saudari Fatin Inani yang juga merupakan rakan serumah. Qudwah yang ditunjukkan oleh rakan serumah menarik minatnya untuk mengenali tarbiyah ISMA. Sepanjang mengikuti tarbiyah, beliau telah mengikuti program tarbiyah yang tersusun seperti usrah, rehlah, mukhayyam,daurah dan lain-lain lagi.

Di dalam kesibukan jadual pelajar pergigian yang begitu padat beliau tetap berusaha untuk hadir ke program-program tarbiyah. Sungguhpun begitu, beliau tetap cemerlang dalam bidang akademik.

Beliau terharu kerana ramai yang sudi menziarahi beliau di saat memerlukan sokongan. Kini, Siti berada di Hospital Nur Islam untuk menjalani pembedahan rahang.

Setiap dari kita tidak terlepas daripada ujian Allah, seperti firmanNya:

“ Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami. ” (Al-Anbiya’: 35)

Cuma bagaimana kita menghadapinya? Adakah dengan kesabaran, kesyukuran ataupun keluhan dan kesombongan?

Umar Al-Khattab RA berkata :

“ Andaikata sabar dan syukur itu adalah dua kuda tunggangan, maka aku tak peduli mana saja diantara keduanya yang kan ku tunggangi. ”

Andaikata sabar terhadap bala yang menimpa itu kuda tungangan,
dan syukur atas kelapangan juga adalah kuda tungangan,
maka aku tak peduli untuk naik yang ini atau naik yang itu.
Kerana sama saja bagiku.

Jika bala menimpaku, lalu aku bersabar,
Jika kelapangan datang padaku, lalu aku bersyukur.

Seluruh ahli ISMA Mesir dan mahasiswa Mesir secara umumnya mendoakan dan berharap Fatin Inani, Siti Syahirah dan sahabat-sahabatnya cepat sembuh dan bersabar atas peristiwa yang berlaku dan menganggap semua ini adalah ujian dan tarbiyah daripada Allah SWT.

Semoga terus maju dalam tarbiyah dan menyumbang kepada ummah. Sinarilah insan-insan disekeliling dengan ketabahan dan keikhlasan hati. Teruskan melangkah dan meneruskan perjuangan.

Renungilah Sabda Rasulullah SAW:

” Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan terhadapnya Dia akan mengujinya dengan ditimpakan musibah. ”

Comments

comments

Comments are closed.